Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Isu Pengerang: Niat jahat untuk malukan institusi Diraja

Umno bahagian dan Parlimen Pengerang mewakili semua rakyat jelata di dalam kawasan Pengerang menyembahkan rasa penghargaan dan ucapan terima kasih kepada DYMM Baginda Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar atas kesudian DYMM Baginda Sultan untuk mencemar Duli menyampaikan titah serta melancarkan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Pengerang pada 13 Mei yang lalu.

Umno bahagian dan Parlimen Pengerang yang mewakili rakyat jelata di kawasan Pengerang menyokong penuh titah yang disampaikan oleh DYMM Baginda Sultan Johor ketika melancarkan projek RAPID Pengerang serta memilih kawasan Pengerang sebagai salah satu destinasi persinggahan untuk program Kembara Mahkota Johor.

Kami juga dengan penuh rasa kesyukuran dan rasa rendah diri merasa amat terharu di atas keprihatinan yang diberikan oleh DYMM Baginda Sultan Johor dalam memastikan kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terus terbela dan diberi perhatian

Namun begitu, keprihatinan DYMM Baginda Sultan Johor ketika menyampaikan titah tersebut, telah disalahtafsirkan oleh sebilangan para pembaca portal Malaysiakini yang terburu-buru dengan melemparkan pelbagai tuduhan yang kesat dan tidak masuk akal.

Kami juga merasa amat kesal dan marah atas tindakan tersebut dan percubaan mereka yang dilihat cuba untuk mengheret institusi Diraja Johor ini ke kancah politik tanah air.

Mengutuk dengan sekeras-kerasnya kenyataan-kenyataan tersebut yang secara jelas amat biadap dan menghina institusi Diraja Negeri Johor.

Kenyataan-kenyataan tersebut dilihat mempunyai niat jahat bertujuan untuk memalukan institusi Diraja ini.

Selaku anak jati negeri Johor, kami menolak sepenuhnya sebarang percubaan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak beretika ini, demi memenuhi hasrat dan pemikiran sempit mereka.

Kelakuan itu juga jelas tidak mencerminkan peri laku masyarakat Malaysia secara amnya, dan rakyat negeri Johor secara khususnya yang amat memandang tinggi institusi Diraja ini.

Sebagai rakyat Johor, kami sekali lagi melahirkan rasa kecewa dengan tindakan mereka itu yang berniat untuk mengejek dan memalukan DYMM Baginda Sultan Johor.

Mengesa pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang biadap ini bagi memastikan perkara seumpama ini tidak berulang di masa hadapan.

Mereka itu juga perlu menyatakan maaf secara terbuka kepada DYMM Baginda Sultan Johor, kerajaan negeri dan rakyat Johor serta keseluruhannya di atas perbuatan yang biadap ini.


ABDUL WAHAB MANAN setiausaha kerja Umno bahagian Pengerang.

[Nota: Malaysiakini menegaskan bahawa kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui kemudahan Facebook di hujung ruangan berita kami. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Peringatan jelas ini dinyatakan di bahagian bawah setiap laporan yang disiarkan. Sebarang kesulitan amat dikesali. - Editor]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS