Sektor perikanan di Malaysia sedang menuju ke arah kemusnahan berikutan pengurusan yang tidak cekap dan kegiatan menjarah sumber perikanan sejak beberapa dekad yang lalu hingga menyebabkan bekalan ikan di negara ini semakin pupus.
Menurut data Perikanan Dunia (World Fish), bekalan ikan di perairan kita menurun antara 80-90 peratus. Salah satu punca utamanya ialah akibat kegiatan nelayan pukat tunda yang menarik pukat yang besar dan berat di sepanjang dasar laut.
Plat logam besar dan roda getah yang terikat pada pukat bergerak di sepanjang dasar laut dan memusnahkan apa saja yang berada di dalam laluannya.
Sehubungan itu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya mengharamkan segera kegiatan nelayan pukat tunda yang memusnahkan kawasan perairan kita.
Ia juga perlu berhenti daripada menggalakkan promosi yang salah berhubung akuakultur yang menggunakan ikan baja sebagai makanan. Memandangkan projek akuakultur memerlukan lebih banyak bekalan ikan baja, kegiatan nelayan pukat tunda menjadi semakin berleluasa.
Nelayan pukat tunda menggunakan pukat yang ditarik oleh sebuah atau beberapa buah bot yang mengaut masuk berbagai jenis ikan tanpa mengira saiz dan memusnahkan dasar laut.
Sebahagian daripada negara-negara yang telah mengharamkan penangkapan ikan menggunakan pukat tunda untuk melindungi sumber perikanan mereka termasuklah Hong Kong, Indonesia, Palau dan Belize. Pada November 2004, Perhimpunan Agung PBB menggesa negara-negara agar menimbangkan pengharaman sementara tangkapan ikan di laut lepas bagi membolehkan ikan membiak semula.
Penangkapan ikan menggunakan pukat tunda dibenarkan di Malaysia. Akta Perikanan 1985 (Akta 317) hanya melarang nelayan pukat tunda daripada menangkap ikan di Zon A, iaitu 5 batu dari pantai yang dikhususkan kepada nelayan kecil.
Bagaimanapun, zon ini juga turut diceroboh oleh nelayan pukat tunda akibat penguatkuasaan yang lemah. Ini menyebabkan pemupusan sumber-sumber perikanan negara dan mengancam mata pencarian nelayan pantai.
Kegiatan nelayan pukat tunda semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini berikutan peningkatan permintaan ikan baja untuk projek akuakultur. Penggunaan utama ikan baja adalah untuk projek akuakultur pesisir pantai, memandangkan hampir 90 peratus penternakan ikan di Malaysia membabitkan pemberian ikan baja sebagai makanan.
Akibatnya penangkapan ikan menggunakan pukat tunda meningkat hampir dua kali ganda, mencecah lebih 60 peratus tangkapan ikan di negara kita. Kegiatan penangkapan ikan oleh nelayan pukat tunda menghasilkan lebih 90 peratus ikan baja.
Akuakultur adalah kegiatan yang sangat tidak efisien dari segi penggunaan sumber perikanan negara. Nisbah Tukaran Makanan (F.C.R.) bagi spesies utama akuakultur berbeza daripada 8-15:1, iaitu bergantung kepada kualiti ikan baja itu sendiri. Ini bermakna antara 8-15 kg makanan diperlukan untuk menghasilkan cuma 1 kg ikan akuakultur.
Ikan baja yang terdiri daripada anak-anak ikan juga memupuskan bekalan ikan negara kerana ia tidak sempat membesar.
Dalam satu tinjauan terbaru CAP di Kuala Kedah dan Kuala Sanglang kami mendapati sumber-sumber perikanan negara dikaut oleh nelayan pukat tunda apabila mereka membawa masuk bertan-tan ikan baja.
Di kilang makanan ikan, nelayan pukat tunda membawa masuk tangkapan mereka secara terus ke jeti berhampiran. Ikan-ikan yang lebih besar diasingkan dan diproses menjadi pes ikan untuk makanan manusia.
Ikan-ikan yang kecil pula diproses menjadi makanan ikan yang akan digunakan untuk projek akuakultur atau dicampur ke dalam makanan binatang untuk menambah kandungan proteinnya.
Kami telah mengambil 1 kg ikan baja dan mengasingkan pelbagai jenis ikan itu. Terdapat ratusan anak ikan daripada 10 jenis yang berbeza dalam sampel tersebut. Sebahagian daripada anak ikan, udang dan sotong itu mempunyai nilai komersial jika dibiarkan membesar.
Terdapat juga ikan-ikan yang lebih kecil daripada jari, iaitu cuma sebesar 1 inci.
Menurut nelayan tempatan, kini lebih 50 spesies ikan sama ada sudah pupus atau hampir pupus. Penangkapan ikan secara berlebihan telah menyebabkan ikan-ikan yang sudah matang sukar mencari pasangan untuk mengawan.
Spesies ikan yang popular, terutama ikan yang berharga, ditangkap dengan sewenang-wenangnya menyebabkan bilangannya jatuh secara mendadak.
Memandangkan sekarang adalah musim ikan kembung (Rastrelliger kanagurta) membiak, sejumlah besar ikan baja terdiri daripada ikan jenis ini. Sesetengahnya begitu kecil sehingga 900 ekor ikan ini cuma seberat 1 kg. Apabila matang, 6 ekor ikan kembung adalah seberat 1 kg.
Ini bermakna jika 900 ekor anak ikan kembung itu dibiarkan membesar, jumlahnya adalah 150 kg. Dalam perkataan lain, kita mungkin mengalami kerugian 150 kg ikan daripada 1 kg ikan baja.
Selain itu habitat anak-anak ikan juga semakin berkurang kerana paya bakau, yang menyediakan makanan dan perlindungan, terjejas akibat pembangunan pesisir pantai termasuk pembinaan pusat peranginan.
Menurut Jabatan Perikanan Malaysia, tangkapan ikan baja di Malaysia telah meningkat daripada 318,695 tan pada tahun 1995 kepada 353,810 tan pada tahun 2003.
Pada tahun 1980-an, Kerajaan bercadang untuk mewajibkan nelayan pukat tunda menggunakan lubang jaring bersaiz 40mm bagi pukat tunda. Tetapi ia kemudian mengalah dan membenarkan nelayan pukat tunda terus menggunakan lubang jaring 25mm (kira-kira 1 inci), menyebabkan anak ikan turut termasuk ke dalam jaring pukat tunda.
Di bawah Dasar Pertanian Negara Ketiga, pengeluaran hasil akuakultur di Malaysia disasarkan mencecah 600,000 tan setahun. Ini termasuk 200,000 tan ikan air tawar, 120,000 tan ikan laut, 150,000 tan hasil tangkapan udang dari laut, dan 130,000 tan kerang dan kupang.
Peningkatan berlipat ganda dalam pengeluaran daripada paras semasanya akan turut menambah permintaan ke atas bekalan ikan baja.
Isu pemupusan sumber perikanan pertama kali diketengahkan oleh CAP dalam satu seminar pada tahun 1977 berjudul Perikanan di Malaysia – Sumber yang Semakin Pupus. Pada ketika itu pun, masalah pemupusan sumber perikanan, kaedah penangkapan ikan menggunakan pukat tunda yang membawa kemusnahan, masalah ikan baja dan pencerobohan kawasan penangkapan ikan pesisir pantai telah diketengahkan.
Pada hari ini dengan pengenalan akuakultur, pengurusan sumber perikanan yang kurang cekap dan kurangnya langkah-langkah pemuliharaan oleh Kementerian, hanya memburukkan keadaan.
Dengan pengabaian dan pengurusan tidak cekap di pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, sumber perikanan laut kita mungkin akan pupus dalam tempoh 10 tahun. Tidak hairanlah jika pada suatu hari nanti kita hanya berpeluang melihat ikan-ikan yang menarik ini di dalam muzium sebagai tanda ia pernah hidup di perairan negara.
Untuk menghentikan kemerosotan sektor perikanan kita, CAP menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani supaya:
- Mengharamkan dengan serta merta kaedah tangkapan ikan yang menggunakan pukat tunda untuk menyelamatkan sumber-sumber dan kawasan pembiakan ikan.
- Menghentikan promosi salah akuakultur yang salah kerana ianya kurang efisien, memusnahkan sumber perikanan dan meningkatkan pengeluaran ikan baja.
- Mengharamkan penggunaan ikan baja sebagai makanan untuk projek akuakultur.
- Melaksanakan program pemuliharaan untuk melindungi dan memulihkan hutan bakau, terumbu karang dan lain-lain kawasan pembiakan ikan.
- Mengharamkan kegiatan penangkapan ikan ketika tempoh mengawan di kawasan pembiakan.
- Memulihara dan membiakkan semula semua spesies ikan laut yang sedang menghadapi ancaman kepupusan.
- Membentuk undang-undang yang lebih tegas dan mengenakan denda yang lebih berat ke atas mereka yang bersalah.
Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)