Tindakan pihak Polis IPK Johor membuat sidang akhbar bagi mencari saya untuk mendapatkan keterangan saya adalah satu tindakan yang tidak profesional dan seolah-olah mempunyai niat buruk untuk menjatuhkan nama baik dan reputasi saya di hadapan umum.
Pihak polis Johor tidak pernah cuba menghubungi saya atau rakan kongsi saya atau pejabat saya di Johor Bahru mahupun di Kuala Lumpur atau mana-mana ahli keluarga saya tetapi sebaliknya terus mengadakan sidang akhbar kononnya saya tidak dapat dihubungi.
Saya berada di luar negara di atas urusan perniagaan dan tidak pernah dimaklumkan oleh Polis Johor bahawa saya dikehendaki member keterangan untuk membantu siasatan polis .
Di dalam kes kes terdahulu sebelum ini, saya telah membantu polis Johor dengan memberikan keterangan kepada siasatan mereka. Cara Pihak polis Johor menjalankan siasatan menunjukkan mereka gagal menjalankan siasatan secara professional serta memberikan kesan yang mengaibkan nama baik dan reputasi saya.
Saya sangat mudah dihubungi dan ini telah dibuktikan menerusi perbualan telefon saya dengan para wartawan yang menghadiri siding akhbar pada 31 Jan 2012.
Di dalam kes terdahulu yang disiasat beberapa bulan lalu, pihak polis Johor telah melakukan cara yang sama. Kes ini berkaitan dengan laporan polis yang dibuat oleh seorang ahli perniagaan.
Di dalam kes itu juga pihak polis Johor telah bertindak mengadakan sidang akhbar dan mengiklankan bagi mencari saya untuk membantu siasatan tidak sampai tempoh dua minggu dari tarikh laporan polis dibuat oleh pengadu. Saya pada masa itu berada di luar negara bagi urusan perniagaannya juga.
Di dalam kes itu, ahli perniagaan itu mendakwa beliau kerugian sebanyak RM2.5 juta, sebaik sahaja saya mengetahui bantuan dan keterangannya diperlukan saya telah menghubungi Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman untuk membantu pihak polis menyelesaikan kes itu.
Satu laporan balas telah dibuat oleh seorang rakan kongsi peguam itu yang menyatakan bahawa laporan polis olehlelaki itu adalah laporan PALSU yang berniat jahat untuk menjatuhkan nama baik dan reputasi firma guaman saya.
Cara pihak polis Johor di awal siasatan kes ini amat dikesali, sepatutnya jika mereka menjalankan siasatan secara professional mereka boleh menyelesaikan kes itu tanpa mengaibkan atau menjatuhkan maruah saya.
Jika mereka membaca kedua-dua perjanjian berkaitan sudah pasti jelas tiada apa apa unsur penipuan kerana segala pembayaran yang dibuat kepada saya adalah berdasarkan peruntukan-peruntukan yang terkandung dan dipersetujui secara kontrak yang sah di dalam perjanjian di antara syarikat berkenaan dan Kamal Hisham Jaafar.
Saya amat kesal pihak polis Johor di dalam kes tersebut lebih berminat kepada publisiti untuk menjatuhkan maruah saya berbanding dari menyelesaikan siasatan kes tersebut secara professional.
Saya percaya bahawa polis Johor dipengaruhi atau didesak oleh seorang kenamaan yang berpengaruh yang secara peribadi berniat hanya untuk mengaibkan saya kerana saya tidak bersetuju dengan beliau tentang beberapa perkara yang beliau menyalahi hukum agama dan undang-undang Negara.
Saya juga kesal bahawa satu lapuran polis yang dibuat terhadap saya pada 09 Mei 2011 yang sepatutnya menjadi Dokumen Umum telah dikategorikan sebagai “Dokumen Rahsia” oleh pihak polis Johor sehingga menyukarkan saya menyedikan jawapan dan pembelaan dan mempertahankan diri saya terhadap lapuran polis yang telah dibuat.
Di dalam menjalan satu siasatan kes lain yang berkaitan dengan saya, pihak polis Johor juga tidak menjalankan siasatan secara telus, adil dan professional yang mana mereka telah menjalankan waran geledahan dengan merujuk kepada kes kehilangan sebuah motosikal yang tiada kaitan dengan siasatan laporan polis yang dibuat oleh pengadu.
Saya meminta pihak polis menjalankan siasatan yang lebih telus dan adil serta memelihara hak saya sebagai rakyat Malaysia. Saya juga meminta segala kes yang sedang disiasat atau memerlukan keterangan saya di masa akan datang dikendalikan oleh Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman dan bukan dikendalikan oleh pasukan Polis Kontijen Johor.
Saya berharap campurtangan dari Ketua Polis Negara dan Menteri Dalam Negeri akan memastikan segala siasatan dibuat secara telus, adil dan profesional dan hak saya sebagai seorang rakyat Malaysia dihormati.
Saya menafikan salahlaku dan tuduhan yang dilapurkan terhadap saya. Saya juga menafikan keengganan saya bekerjasama dengan pihak polis seperti yang disiarkan menerusi media.