Apakah ada isu mengkafirkan Umno dalam 'Amanat Hadi'? Saya tidak nampak.
Apa yang saya nampak, hasil pendekatan agak 'radikal' Datuk Seri Abdul Hadi Awang tersebut pada zaman itu, telah mendorong kerajaan BN pada waktu tersebut di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya dibantu oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk melaksanakan projek 'Islamisasi'.
Tanpa 'amanat' tersebut, apakah Tun Dr Mahathir akan melakukan projek Islamisasi beliau? Inilah keindahan proses 'check and balance' sistem demokrasi dan apa yang disebutkan oleh Dr Tawfik Wa'ie sebagai Sunnah Tadafu '.
Apapun, amanat tersebut telah dilahirkan berdasarkan konteks dan realiti zaman berkenaan. Setiap era ada wacananya yang tersendiri.
Mutakhir ini, wacana yang paling utama ialah isu keadilan, tadbirurus, sistem pilihanraya yang bersih, pendidikan, rasuah dan juga mengurangkan jenayah yang semakin berleluasa.
Lebih menarik lagi, golongan yang sibuk mengkafirkan Umno dan menyeru fatwa dua imam, tak makan sembelihan dan sebagainya. Tiada kena mengena dengan 'Amanat Hadi'.
Malah kebanyakan individu-individu tersebut telah menyertai Umno, sama ada mereka itu di Kelantan mahupun di Terengganu.
Veteran PAS, para aktivis Islam dan juga mereka yang hidup di zaman kebangkitan Islam tahun 1970-an hingga 1990-an, tahu mengenai perkara ini. Ini adalah fakta.
Saya bukanlah ahli PAS, malah pernah menjadi mangsa ekstrimisme sesetengah ahli PAS semasa di kampus mahupun sekarang ini. Namun meletakkan segalanya kepada 'Amanat Hadi', adalah tidak tepat dan tersasar dari fakta sebenar.
Apakah hikmahnya menimbulkan isu lapuk tersebut?
Apakah ianya bertujuan untuk melarikan rakyat dari isu sebenar? NFC (National Fidlot Corporation), FVGH (Felda Global Venture Holding), Deepak, keculasan di dalam pembelian AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) dan juga isu Lynas?
Dr Maszlee Malik adalah pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.