Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin telah siap dibina pada tahun 2008 menjelang berlangsungnya sukan SUKMA yang diadakan di negeri Terengganu.
Projek ’kebangaan’ kerajaan negeri di bawah kepimpinan Umno/BN ini pada mulanya di jangka siap pada tahun 2007 dengan kos asal projek berjumlah RM191 juta.
Namun akibat daripada berlakunya kelewatan siapnya projek ini lebih dari setahun, kosnya telah melambung naik kepada lebih RM 292 juta.
Projek mega ini telah di serahkan perlaksanaannya kepada tiga ‘kontraktor kroni’ utama iaitu Bina Struktur, Emarcon dan Genggam Mercu Sdn Bhd. Manakala pembekal utama bumbung stadium berbentuk ‘space frame’ ini adalah syarikat Sowon Pte Ltd dari Korea Selatan.
Namun pada 2 Jun 2009 suatu tragedi yang amat memalukan seluruh rakyat Terengganu telah berlaku. Pada jam 9.40 pagi, sebahagian daripada bumbung utama stadium kebangaan ini telah runtuh.
Mujurlah tiada sebarang kemalangan jiwa yang berlaku dalam insiden ini tetapi terdapat beberapa kenderaan yang rosak teruk akibat daripada keruntuhan itu. Semasa kejadian, projek ini masih lagi dalam tempoh tanggungan kecacatan’ dan pihak kontraktor yang sedang melaksanakan kerja-kerja membaiki kecacatan.
Pada 15 Jun 2009, satu Jawatankuasa Khas Penyiasatan telah ditubuhkan oleh Kementerian Kerjaraya (JKR) untuk menyiasat punca berlakunya keruntuhan bumbung stadium ini. Hasil dari penyiasatan yang telah dijalankan ini taklimat telah diberikan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) di bawah Parlimen Malaysia.
Antara faktor yang telah dikenalpasti olh pihak JKR semasa taklimat kepada PAC adalah empat punca utama iaitu;
- Rekabentuk yang tidak memadai; perekabentuk gagal untuk mengambilkira pertimbangnan yang secukupnya terhadap keadaan penyokong kepada struktur bumbung.
- Bumbung tidak dibina dengan sempurna menyebabkan berlaku salah jajaran kepada geometri
- Kawalan kualiti tidak dilaksanakan di tapak.
- Bahan dan kualiti hasilkerja (workmanship) tidak memenuhi spesifikasi yang telah ditentukan. Mutu pembuatan komponen keluli didapati tidak baik dan tidak memenuhi spesifikasi yang ditentukan.
Isu runtuhnya bumbung Stadium Sultan Mizan ini adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh rakyat Terengganu.
Walaupun kerajaan negeri telah berbelanja ratusan juta, kini telah lebih dua tahun stadium ini tidak dapat digunakan langsung. Manakala kerja-kerja baikpulih tidak berjalan lancar seperti yang di jangkakan.
Ramai kalangan rakyat Terengganu yang tertanya-tanya bilakah baikpulih stadium ini akan disiapkan? Dan siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab terhadap keruntuhan yang memalukan ini?
Dan pihak manakah yang akan menanggung kos baikpulih ini? Dan berapakah pula kos sebenar baikpulik stadium ini yang bernilai hampir RM300 juta ini?
Skandal besar yang memalukan ini perlu kepada penjelasan telus dari pihak kerajaan Terengganu khususnya di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Said ( kiri) sebagai menteri besar. Beliau tidak boleh menutup ‘sebelah mata’ dengan menyalahkan ‘kontraktor kroni’ kepimpinan yang lalu di bawah Datuk Seri Idris Jusuh ( atas, kanan ) semata-mata.
Menurut Ahmad Said, tambahan kos kepada penyelengaraan pembaikan stadium ini adalah di tanggung oleh tiga kontraktor utama yang bertanggungjawab. Kini persoalan besar yang timbul adalah apakah keseluruhan struktur stadium ini selamat untuk digunakan?
Dan berapakah tanggungan kerajaan negeri dalam baikpulih yang sedang berjalan ini?
Amat malang nasib rakyat di negeri Darul Iman ini.
Negeri yang kaya raya ini berhadapan dengan pelbagai skandal, salah-urus dan masalah kepimpinan yang amat lemah. Rakyat terpaksa menanggung bebanan masalah stadium yang runtuh, kolam renang yang bocor, stesen bas yang runtuh bumbungnya serta projek-projek pembaziran seperti zoo di Kemaman, subsidi ‘atap biru’, penberian air zam-zam dan buah kurma, yang semuanya melibatkan pembaziran dan kerugian ratusan juta ringgit.
Ya... RM300 juta yang dibelanjakan untuk Stadium Sultan Mizan ini berkemungkinan besar terbuang ke Laut Cina Selatan sahaja... dan penyu terpaksa menangis lagi di negeri Gganu kite ini.
Penulis adalah penolong setiausaha Agung PAS dan juga ADUN Batu Buruk, Terengganu.