Hendak pergi mendapatkan rawatan doktor tetapi dipaksa berpakaian formal iaitu bertali leher dan berkasut. Itulah realiti yang berlaku di Pusat Kesihatan Universiti Utara Malaysia (PKUUM).
Satu peraturan yang lansung tidak masuk akal dan tidak relevan. Mana mungkin seorang yang sedang sakit dan mengharapkan rawatan daripada doktor disuruh berpakaian formal seolah-olah ingin ditemuduga.
Lebih teruk lagi ada pelajar yang ingin mendapatkan rawatan dihalau keluar oleh kakitangan PKUUM semata-mata kerana tidak berpakaian formal.
Aduh malang sungguh nasib, sudahlah diuji dengan sakit, dihalau pula oleh mereka-mereka yang mendokong peraturan yang lansung tidak masuk akal!
Sebenarnya saya sendiri adalah salah seorang mangsa daripada beribu-ribu pengguna PKUUM. Suatu ketika saya diserang demam teruk dan telah pergi untuk mendapatkan rawatan di PKUUM.
Namun sesampainya saya di sana, tanpa banyak bicara saya terus dihalau oleh kakitangan PKUUM hanyalah kerana saya tidak berpakaian formal. Dalam keadaan yang lemah ditambah pula cuaca hujan wajarkah saya disuruh pulang semula semata-mata kerana tidak berpakaian formal?
Hebat sangatkah pengurusan PKUUM sehinggakan pelajar yang ingin berurusan dengannya perlu berpakaian formal? Adakah doktor dan kakitangannya majoriti daripada lulusan Universiti Oxford? Atau pengurusannya bertaraf lima bintang?
Segala macam persoalan bermain difikiran kami mahasiswa dengan peraturan pelik yang dicipta oleh pihak pentadbiran UUM.
Jika hendak dibandingkan dengan bayaran yang telah kami bayar setiap semester bagi tujuan kesihatan, perkhidmatan yang diberikan lansung tidak memadai. Bahkan ada pelajar yang sanggup mencari alternatif lain dengan pergi ke klinik di luar kampus semata-mata ingin mendapatkan rawatan yang lebih baik.
Apa yang diharapkan pihak PKUUM seharusnya memberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan matlamat universiti yang ingin menjadi universiti pengurusan terkemuka pada suatu hari nanti. Namun sebaliknya yang berlaku.
Janganlah membuatkan kami melabel pihak pentadbiran UUM sebagai hipokrit kerana hanya mahu mengaut keuntungan di atas kesusahan yang dihadapi pelajar semata-mata.
Saya berharap pihak pentadbiran UUM bersama MPP dapat memperbetulkan kekusutan yang berlaku ini dan bertindak segera sebelum lebih ramai lagi menjadi mangsa kepada peraturan yang tidak masuk akal ini.
Perkara ini sudah lama berlarutan dan telah berkali-kali disuarakan oleh pelajar. Pentadbiran UUM dan MPP pula sudah berkali-kali bertukar tampuk kepimpinannya.
Namun tiada apa-apa perubahan yang berlaku, ibarat mencurah air ke daun keladi. Apa yang kami mahukan adalah yang terbaik untuk universiti dan ingin menyumbang yang terbaik untuk universiti kami.