Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merupakan ibu kepada seorang pelajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) yang merupakan kolej universiti bawah pentadbiran kerajaan negeri.

Anak saya kini beliau berada di tahun 2 dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang di kolej tersebut.

Saya pada awalnya amat senang hati apabila menghantar anak melanjutkan pelajarannya di kolej universiti tersebut.

Saya banyak mendapat maklumat mengenai suasana pembelajaran di sana yang amat selesa dan persekitaran budaya Islam yang amat baik, tambahan pula anak saya mengambil jurusan pengajian Islam.

Namun segalanya bertukar menjadi mimpi ngeri kepada anak dan keluarga saya apabila dia banyak mengadu mengenai masalah besar yang dihadapinya dan rakan-rakan, antaranya:

  1. Yuran terlalu mahal. Pada semester lepas, yuran meningkat sekali ganda dan ini mengundang kemarahan pelajar. Sedangkan jika dilihat, tiada sebarang perubahan pun yang dibuat untuk kemudahan pelajar. Yang dilakukan hanyalah untuk perkara yang tiada kaitan dengan pelajar seperti mencantikkan tasik KUIS dan landskap taman. Perkara yang seharusnya diambil berat dan harus dilakukan perubahan tidak pula pihak dilakukan, sebagai contoh membantu pembayaran buku, menambah baik sumber dan kuantiti buku di perpustakaan, menambah baik sistem internet tanpa wayar dan sebagainya.

  2. Pihak KUIS kebiasaannya tidak memberi duit PTPTN yang seharusnya pelajar dapat dengan sepatutnya. Sebagai contoh,pelajar Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang akan mendapat RM8,000 sebagai bantuan daripada PTPTN. Yuran keseluruhan yang harus dibayar RM6,850.20. Jika dihitung, seharusnya pelajar akan dapat RM1,149.80). Tetapi, kami tidak akan dapat jumlah yang begitu sebaliknya pelajar akan dapat lebih kurang dalam RM1,000 hingga RM1,050 sahaja. Ini mengundang rasa tidak puas hati dan pelajar tertanya-tanya, ke manakah baki yuran yang sepatutnya diterima oleh para pelajar dan ke manakah duit pelajar tersebut disalurkan?

  3. Yuran naik terlalu mendadak sehingga memaksa pelajar ‘mengikat perut' dengan baki yuran yang tidak seberapa.

  4. Ada beberapa mata pelajaran yang tiada kena mengena dengan jurusan yang diambil, namun disenaraikan dalam yuran. Akibatnya, pelajar terpaksa membuang mata pelajaran tersebut dan yurannya tetap perlu dijelaskan.

Saya juga melahirkan rasa kesal kepada pihak pentadbiran KUIS dan juga kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) yang gagal menyelesaikan permasalahan dihadapi anak saya walaupun dibuat beberapa kali.

Permasalahan terus berulang dan pelajar kolej universiti tersebut terus dihimpit dengan kesempitan wang akibat yuran yang terlalu tinggi.

Harapan saya supaya pihak yang berkaitan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh anak saya ini dan rakan-rakannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS