Laporan Suruhanjaya Diraja Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock akan diumumkan kepada orang ramai. Ia dijual pada harga RM45 senaskhah.
Sebenarnya, adalah lebih baik sekiranya laporan ini diberikan secara percuma kepada sesiapa sahaja yang menghendakinya. Cara yang mudah bagi merealisasikan ini adalah dengan membenarkan orang ramai memuat turun laporan ini di laman web khas.
Dengan demikian, seluruh rakyat Malaysia mendapat akses pada laporan ini. Malah, kaedah muat turun bukan hanya relevan bagi laporan ini, tetapi untuk semua jenis bahan yang diterbitkan oleh kerajaan.
Adalah elok jika semua jenis bahan yang diterbitkan oleh kerajaan (laporan suruhanjaya, kertas putih, statistik dan sebagainya) disiarkan di laman web kerajaan.
Segala jenis terbitan kerajaan tidak seharusnya dijual, tetapi diberikan secara percuma kepada rakyat melalui kaedah muat turun. Bagi mereka yang ingin membeli hard copy pula, ia haruslah dijual pada harga yang minimum.