Saya mempunyai pendapat yang berbeza mengenai iltizam politik PAS mahu melaksanakan hudud dalam konteks sekarang.
Perbezaan pendapat yang pelbagai atau lebih tepat disebut al-ikhtilaf at-tanawu'i digalakkan dalam fiqh al-Islami merujuk pada konteks masa sekarang di Kelantan.
Bagaimanapun saya memuji mereka yang sependirian dengan dengan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam hal ini. Tentunya pendirian itu dengan mengambil kira soal kebijakan ajaib beliau dalam soal fiqh al-Islami . PAS bertuah kerana mempunyai seorang tokoh seperti Nik Aziz.
Pun begitu, dalam sebuah negara demokrasi yang menjunjung kebebasan berfikir, bersuara dan memberi pendapat, sepatutnya perbezaan yang pelbagai ini boleh dibaca, difikirkan dan dikritik secara rasional.
Inti demokrasi ini juga sebenarnya diraikan dalam disiplin fiqh al-Islami . Salah satu disiplin usul fekah yang menarik untuk perbincangkan mengenai al-hukmu ‘ala at-tarakhi dan al-hukmu ‘ala al-fauri .
Al-hukmu ‘ala at-tarakhi dalam konotasi yang mudah bermaksud hukum secara berlambatan. Al-hukmu ‘ala al-fauri pula bermaksud hukum secara bercepatan.
Perbincangan mengenai kedua-dua hukum ini berlaku apabila berhimpun lebih dari satu kewajipan dalam satu-satu kondisi baik masa atau tempat.
Kes 1
(a) Kewajipan solat Zohor dan Asar dalam waktunya.
(b) Kewajipan doktor menyelamatkan nyawa pesakit di kamar bedah bermula jam 12 tengah hari sehingga jam 5.30 petang.
Dalam konteks atau kondisi kes 1 ini, kewajipan (a) adalah al-hukmu 'ala at-tarakhi yang boleh dilunaskan secara menghimpunkan solat (jamak) Zahor dan Asar selepas jam 5.30 petang.
Berbanding dengan kewajipan (b) adalah al-hukmu ala al-fauri kerana kewajipan itu mungkin akan gagal ditunaikan (disebabkan pesakit hilang nyawa) disebabkan doktor berkenaan melengah-lengahkan menyelamatkan nyawa pesakit tersebut.
Kes 2
(a) Kewajipan menunaikan haji dan umrah (kali pertama) pada bulan November ini oleh pengundi berdaftar.
(b) Kewajipan menolak kezaliman Umno dan BN di pilihan raya umum (PRU) ke-13 (katakanlah rasmi) SPR umum pada bulan November ini.
Dalam konteks kes 2 ini, kewajipan (a) adalah al-hukmu ala at-tarakhi yang boleh dilunaskan pada tahun ini atau tahun depan sekiranya tidak ada berhimpun dengan kewajipan yang bersifat sebagai al-hukmu 'ala al-fauri seperti (b) yang mesti ditunaikan pada waktu pilihan raya itu diadakan sahaja, tidak boleh ditunaikan pada waktu lain.
Kes 3
(a) Kewajipan menunaikan umrah oleh Rasulullah SAW selepas mendapat wahyu (dalam bentuk mimpi) pada tahun ke-6 hijrah.
(b) Kewajipan mememeterai Perjanjian (bertulis) Hudaibiyah.
Dalam konteks kes 3 ini, kewajipan (a) adalah al-hukmu 'ala at-tarakhi yang boleh dilunaskan pada tahun tersebut.
Yang menarik, Rasulullah s.a.w menangguhkan kewajipan (a) untuk melaksanakan kewajipan (b) kerana kewajipan (b) dalam konteks ketika itu adalah al-hukmu ala al-fauri .
Rasulullah sanggup menggugurkan kalimah basmalah dan "Rasulullah" seperti diminta oleh Suhail demi menjayakan kewajipan (b) yang nyata adalah al-hukmu 'ala al-fauri .
Rasulullah berjaya memeterai Perjanjian Hudaibiyah walaupun ketika itu Rasulullah mempunyai masdaqiyyah al-ijtima'iyyah (mandat sosial masyarakat) di Madinah.
Mengapa Rasulullah tidak rigid dalam melaksanakan cita-cita Islam yang wajib (iaitu umrah) sedangkan ketika itu Rasulullahmerupakan seorang 'menteri besar' Madinah al-Munawwarah?
Mengapa keanjalan pada sunnah Rasullah dalam konteks memeterai perjanjian Hudaibiyah itu memberi isyarat bagi mendapatkan masdaqiyyah al-ijtima'iyyah Makkah?
Kes 4
(a) Kewajipan PAS melaksanakan hukum Allah di Kelantan dalam konteks Malaysia.
(b) Kewajipan PAS menolak kezaliman Umno BN di PRU ke-13 bersama-sama DAP dan PKR di dalam konteks Malaysia.
Dalam konteks kes 4 ini, kewajipan (a) adalah al-hukmu 'ala at-tarakhi yang boleh dilunaskan sekarang atau dilaksanakan selepas PRU ke-13 kelak.
Berbanding kewajipan (b) adalah al-hukmu 'ala al-fauri yang yang mesti direalisasikan bersama di PRU ke-13, iaitu kezaliman Umno perlu ditumbangkan dengan muafakat DAP (termasuk Karpal Singh), PKR, hatta rakyat sendiri yang terbatas pada masa sebelum dan ketika musim PRU ke-13 sahaja.
Sejarah bukan sumber hukum
Perjanjian Hudaibiyah tidak boleh dijadikan sumber hukum kerana sejarah tidak boleh dijadikan sumber hukum.
Sejarah Rasulullah sekadar suatu penjelasan atau gambaran di sebalik satu-satu sumber hukum yang diistinbatkan.
Sebab itu, lihat tindakan Rasulullah mengikut disiplin fekah, kerana ia berlegar pada proses melaksanakan kewajipan berasaskan pada sumber hukum yang qat'i (al-Quran dan as-Sunnah) mahupun dzonni (al-Qiyas dan al-ijma').
Al-Ijtihad al-maslahi 1
Ibrah dari tindakan Rasulullah dalam konteks Perjanjian Hudaibiyyah antaranya:
(a) Rasulullah dan para sahabat tetap melaksanakan Umrah al-Qadha pada tahun berikutnya.
(b) Genjatan senjata selama 10 tahun.
(c) Ruang dakwah dan dialog secara terbuka di Makkah.
Tiga perkara ini dilakukan oleh Rasulullah:
* Mengerjakan ibadat solat dan umrah secara terbuka (syiar Islam).
* Membebaskan warga Arab Makkah yang berhutang (kebajikan).
* Menebus dan membebaskan hamba-hamba yang dizalimi oleh pemerintah Makkah (imej keamanan dan keadilan)
(d) Ruang membina pengaruh di kalangan kerajaan-kerajaan lain seperti Raja Gassan, Abbessinia, Persia dan Romawi yang diusahakan sejak selepas Perang Badr (di tahun kedua hijrah) lagi.
(e) Bani Khuza'ah di Makkah berjaya dipujuk memeterai perjanjian damai dengan Rasulullah s.a.w sebagaimana yang dipersetujui bersama melalui Perjanjian Hudaibiyah.
(f) Membawa pada pengislaman beberapa wira musyrikin Makkah seperti Amru bin al-A'as, Khalid bin al-Walid dan Uthman bin Talhah.
Setibanya mereka di hadapan Rasulullah, Baginda bersabda: "Ini dia Makkah telah mencampak kepada kita buah hati kesayangannya".
al-Ijtihad al-maslahi 2
Ibrah di sebalik tindakan Nik Aziz dalam konteks sekarang menyuarakan cita-cita melaksanakan Hudud di Kelantan:
(a) Semua pemimpin PAS yang bercita-cita melaksanakan hudud bersatu mempertahankan cita-cita Tok Guru walaupun terpaksa berpecah dengan mereka DAP (dan mungkin PKR) dalam menentang kezaliman di PRU ke-13.
(b) 'Masdaqiyyah al-ijtima'iyyah' PAS di Kelantan mungkin kian kukuh dengan representasi DUN atau Parlimen di Kelantan bertambah walaupun 64 kerusi sasaran PAS untuk kuasai Putrajaya yang kebanyakannya di luar Kelantan mungkin ditolak disebabkan rigid dengan cita-cita Islam.
(c) Hudud mungkin boleh dilaksanakan selepas berjayanya referundum di Kelantan dalam penggal ini dan depan, tetapi referandum ini mungkin mengakibatkan perbezaan yang lebih tajam (baca: al-ikhtilaf at-tanaqud ) di peringkat nasional dalam kalangan Pakatan Rakyat yang sebenarnya tidak boleh dilaksanakan secara referandum pun kerana gagal menumbangkan Umno dalam PRU depan kelak.
(c) Memanjangkan kezaliman Umno sepenggal atau lebih lagi disebabkan PAS rigid dalam melaksanakan cita-cita Islam bersama PKR dan DAP. Menumbangkan kezaliman lebih diutamakan dari pelaksanaan hukum syara'.