Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada pembentangan Bajet 2014 yang lepas, antara perkara yang telah diusulkan oleh perdana menteri selaku menteri kewangan adalah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan atau singkatannya GST mulai 1 April 2015, kira-kira dua tahun dari sekarang.

Pelbagai pihak mula tertanya-tanya sama ada dari pihak kerajaan, opposisi, badan bukan kerajaan hatta rakyat marhaen sendiri - adakah GST merupakan cukai ‘tambahan’ setelah cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada?

Adakah akan berlaku kenaikan mendadak semua barang di pasaran pasca GST? Mengapakah kerajaan beria-ia hendak melaksanakannya? Sehingga kini tiada suatu pun agenda pencerahan yang dilakukan oleh mana-mana pihak untuk menjelaskan di sebalik pelaksanaan cukai ini.

GST ialah suatu bentuk cukai yang dikenakan ke atas barang akhir yang dibeli oleh pengguna. Bezanya dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ialah GST ditanggung sepenuhnya oleh pengguna akhir manakala SST pula membahagikan cukai kepada dua peringkat, iaitu pada peringkat pengeluar apabila beban cukai sebanyak 10 peratus dikenakan terhadap mereka manakala pengguna akhir menanggung sebanyak 6 peratus beban cukai.

Secara matematiknya, GST berkadaran 6 peratus manakal SST berkadaran 16 peratus. Melalui pelaksanaan GST, dua jenis cukai tersebut akan digantikan dengan satu sistem cukai yang bersepadu.

Pelaksanaannya di luar negara

Negara yang pertama memperkenalkan pelaksanaan cukai ini ialah Perancis pada tahun 1954 dan sehingga kini lebih dari 160 negara seantero dunia telah mengaplikasikannya.

Negara yang mengenakan kadar GST yang tertinggi ialah Hungary dengan berkadaran sebanyak 27 peratus manakala negara Jepun dan Taiwan mengenakan kadar GST yang terendah sebanyak lima peratus.

Kebanyakan negara Eropah mengenakan GST/VAT pada kadar dua angka. Amerika Syarikat tidak mengenakan GST terhadap rakyatnya, malah usul berkaitan pelaksanaannya ditolak oleh Kongres disebabkan sistem cukai sedia ada di sana sudah membebankan rakyat mereka.

Kepentingan pelaksanaan GST

1.    Dapat meningkatkan hasil pendapatan kerajaan sekaligus memperbaiki kedudukan fiskal.

Melalui  pelaksanaan GST, hasil kutipan cukai sedia ada dijangka meningkat sebanyak dua kali ganda. Misalnya,pada tahun 2014 hasil kutipan cukai berjumlah RM30 bilion. Apabila GST dilaksanakan pada tahun 2015, jumlah kutipan dijangka bertambah menjadi RM60 bilion setahun.

Melalui jumlah pendapatan sebanyak ini,kerajaan dapat menampung sektor perkhidmatan, kesihatan dan pendidikan secara percuma serta menambah baik infrastruktur sedia ada seperti yang dilakukan oleh Turki, United Kingdom dan Finland. Melihat kepada keadaan hutang negara sekarang, pelaksanaan GST dapat mengurangkan sedikit sebanyak jumlah defisit yang ditanggung oleh kerajaan pada masa sekarang.

2.    Cukai yang lebih telus dan efisien.

Seperti yang diterangkan di atas, pelaksanaan SST menyebabkan pengguna membayar dua jenis cukai tanpa mereka sedari. Melalui pelaksanaan GST,sistem dua cukai tersebut akan dimansuhkan dan digantikan dengan satu sistem cukai yang lebih efisien. Walaupun kerajaan mengalami kerugian sebanyak 10 peratus, namun pengguna mendapat manfaat yang besar  apabila hanya membayar satu jenis cukai sahaja bagi setiap pembelian barang akhir.

3.    Kerajaan tidak boleh selamanya bergantung kepada hasil bukan cukai dan tarif import.

Sebagaimana yang diketahui, negara kita dikurniakan oleh Allah dengan kekayaan sumber alam seperti petroleum dan bahan galian. Namun,sumber ini tidak boleh diperbaharui dan dijangka mengalami kepupusan dalam tempoh 20 atau 30 tahun lagi. Bagi mengatasi masalah ini,kerajaan tiada pilihan lain selain mengenakan cukai ini bagi menampung hasil pendapatan negara.

Untuk mengharapkan hasil dari duti import mungkin kurang realistik disebabkan peraturan perdagangan antabangsa yang melarang sebarang sekatan perdagangan di antara negara, hatta kadar duti import terpaksa diturunkan bagi menggalakkan lagi perdagangan, sekaligus mengurangkan pendapatan kepada negara.

Sebagai contoh, disebabkan ketiadaan sumber asli di kebanyakan negara Eropah, maka mereka mengenakan cukai pada kadar yang sangat tinggi sebanyak dua angka sekaligus menjadi sumber pendapatan utama negara mereka seperti di Perancis yang mencatatkan 50 peratus dari pendapatan negara disumbangkan oleh kutipan GST.

Kesan pelaksanaan GST

1.    Kenaikan dalam harga barang tetapi ianya bukan inflasi.

Sesetengah pihak memomokkan bahawa harga barang dijangka mengalami kenaikan yang luar biasa pasca pelaksanaan GST. Tidak dapat dinafikan apabila GST dilaksanakan, harga barang dijangka mengalami sedikit kenaikan tetapi ia tidak sama dengan inflasi, iaitu kenaikan barang secara berterusan.

Harga barang dijangka menokok sebanyak 1 hingga 3 peratus dan kembali menyusut seperti sedia kala. Kenaikan hanya berlaku dalam tempoh jangka pendek tetapi tidak untuk jangka panjang.

2.    Cukai yang bersifat regresif.

Kebanyakan rakyat Malaysia berpendapatan RM3,000 ke bawah dan golongan ini dikategorikan sebagai berpendapatan sederhana dan rendah.

Dijangka sebahagian dari kutipan cukai ini disumbangkan oleh kelompok ini dan secara tidak langsung cukai ini dikategorikan sebagai cukai regresif iaitu mengambil peratusan yang besar dari golongan yang sederhana dan miskin berbanding mereka yang kaya kerana mereka inilah yang lebih banyak membuat perbelanjaan untuk barangan atau perkhidmatan.

Kerajaan boleh melaksanakan mekanisme seperti menaikkan had jumlah pendapatan yang boleh dikenakan cukai dari RM2,500 pada masa sekarang pada kadar yang lebih munasabah serta mengurangkan cukai korporat bagi menggalakkan aktiviti pelaburan di negara ini.

3.    ‘Compliance cost’ yang ditanggung oleh firma.

Kos yang disebutkan di atas merujuk kepada kos yang dibelanjakan oleh firma untuk menghantar kakitangan ke kursus mengenai pelaksanaan GST, penukaran perisian dan kelengkapan ICT serta yuran yang berkaitan bagi persediaan melaksanakan sistem percukaian yang baharu.

Dijangka sebahagian besar perbelanjaan firma akan disalurkan untuk membiayai ‘compliance cost’ sebagai persediaan menghadapi GST. Jika kerajaan mengumumkan pelaksanaan GST pada tahun ini,maka firma di Malaysia akan mengalami ‘kejutan’ disebabkan tiada persediaan yang secukupnya dalam mengadaptasi sistem ini, maka kerajaan mengumumkan pelakasanaannya pada tahun 2015 supaya semua firma dapat melakukan persiapan sebelum pelaksanaannya.

Persoalan mengenai pelaksanaan GST

Setelah mendengar dan meneliti pandangan pelbagai pihak, pelbagai persoalan boleh dilontarkan berkaitan dengan pelaksanaan GST, antaranya:

•    Adakah rakyat secara keseluruhan memahami kepentingan GST dan manfaatnya kepada negara?

•    Bagaimanakah kerajaan hendak menepis dakwaan bahawa GST merupakan cukai ‘regresif’?

•    Adakah kerajaan dapat berjanji untuk tidak membazir dalam berbelanja serta memastikan jurang defisit negara dikecilkan supaya negara tidak tergelincir ke dalam kemuflisan seperti yang berlaku di Greece dan Portugal yang turut mengamalkan GST?

•    Dapatkah kerajaan memberikan penyelesaian ‘win-win situation’ kepada pihak rakyat dan pemain industri apabila GST dilaksanakan?

•    Apakah jaminan dari pihak kerajaan untuk memastikan harga barang tidak naik secara melampau pada awal pelaksanaan GST?

Kesimpulan

Konklusinya, cukai jualan dan perkhidmatan merupakan suatu alat fiskal yang berkesan dalam meningkatkan pendapatan sesebuah negara.

Namun apa yang lebih penting adalah bagaimana hasil yang diperoleh nanti dimanfaatkan semaksimum mungkin kepada rakyat. Selain itu, kefahaman rakyat mengenai GST dan tanggungjawab membayar cukai perlu ditingkatkan agar mereka dapat merasakan kebertanggungjawaban mereka terhadap negara yang tercinta ini.

Dasar ekonomi yang lebih menguntungkan rakyat perlu digubal agar setiap hasil mahsul negara dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat seperti yang berlaku pada zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz.

Kerajaan juga perlu membanteras amalan rasuah, ketirisan perbelanjaan dan kronisme yang berlaku dalam sektor awam supaya keyakinan rakyat terhadap kerajaan bertambah baik dan hasrat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dapat direalisasikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS