Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengumuman bonus kepada penjawat awam jelas menunjukkan tindak-tanduk parti pemerintah memikat hati kakitangannya menjelang pilihanraya umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Dalam sejarah perkhidmatan awam negara, berita pemberian bonus tidak pernah diumumkan sebegitu awal sekali. Sesungguhnya para kakitangan kerajaan baru sahaja menghabiskan separuh tempoh perkhidmatan dalam tahun semasa.

Masih terdapat empat bulan pekhidmatan yang belum boleh diambil-kira, tetapi bonus telah dibayar lebih awal. Ini mungkin menunjukkan tata amalan kewangan yang tidak begitu cermat.

Mengikut amalan biasa, pemberian bonus sepatutnya diumumkan menjelang pembentangan bajet bulan Oktober nanti. Tetapi kali ini, kerajaan tidak dapat bersabar lagi, besar kemungkinan disebabkan oleh PRU-13 akan berlangsung bila-bila masa.

Dengan pengumuman bonus ini, maka boleh dikatakan hampir pasti PRU-13 akan berlangsung sebelum akhir tahun ini.

Sejak mengambilalih pucuk pimpinan kerajaan, Datuk Seri Najib Razak belum pernah menawarkan bonus kepada penjawat awam. Tahun 2009 dan tahun lalu, kakitangan awam mendapat dua kali bayaran  saguhati sebagai ganti bonus.

Pada masa yang sama, kenaikan kos hidup terus meningkat, mengakibatkan kakitangan kumpulan sokongan sentiasa tertekan dan terhimpit.

Dengan adanya pemberian bonus menjelang sambutan Aidilfitri kali ini, kakitangan boleh merasa lega dan suka tetapi bagaimana dengan undi-undi yang dipegang, ke mana hendak ditujukan pilihan mereka?

Tahniah dan syabas diucapkan kepada kerajaan dan kakitangannya.

Bayaran bonus menunjukkan kerajaan pemerintah menghargai sumbangan kakitangannya tetapi kerajaan boleh tersilap membuat andaian dan mengaitkan bonus ataupun sebarang bayaran tunai dengan undi pilihanraya.

Mengimbas kembali sejarah, pada bulan Julai tahun 2007, bekas perdana menteri Tun Abdullah telah meluluskan kadar kenaikan gaji yang paling besar dalam sejarah perkhidmatan awam tetapi menjelang pilihanraya umum Mac 2008, undi-undi kakitangan kerajaan di kawasan bandar dan pinggir bandar masih berganjak dari tradisi pro-kerajaan kepada pro-pembangkang.

Perubahan haluan dikatakan antara faktor penyumbang yang paling besar mengakibatkan kerajaan negeri-negeri Perak dan Selangor tumpas secara mengejut.

Kerajaan mesti berhati-hati kerana model pemikiran rakyat kawasan bandar dan pinggir bandar sudah banyak berubah. Walaupun kerajaan berniat baik, golongan pengundi bandar dan pinggir bandar tidak lagi merasa terhutang budi dan terpanggil untuk membalas budi menerusi peti undi.

Dalam usaha memikat hati rakyat dan pengundi, strategi yang lebih teratur dan perhatin hendaklah diterapkan sepanjang masa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS