Pembentukan jati diri sesebuah negara bangsa bukannya satu proses yang mudah lebih-lebih lagi melibatkan negara ini yang merangkumi kepelbagaian etnik dan budaya.
Menurut Budayawan A Aziz Derawan yang dipetik daripada Berita Harian bertarikh 28/04/2011, menjelaskan betapa kehidupan berbangsa itu ditunjukkan sifat jati diri menerusi persamaan lambang, institusi nasional, perundangan, nilai kebangsaan yang dikongsi bersama, kesetiaan politik dan rasa keyakinan diri sebagai satu bangsa.
Menurutnya lagi, elemen nilai akhlak, moral, etika yang kukuh, demokratis, liberal bertoleransi dalam konteks penerimaan, adil dan saksama yang bermakna tidak semesti kesamarataan, progresif dan makmur, serta daya saing, daya tahan, tangkas dan dinamis.
Demokrasi dan Partisipasi Golongan Muda
Sistem politik sesebuah negara seharusnya menggalakkan golonga muda menyertai proses demokrasi dengan aktif.
Dalam konteks ini, penglibatan golongan muda dalam sistem politik berdemokrasi secara langsungnya melibatkan hak mereka sebagai rakyat Malaysia serta bentuk ruang yang diberikan untuk mengalakkan penglibatan mereka yang seterusnya mampu mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh pemerintah atas dasar kepentingan masyarakat sivil.
Di Malaysia. partisipasi golongan muda dalam sistem berpolitik demokrasi masih terhad akibat dicengkam dengan pelbagai macam dasar dan undang-undang yang diimplementasikan oleh golongan pemerintah yang dalam erti kata tidak lain tidak bukan hanya semata-mata mahu untuk memastikan status-quo pemerintah tidak dicabar dalam apa cara sekali pun.
Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 merupakan bukti tunjang bagaimana para pembuat keputusan gagal dalam mengisythiarkan hak berdemokrasi di kalangan golongan muda di peringkat akademik.
Inilah yang akhirnya dilihat sebagai membantutkan penglibatan golongan muda dalam membangunkan masyarakat sivil di negara ini.
Di satu pihak, Bersih 2.0 membuktikan bagaimana semangat golongan muda mewarnai perhimpunan tersebut yang pastinya merupakan satu fenomena yang unik dalam sistem demokrasi negara ini.
Ini kerana golongan muda ini tidak mewakili mana-mana parti politik tetapi apa yang mereka mahukan ialah partisipasi mereka dalam sistem demokrasi di negara ini diiktiraf oleh pemerintah.
Menariknya, pemerintah selalunya hanya mendekati golongan muda secara agresif untuk mendapatkan undi semata-mata tetapi tidak pernah memberikan ruang untuk mereka berpolitik secara demokratik.
Bagi golongan muda ini, apa yang mereka mahukan ialah sebuah sistem kerajaan dengan sebuah pemerintah yang bukannya bersifat kebal dan kejam sebaliknya bertindak sebagai satu bentuk komuniti yang bukan sahaja mendengar luahan rakyat semata-mata tetapi mengambil berat akan isu tersebut.
Inilah demokrasi namanya bagi golongan muda.
Jika andaian bahawa demokrasi melibatkan dua entiti yang berlainan iaitu yang majoriti (pemerintah) akan menjaga minoriti (rakyat) dengan syarat bahawa minoriti perlu taat terhadap majoriti, itu bukannya demokrasi.
Apa pendefinisian mutlak untuk ‘menjaga’? ‘Taat’ yang bagaimana yang perlu ditunjukkan oleh rakyat terhadap pemerintah? Andaikata golongan muda diberikan ruang untuk terlibat dalam proses demokrasi dengan adil dan tanpa sebarang cengakaman kuku besi maka kita boleh andaikan bahawa itu akan menjadi pemangkin kepada pembentukan jati diri dan budaya bangsa di negara ini.
Perpaduan
1Malaysia dan penerapan nilai ini di kalangan orang muda bukannya sesuatu yang mudah seperti apa yang difikirkan oleh pemerintah.
Mengapa sekarang baru kita hendakkan 1Malaysia? Bukankah 1Malaysia telahpun dipraktikkan daripada zaman nenek moyang kita lagi?
Apa yang sukar untuk diterima akal pemikiran waras ialah bagaimana isu perpaduan ini dicanangkan demi untuk menakutkan rakyat dan seterusnya mengukuhkan pemerintahan yang ada sekarang.
Sama ada sedar ataupun tidak, perpaduan di antara setiap insan di bumi yang dipijak ini sememangnya utuh dan tidak dapat dihancurkan oleh sesiapa jua namun perpaduan ini jugalah menjadi alat politik para politikus yang gemar menjadikannnya isu demi untuk mengekalkan kuasa dan pemerintahannya.
Apa gunanya 1Malaysia sekiranya saban hari kita terpaksa melayan kerenah dan tuntutan badan pendesak berasaskan kaum yang juga dilihat bukannya untuk kepentingan kaum mereka tetapi untuk mengekalkan hegemoni politik mereka.
Jika benar andaian bahawa perpaduan dikalangan golongan muda sudah rapuh dan berada pada tahap yang boleh menganggu gugat kestabilan negara bangsa itu sendiri, persoalan utama kini disandarkan pada matlamat pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Bermula pada Disember 2003, selepas lebih tujuh tahun, apa bentuk kejayaan yang dapat dirangka daripada PLKN ini?
Bukankah kini perpaduan sudah tidak seharusnya menjadi satu isu negara lagi memandangkan hampir berpuluh ribu bekas pelatih PLKN yang berada di luar sana sudah mampu menghayati Rukun Negara dan memiliki jati diri yang mapan yang seterusnya dapat mengalakkan kepada pembentukkan sebuah negara bangsa yang harmoni? Ke mana arah tuju sebenar PLKN ini?
Ada kecenderungan di kalangan ahli akademik di negara ini yang berpegang teguh kepada pandangan J.S Furnival dalam bukunya yang bertajuk Colonial Policy and Practice: A Comparative Study of Burma and Nertherlands India(1956) yang menyalahkan dasar pihak British ketika era pascamerdeka iaitu dasar ‘pecah dan perintah’ yang menyaksikan pengasingan kaum dalam konteks ekonomi negara ketika itu.
Hujah inilah yang menjadi pegangan kuat para ahli akademik di negara ini yang lebih selesa untuk tidak melihatnya secara kritikal.
Sama ada sedar atau tidak, dasar ‘pecah dan perintah’ ini sengaja terus diamalkan dalam usaha untuk memastikan setiap etnik penduduk dinegara ini bercampur tetapi tidak akan bergabung atau dalam erti kata lain hanyalah bersifat seperti salad bowl.
Langkah ini dilihat amat penting bagi pemerintah untuk memastikan golongan etnik dinegara ini lebih menumpukan kepada kepentingan etnik mereka semata-mata dan seterusnya mengehadkan penyertaan mereka dalam sistem politik demokrasi di negara ini.
Ini berbeza dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain yang menerapkan konsep melting pot menyatukan dan meleburkan etnik utama dan minoriti bersama-sama dengan satu bahasa dan budaya dalam usaha untuk membentuk perpaduan kaum.
Sama ada salad bowl atau melting pot , ia bergantung sepenuhnya kepada sistem politik pemerintah itu sendiri.
Sistem politik dan pengagihan ekonomi yang berasaskan kaum tetapi pada masa yang sama mempromosikan 1Malaysia. Ini namanya demokrasi?
Bumi sudah dipijak, izinkan kami menjunjung langit dengan bebas!
Sistem politik berasaskan etnik dilihat menguntungkan golongan pemerintah sahaja dalam usaha menjadikan perpaduan sebagai modal propaganda dalam meraih simpati golongan muda di negara ini.
Namun, Bersih 2.0 adalah bukti bagaimana golongan muda pelbagai ras berhimpun bersama tanpa sedikit pun rasa was-was sesama sendiri, mengetepikan segala fahaman politik kotor yang cuba memecah belahkan sesama mereka dan paling penting, Bersih 2.0 adalah bukti betapa golongan muda dahagakan sebuah demokrasi yang tulen di negara ini.
Golongan muda ini sedar bahawa jurang ekonomi diantara yang kaya dan miskin bukan sahaja luas tetapi makin mendalam. Sesuatu perlu dilakukan dalam usaha merapatkan kembali jurang tersebut. Jika ada tuduhan yang mengatakan bahawa golongan muda di negara ini tidak berpijak di bumi nyata maka itu tidak lebih daripada satu tuduhan liar semata-mata.
Para pemuda-pemudi sudah berpijak pada bumi ini, cuma apa yang mereka inginkan ialah izinkan mereka untuk menjunjung langit ini dengan bebas atas dasar demokrasi tanpa sebarang sekatan dasar dan undang-undang serta fahaman politik yang meracuni jati diri dan budaya bangsa mereka sebagai bangsa Malaysia!
Penulis adalah pensyarah Jabatan Kewartawanan, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Tunku Abdul Rahman