Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muqaddimah

Tarikh 27 Rejab yang bakal tiba beberapa hari lagi amat sinonim dengan sambutan Israk Mikraj yang disambut oleh masyarakat Islam di seluruh dunia.

Di Malaysia, lazimnya masjid-masjid, surau-surau, agensi-agensi kerajaan mahupun NGO akan menganjurkan sambutan dengan mengadakan majlis ceramah dan sebagainya yang bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat tentang pentingnya iktibar di sebalik peristiwa bersejarah ini.

Beberapa negeri seperti Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis telah menetapkan tarikh 27 Rejab yang bersamaan dengan hari Rabu, 29 Jun 2011 sebagai hari cuti umum. Saya kira, sudah pasti ketika ini pihak pengurusan masjid dan surau mungkin sedang sibuk menyusun-atur program bagi menyambut peristiwa bersejarah ini memandangkan tempoh masa dengan tarikh tersebut hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Bila berbicara tentang peristiwa Israk Mikraj ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa. Pertama - Isra’ yakni perjalanan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.  

Sementelah fasa kedua pula – Mi’raj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Rasulullah SAW ini telah diabadikan oleh Allah di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud; ”Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaksa yang telah Kami berkahi sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”

 

Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah SAW hanya berlangsung pada satu malam.

Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah SAW berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut. Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh para penceramah setiap kali sambutan Israk Mikraj diadakan, saya melihat roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa masyarakat Islam.

Semasa mendengar ceramah, kita mendengar dengan penuh minat dan mungkin akan sesekali ketawa jika penceramah berjenaka. Selesai ceramah kita akan sama-sama menjamah jamuan yang disediakan dan kemudian pulang ke rumah tanpa membawa apa-apa.

Hidup diteruskan seperi biasa dan iktibar di sebalik Israk Mikraj masih gagal difahami. Begitulah keadaannya setiap kali tibanya Israk Mikraj.

Saya tidak bermaksud isi kandungan ceramah yang disampaikan tidak menarik, tetapi pada saya mungkin pengolahan cerita di sebalik kisah ini perlu ditambahbaik atau dipelbagaikan dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa agar ia lebih realistik dan masyarakat akan lebih jelas akan hikmah yang terselit di sebalik peristiwa ini.

Justeru, tulisan saya ini tidak berminat untuk menceritakan kembali apa yang semua sudah tahu iaitu kisah dan kronologi perjalanan Rasulullah di dalam peristiwa Israk Mikraj ini, sebaliknya saya akan fokuskan perkara-perkara tersirat di sebaliknya.

Pengukuhan akidah

Kita seringkali dimaklumkan yang bulan Ramadan adalah penghulu segala bulan namun mengapakah dalam susunan bulan hijriyyah bulan Rejab mendahului bulan Ramadan? Sudah tentu ada yang tersirat di sebalik susunan tersebut.

Antaranya ialah Rejab mengandungi falsafah pemantapan dan pengukuhan aqidah di sebalik peristiwa Israk Mikraj yang berlaku di dalamnya manakala bulan Ramadan adalah pesta ibadah di mana kita akan diberikan ganjaran pahala yang berlipat kali ganda.

Di dalam Islam, perkara pertama yang perlu dititikberatkan ialah mengenal Allah dan perkara-perkara berkaitan aqidah sebelum kita berbicara tentang ibadah dan sebagainya. Jika persoalan aqidah masih bermasalah, bagaimana mungkin kita ingin bicarakan tentang ibadah kepada Allah yang belum kita imani sesungguh hati?

Begitulah pentingnya persoalan aqidah didahulukan sebelum perkara-perkara lain sebagaimana fasa dakwah Rasulullah yang dimulai dengan fasa Makki – yang menekankah aspek pemurnian aqidah umat Islam diikuti fasa Madani - yang berkaitan kaedah-kaedah untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah melalui persoalan ibadat, akhlak dan sebagainya. Sifir mudahnya, bagaimana mungkin kita mencintai Allah jika kita belum mengenalNya?

Berbalik kepada peristiwa Israk Mikraj, jika kita singkap dan amati, begitu ramai sekali sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang bergoncang aqidah mereka serta menjadi murtad gara-gara tidak percayakan cerita Rasulullah SAW yang telah diisrak’ dan dimi’rajkan ke detinasi yang mengikut congakan logik akal manusia yang waras adalah tidak masuk akal untuk berlaku dalam masa satu malam!

Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana ini adalah peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah SAW dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda. Maka berteriaklah Abu Jahal kepada warga Makkah – ”hai warga Makkah, sesiapa yang ingin mendengar cerita sensasi daripada Muhammad, silalah berhimpun beramai-ramai untuk kita sama-sama mendengarnya” – mungkin begitulah bunyinya.

Terlopong dan tersentak

Apabila diceritakan kisah ini oleh Rasulullah SAW, maka ramailah yang terlopong dan tersentak. Bagaimana mungkin mereka ingin percayakan cerita Rasulullah SAW itu kerana setahu mereka jika perjalanan dari Makkah ke Masjidil Aqsa menggunakan kaedah pengangkutan ketika itu – barangkali menggunakan unta – paling cepat mengambil masa beberapa hari atau minggu. Inikan pula berlaku hanya satu malam.

Tambahan pula bukan hanya ke Masjidil Aqsa tetapi juga ke Sidratil Muntaha. Oh tak mungkin! Mustahil! Muhammad dusta! Itulah kata-kata yang dihamburkan kepada Rasulullah SAW. Abu Jahal begitu gembira melihat ramai mula meragui dan mempertikaikan kebenaran Rasulullah SAW itu.

Namun, di sebalik suasana gawat itu, tampil seorang lelaki yang berkata: “Wahai Muhammad Rasulullah. Sekiranya engkau katakan engkau telah pergi lebih jauh daripada destinasi-destinasi itu sekalipun aku akan tetap mempercayakanmu!”

Orang itu, tidak lain tidak bukan adalah Abu Bakar As-Siddiq yang sentiasa membenarkan Rasulullah SAW walau apa jua keadaan. Subhanallah, begitu kentalnya iman dan kukuhnya aqidah yang dimiliki oleh sahabat agung yang mendampingi Rasulullah SAW ini.

Bagi menduga kebenaran kata-kata Rasulullah SAW, maka Abu Jahal bertanyakan tentang ciri-ciri fizikal Masjidil Aqsa dengan harapan Rasulullah akan memberikan jawapan yang salah. Namun, dengan bantuan dan izin Allah, Rasulullah SAW berjaya menjawab dengan tepat dan ini benar-benar menghairankan Abu Jahal.

Tidak puas hati dengan kebenaran jawapan itu, Abu Jahal bukannya ingin mengakui kebenaran jawapan Rasulullah SAW, sebaliknya menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli sihir! Begitulah kuatnya tentangan kaum musyrikin Makkah terhadap Rasulullah SAW.

Mana mungkin Rasulullah SAW menipu sedang baginda diakui seorang yang bermanah sehingga digelar Al-Amin. Walaupun menyedari kebenaran dakwah Rasulullah SAW, musyrikin Makkah masih enggan menerimanya kerana mereka sedar jika mengakui kebenaran Rasulullah SAW, maka perniagaan dan kepentingan mereka yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Kebenaran dakwah

Maka, mahu tidak mahu dakwah Rasulullah SAW perlu ditentang meskipun hati kecil mereka mengakui kebenaran dakwah Rasulullah SAW tersebut.

Mungkin analogi pada masa ini, memang ada pihak yang mengakui kebenaran Islam yang sifatnya syumul dan lengkap, namun amat sukar untuk menerima dan mengamalkannya kerana dibimbangi kepentingan-kepentingan tertentu yang berasaskan perkara haram akan terjejas.

Maka, mahu tidak mahu, sebarang usaha yang boleh menyedarkan masyarakat tentang Islam yang sebenar yakni Islam yang mengharamkan penyalahgunaan dan penyelewengan perlu ditentang habis-habisan. Pada mereka lebih baik dibiarkan masyarakat jahil dalam agama agar kesilapan dan kemungkaran yang mereka lakukan tidak disedari oleh masyarakat.

Sebab itulah, bila ada pihak yang cuba kembali kepada ajaran Islam yang sebenar sebagaimana yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah dan sebagaimana yang diarahkan Rasulullah SAW seperti perkara-perkara berkaitan hukum-hakam Islam - arak itu hukumnya haram, judi itu haram, rasuah itu haram, berlaku adil itu wajib dan sebagainya, orang akan katakan itu bukan Islam yang sebenar tetapi itu ialah politik!

Itu bukan hukum hudud sebenar tapi itu hudud yang bermotifkan politik! Bukankah persoalan hukum-hakam ini datangnya daripada Islam melaui nas-nas yang muktabar, bukannya melalui politik.

Bahkan Islam tidak bergantung kepada parti politik mahupun sesiapa, tetapi kita semua yang memerlukannya. Jika tiada parti politik sekalipun Islam akan tetap wujud dan hukum-hakamnya tetap perlu dilaksanakan. Maka apa rasionalnya jika kita ingin kembali kepada Islam kita dituduh ingin berpolitik? Begitulah bencinya segolongan manusia terhadap Islam yang sebenar.

Sudahlah tidak suka pada Islam dan syariatnya, dihasut pulak orang lain agar sama-sama membenci agama suci ini. Watak ini saling tak tumpah seperti watak Abu Jahal dalam kisah Israk Mikraj ini yang menuduh Rasulullah SAW sebagai ahli sihir meskipun hati kecil mereka menyedari dan mengakui kebenaran Rasulullah SAW.

Diukur logik akal

Saya masih tertanya-tanya di dalam diri, jika saya dan tuan-puan berada dalam majlis penerangan oleh Rasulullah SAW berkaitan peristiwa Israk Mikraj ini, adakah kita mampu menyertai Abu Bakar yang membenarkan Rasulullah SAW atau kita akan berada di belakang Abu Jahal yang mendustakan Rasulullah SAW?

Saya sendiri bimbang, dengan situasi diri yang lemah ini, kadangkala amat sukar untuk menjadi sehebat Abu Bakar. Tapi itulah cabaran yang perlu disahut. Dalam situasi sebegini, jika logik akal menjadi pertimbangan, maka sudah pasti kita akan mendustakan Rasulullah SAW.

Sesungguhnya dalam perkara agama, tidak semua perkara boleh diukur dengan neraca logik akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas walau sehebat manapun ilmu mereka. Keimanan kepada Allah dan RasulNya itu memerlukan pertimbangan yang jauh menjangkaui batasan logik akal manusia.

Kalaulah logik akal menjadi ukuran, bagaimana kita ingin menerima hikmah kisah Nabi Ibrahim AS yang meninggalkan isteri baginda Siti Hajar yang masih di dalam tempoh berpantang

bersama bayi mereka Nabi Ismail AS di tempat yang kontang dan jauh dari manusia lain?

Bukankah arahan Allah itu zalim mengikut tafsiran akal kita yang dangkal ini? Sudahlah ditinggalkan di tempat yang gersang, apabila si anak telah membesar, Allah arahkan pula Nabi Ibrahim AS untuk menyembelih Nabi Ismail AS – sebuah kisah yang sering diulangcerita di dalam khutbah Eidul Adha setiap tahun.

Namun berkat ketaatan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail, maka Allah tukarkan arahan menyembelih Ismail kepada menyembelih seekor kibasy. Nah, jika akal yang dangkal ini sekali lagi digunakan untuk mengukur kewajaran arahan Allah itu, sudah pasti kita akan katakan ia zalim.

Dosa pahala

Begitu juga, jika kita percayakan falsafah manusia yang mengatakan ”seeing is believing” itu, bagaimana ingin kita percayakan perkara sami’yyat di dalam agama ini seperti persoalan dosa-pahala, syurga-neraka dan sebagainya yang mata kasar kita tidak dapat melihatnya. Semua ini perlu dilihat dengan pandangan iman bukannya pandangan mata kasar dan akal semata!

Jika dikait dengan situasi hari ini, amat menyedihkan bila sudah ada yang cuba mempersoalkan hukum dan syariat Allah hanya kerana ia tidak dapat terima oleh logik akal mereka. Ambil contoh hukum hudud dan qisas, meskipun ia bukannya satu-satunya perkara yang ditekankan Islam, namun ini tidak semestinya membuka ruang untuk hukum itu dikritik dan diperlekehkan.

Janganlah kerana tidak sukakan sesetengah orang, hukum-hakam Allah pula yang menjadi sasaran ejekan.  Ada yang mempersoalkan jika hukuman hudud dan qisas dilaksanakan, kita tidak mampu lagi membuat jalanraya kerana batu yang perlu digunakan untuk membuat jalanraya telah habis digunakan untuk merejam pesalah zina.

Begitu juga ada yang mengatakan jika hukuman potong tangan dilaksanakan, jenuhla kita makan sup tangan kerana ramai benar yang mencuri pada hari ini. Saya tidak nafikan mungkin terdapat khilaf ulama’ tentang keperluan dan waktu yang sesuai untuk melaksanakan hukuman tersebut, tetapi ia tidak membuka ruang untuk kita mengejek hukum-hakam Allah ini kerana hukum-hakam ini bukan hukum manusia tetapi datangnya dari Allah melaui Al-Quran dan Sunnah.

Kalaupun tak suka dan tak berminat dengan hukum-hakam Allah sekalipun, jangan menghina dan mengejeknya. Kalau tak suka menutup aurat sekalipun, janganlah menghina orang yang menutup aurat dengan mengatakan memakai tudung dan jilbab ini tiada asas dalam Islam. Ia hanyalah amalan wanita Arab bagi mengelakkan terkena pasir atau mengelakkan gangguan lelaki Arab yang nafsunya kuat.

Kalau tak suka bangun malam atau berqiyamullail, jangan menuduh bangun malam bermunajat kepada Allah itu akan menyebabkan otak dan minda akan menjadi lembap dan bebal. Kalaupun suka bersalaman dengan orang yang bukan muhrim, janganlah menghina dan mengatakan orang yang enggan bersalam dengan bukan muhrim sebagai orang yang ketinggalan zaman, kolot dan punca perpecahan.

Kalaupun tidak mahu mengambil ketetapan keperluan mengutarakan empat saksi bagi pembuktian kes tuduhan zina atau qazaf, janganlah pula menghina keperluan empat saksi yang dianggap tak masuk akal itu sebegai kolot dan tak mampu menyelesaikan masalah.

Nah, banyak sangat jika mahu disingkap kesangsian dan keraguan umat Islam terhadap agama mereka sendiri. Saya tidak hairan atau pelik jika non-Muslim tidak inginkan hukum Islam tetapi saya amat dan sangat hairan jika umat Islam sendiri yang bukan sahaja tidak berminat malah menentang hukum Allah dan syariatNya.

Khatimah

Secara kesimpulannya, jika masih terdapat di dalam hati sanubari kita perasaan ragu terhadap Islam samada terhadap hukum-hakam dan syariatnya walau sekelumit, maka ada suatu yang tidak kena dengan pegangan aqidah kita.

Kadang-kadang kita tidak sedar, bila memberikan komen yang memperlekahkan hukum-hakam Allah, pegangan dan aqidah Islamiyyah kita boleh terjejas. Ambillah kesempatan di bulan Rejab yang penuh berkah ini untuk memperkasakan pegangan aqidah dengan meningkatkan ilmu dan pengetahuan tentang perkara-perkara agama.

Hanya dengan ilmu dapat membolehkan kita membezakan haq dan batil di atas neraca Islam, bukannya ceraca aqal yang doskong oleh emosi dan sentimen. Mudah-mudahan amal ibadah yang kita lakukan adalah berdasarkan cinta dan sayang kita hasil aqidah dan iman yang sebenar kepada Allah.

Ambillah watak Abu Bakar sebagai contoh dan tauladan agar kita sentiasa berbaik sangka dengan syariat Islam serta tidak sekali-kali mempertikaikan apatah lagi mengejeknya. Seterusnya, buangkan jauh-jauh watak Abu Jahal dari kehidupan kita kerana watak itu tidak baik itu dijadikan ikutan, malah akan membawa kita jauh daripada agama islam yang sebenar.

Moga-moga Israk Mikraj yang bakal kita sambut pada bulan ini dapat memberi satu impak yang signifikan dan positif ke arah menjadikan diri kita Muslim dan Muslimah yang taatkan Allah dan RasulNya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS