Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa ketika dahulu dunia aktivisme kemahasiswaan diberi nafas kembali apabila Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mencadangkan agar mahasiswa kembali diberi ruang melibatkan diri dalam politik.

Beliau berkata, masanya telah tiba bagi kita mengkaji semula kedudukan sekarang dan berfikir secara serius bagi membenarkan pelajar universiti menjadi ahli parti politik.

Namun percanggahan cadangan ini dengan peraturan di dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti menjadikan mahasiswa terus pesimis dengan cadangan-cadangan selepas daripada itu yang dikeluarkan oleh Menteri berkenaan.

Tambahan pula dengan lontaran idea yang hanya dibiar sepi oleh pihak Kementerian selepas ianya diperbincangkan oleh semua pihak, akhirnya cadangan ini senyap begitu sahaja.

Dalam hal ini, terdapat dua persoalan penting yang harus kita rungkaikan. Pertama, bagaimana ruang lingkup berpolitik yang perlu difahami oleh mahasiswa?

Perkara asas yang perlu difahami oleh mahasiswa ialah mahasiswa adalah suatu entiti di dalam masyarakat yang pada hakikatnya mempunyai kewarganegaraan yang sah seperti rakyat Malaysia yang lain.

Lalu, di atas asas ini kita memahami bahawa mahasiswa juga adalah rakyat di mana hak sivil seperti bersuara, mengemukakan pendapat, memberi cadangan dan lain-lain adalah dijamin oleh perlembagaan. Hak ini diiktiraf oleh perlembagaan Malaysia serta tidak boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Sebagai kelompok intelektual dalam masyarakat, aksi berpolitik mahasiswa tidaklah sama seperti masyarakat biasa.

Kelebihan daya intelektual ini memberikan mahasiswa keupayaan untuk melihat negara dengan pandang sisi yang tersendiri. Idea kelompok mahasiswa adalah 'genuine' atau asli yang menjadikan mahasiswa tidak boleh dipengaruhi oleh mana-mana pengaruh politik kepartian.

Oleh sebab itu, prinsip 'non partisan' menjadi teras penglibatan mahasiswa dalam politik tanah air.

Selain itu, mahasiswa juga dikelompokkan di dalam kelompok masyarakat sivil. Di dalam sesebuah negara yang mengimpikan keadaan politik yang stabil, masyarakat sivil berfungsi menjadi agen semak imbang kepada negara.

Mahasiswa bebas memberi cadangan dan mengkritik secara konstruktif berbekalkan nilai-nilai akademik yang digariskan. Salah faham sesetengah pihak di dalam hal ini ialah, apabila mahasiswa mengkritik maka mereka dilabel 'anti-establishment' dan dianggap mahu menjatuhkan kerajaan.

Oleh itu, aksi-aksi politik mahasiswa harus ditanggapi dengan cermat, jangan sampai seluruh anak muda protes terhadap politik negara.

Persoalan kedua, apakah AUKU itu sendiri menjadi 'root cause' atau masalah pokok yang mengekang aktivisme mahasiswa di dalam politik?

Jawapannya adalah ya.

AUKU itu sendiri dicipta atas tujuan yang tidak baik atau disebut sebagai 'mala fide'. Penggubalan AUKU adalah bertujuan bagi menyekat maraan gerakan mahasiswa bertitik tolak daripada beberapa peristiwa.

Antaranya, seperti pengisytiharan manifesto oleh Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) di dalam Pilihanraya Umum ke-4 sehingga tercetusnya Persitiwa 13 Mei 1969, demontrasi Anti Tunku oleh PMUM di UM pd 29 Ogos 1969 serta demontrasi “Papan Tanda” 5 Okt. 1970 iaitu pertembungan PMUM (sosialis) & PBMUM (nasionalis) sehingga membuka terlalu banyak kelemahan Kerajaan dalam isu Bahasa Melayu dan Pendidikan.

Pembaca jangan terlalu terkejut dengan dakwaan saya ini.

Baru-baru ini saya melihat gambar di dalam laman sosial Facebook Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya, di dalam slaid pembentangan oleh bekas Timbalan Naib Canselor (HEP) menggariskan poin bahawa AUKU berjaya mengekang kegiatan pelajar yang bertentangan dengan dasar universiti dan kerajaan.

Beliau dalam slaid tersebut juga berpendapat gerakan pelajar ini tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi menggugat keselamatan serta menjatuhkan kerajaan.

Mahasiswa, AUKU dan PRU13

Saya menulis artikel ini dengan niat untuk melihat kembali sejauhmana kebebasan pergerakan mahasiswa diberi perhatian. Saya mencadangkan idea membenarkan partisipasi mahasiswa dalam politik dinilai segera oleh kerajaan dan semua pihak terutamanya menjelang Pilihanraya Umum ke-13.

Ini juga sebagai langkah awal bagi memastikan tiada lagi mahasiswa yang didakwa, ditangkap dan dibicarakan atas nama AUKU apabila melibatkan diri dalam politik negara.


Penulis adalah Yang Di-Pertua MPMUM


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS