Meminta maaf adalah tanda sifat mahmudah, samada terhadap manusia apatah lagi dengan Allah. Sikap suka memohon maaf dan kesungguhan memohon maaf lumrahnya lahir dari rasa bersalah.
Lagi banyak rasa bersalah seseorang itu, maka lagi keraplah seseorang itu akan memohon maaf.
Memohon maaf dengan manusia atau rakyat teramai jarang dilakukan oleh mana-mana kerajaan atau pimpinan kerajaan. Kerana itu, apabila ada yang lakukan tentulah ia menjadi bahan perbincangan awam.
Memohon maaf tanpa sebarang niat dan tindakan untuk memperbetulkan kesilapan-kesilapan di atas membuka ruang kepada rakyat untuk menilai tahap keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam permohonan maafnya kepada rakyat baru-baru ini.
Memohon maaf kepada rakyat bermakna bersalah dengan rakyat. Apakah kesalahannya mungkin besar kerana ia melibatkan rakyat teramai.
Lantaran itu soal rakyat ingin memaafkannya atau tidak terpulang kepada rakyat, cuma Islam mengajar kita agar memaafkan kesalahan orang lain, agar Allah memaafkan kita.
Meminta maaf dan memaafkan suatu kesalahan adalah sifat terpuji, tetapi bukan bermakna kerajaan harus diberi terus mandat untuk melakukan semula kesalahan, penyelewengan, rasuah dan salahguna kuasa.
PAS yakin persoalan-persoalan mengenai penyelewengan dana negara, ketirisan sehingga berbillion ringgit serta kegagalan kerajaan membina sebuah negara yang berdaya saing, samada dalam pendidikan, ekonomi, sukan, keselamatan sosial dan pelbagai isu lain tetap akan kekal di minda rakyat Malaysia.
Ini kerana mereka sedar bahawa Perdana Menteri (PM) mereka hanya memohon maaf tatkala kerana pilihanraya umum ke 13 bakal menjelang tiba demi memohon rakyat terus memberi mandat kepada BN.
Penulis adalah Ketua Penerangan PAS Pusat.