Umum mengetahui bahawa air merupakan salah satu elemen terpenting dalam kehidupan selain udara yang disedut setiap detik.
Namun tidak ramai di antara kita yang menyedari bahawa bahan komoditi ini tidak selamanya boleh dinikmati sebagai anugerah alam yang kekal. Seperti juga keperluan manusia dan hidupan lain terhadap udara yang disedut saban hari, tidak selamanya kita mendapat udara yang bersih dan segar.
Sesekali muncul jerebu akibat kerakusan manusia mencemarkan udara, manusia hanya mampu mengeluh. Dalam konteks ini, air juga tidak selamanya dibekalkan bersih dan mencukupi.
Fenomena El Nino, musim kemarau yang panjang, peningkatan keperluan air melebihi kapasiti bekalan, pencemaran sungai dan beberapa insiden lain sama ada disebabkan oleh fenomena alam mahupun akibat perbuatan manusia, akhirnya manusia itu sendiri menerima akibatnya.
Walaupun pembekal air bersih terawat yang memantau keperluan air seperti SYABAS telah menjangkakan bahawa kekurangan sumber air bersih dan terawat akan berlaku seawal tahun 2012, namun ianya seolah-olah dipandang sepi oleh masyarakat umum termasuk pihak berkuasa.
Natijahnya, ia menjadi bahan pertikaian politik yang akhirnya merugikan semua pihak. Ramai beranggapan bahawa bumi Malaysia dilimpahi rahmat hujan yang banyak yang melebihi 2600mm setahun membolehkan kita berfikir bahawa kita mendapat sumber air yang secukupnya.
Kenyataan ini sekaligus seolah-olah mengiyakan bahawa krisis air seperti yang berlaku pada tahun 1998 lalu tidak akan berulang.
Namun kenyataannya, itu bukanlah satu-satunya faktor penentu kerana selain berlaku perubahan iklim yang tidak menentu termasuk musim panas kering yang turut melanda, kekangan kapasiti infrastruktur rawatan dan agihan air serta peningkatan terhadap permintaan air bersih yang terus meningkat merupakan perkara yang perlu diambil perhatian serius.
Menurut kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 10 Mei 2011 yang lalu, musim monsun barat daya yang secara relatifnya adalah lebih kering dan panas ditambah dengan kehadiran ribut tropika Aere di timur laut Filipina serta sistem tekanan rendah di Laut Andaman telah menyebabkan cuaca di negara ini bertambah panas daripada kebiasaannya, malah bagi bulan Mei ini, bacaan suhu tertinggi yang dicatat setakat 10 Mei 2011 adalah 36.2 oC, iaitu pada 6 Mei 2011.
Keadaan cuaca panas dan kering yang melanda negara pada awal bulan Mei lalu secara langsung telah meningkatkan permintaan pengguna terhadap bekalan air bersih yang menyebabkan pengeluaran air dari loji-loji rawatan air juga terpaksa ditingkatkan.
Hasil pemantauan dan analisa SYABAS mendapati, purata permintaan bekalan air harian di seluruh negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dari 1 Januari hingga 30 April 2011 adalah sebanyak 4076 JLH (Juta Liter Sehari), dengan rezab kapasiti sebanyak 229 JLH dan margin rezab 5.29 peratus jika dibandingkan dengan jumlah kapasiti bekalan sebanyak 4326 JLH.
Rekod permintaan air harian dari 9 Mei 2011 sehingga 15 Mei 2011 jelas menunjukkan rezab harian telah menurun sehingga 2% sahaja dengan berlakunya cuaca panas untuk tempoh tersebut.
Tarikh Permintaan Air Harian Sebenar (JLH) Kapasiti Bekalan Air Sediada (JLH) Kapasiti Rezab
(JLH) Margin Rezab
(%)
09 / 05 / 2011 4188 4326 138 3.19
10 / 05 / 2011 4166 4326 160 3.70
11 / 05 / 2011 4242 4326 84 1.94
12 / 05 / 2011 4154 4326 172 3.98
13 / 05 / 2011 4223 4326 103 2.38
14 / 05 / 2011 4190 4326 136 3.14
15 / 05 / 2011 4193 4326 133 3.07
Peningkatan terhadap permintaan bekalan air bersih ini kemungkinan berpunca daripada cuaca panas dan secara langsung menyebabkan para pengguna meningkatkan penggunaan air untuk mandi, membasuh, menyiram pokok dan sebagainya. Kadar keperluan air sedia ada di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ini juga telah melampaui keupayaan maksima pengeluaran air daripada beberapa loji rawatan air, terutama sekali semasa permintaan puncak berlaku.
Beberapa loji rawatan air seperti Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Semenyih, LRA Sungai Langat serta LRA Sungai Batu adalah antara loji-loji yang telahpun beroperasi melebihi kapasiti rekabentuknya di mana peratusan pengeluaran air terawat bagi loji-loji ini adalah seperti berikut :
# Loji Rawatan Air
Kadar Operasi Sebenar
(JLH) Kapasiti Rekabentuk
(JLH) Purata Pengeluaran
(1 - 11 Mei 2011) Berbanding Kapasiti Rekabentuk
1. Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2
959 950 100.9%
2. Loji Rawatan Air Sungai Semenyih
629 546 115.2%
3. Loji Rawatan Air Sungai Langat
467 386 121.1%
4. Loji Rawatan Air Sungai Batu
122 113.7 107.3%
Sekiranya cuaca panas dan kering seperti yang dihadapi sebelum ini berlanjutan, maka ianya boleh mengakibatkan aliran sungai yang merupakan sumber air utama ini menjadi susut.
Memandangkan bebrapa loji utama beroperasi pada tahap maksima, maka sebarang penyusutan pada sumber air ini secara langsung akan mengurangkan kadar pembekalan air dan seterusnya mengakibatkan gangguan bekalan air.
Selain itu, penyusutan aliran sungai ini turut berpotensi menyebabkan kadar pencemaran sungai meningkat termasuk peningkatan kandungan ammonia yang tinggi disebabkan oleh faktor pencairan yang rendah (dilution).
Ini boleh mengakibatkan loji rawatan air terpaksa diberhentikan operasinya kerana sumber air mentah tercemar ini tidak boleh dirawat dan selanjutnya menyebabkan gangguan bekalan air kepada para pengguna. Keadaan cuaca panas dan kering ini bukan sahaja menyebabkan paras sungai dan empangan menjadi kurang, tetapi situasi ini akan menjadi bertambah rumit sekiranya ditambah dengan keadaan loji rawatan air yang telah beroperasi di tahap maksima.
Merujuk kepada statistik sejak tahun 1997, Loji Rawatan Air Cheras Batu 11 yang mengambil air dari Sungai Langat adalah antara loji yang paling kerap ditutup akibat pencemaran sumber air mentah. Rekod penutupan operasi telah berlaku sebanyak 55 kali yang mana penutupan yang paling tinggi dicatatkan adalah pada tahun 1998, iaitu sebanyak 16 kali.
Ini juga diikuti dengan Loji Rawatan Air Salak Tinggi yang telah ditutup sebanyak 42 kali, yang mana penutupan yang paling tinggi dicatatkan pada tahun 2002, iaitu sebanyak 11 kali.
Satu pendekatan dan tindakan yang boleh diambil untuk menangani masalah kekurangan bekalan air ini adalah dengan cara mengurangkan kehilangan air fizikal. Walaupun pihak SYABAS bergiat aktif dalam usaha ini semenjak tahun 2005, pihak SYABAS telah dapat mengurangkan kadar kehilangan air tanpa hasil (NRW) daripada 42.78 peratus kepada hanya 32 peratus sahaja.
Walaubagaimanapun, usaha-usaha ini telah terbantut sejak tahun 2008 apabila program CAPEX SYABAS telah ditangguhkan kelulusannya oleh pihak Kerajaan dan SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara) kerana program CAPEX ini hanya dihadkan untuk kerja-kerja yang sangat kritikal sahaja untuk diluluskan.
Pihak SYABAS sentiasa menggalakkan para penggunanya untuk berjimat cermat menggunakan bekalan air bersih dalam menjalani kehidupan seharian mereka. Kajian yang telah dibuat oleh Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), purata penggunaan air dalam sehari bagi setiap individu (per kapita) di Malaysia adalah 226 liter air sehari.
Manakala di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, kadar penggunaan air per kapita adalah di tahap 216 liter sehari. Kadar ini jauh lebih tinggi berbanding penggunaan air oleh individu di negara-negara lain termasuk Singapura iaitu 155 liter sehari dan Thailand sebanyak 90 liter sehari. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) juga turut mencadangkan penggunaan air bagi setiap individu sepatutnya adalah sebanyak 165 liter sehari.
Penjimatan bekalan air ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara, antaranya termasuk menggunakan pancuran (shower) ketika mandi, menggunakan air tadahan hujan untuk menyiram pokok bunga serta mencuci kereta, sentiasa memastikan sistem paip dalam premis bebas daripada sebarang kebocoran menerusi pemeriksaan meter air, dan sebagainya.
Oleh yang demikian, kebijaksanaan para pengguna adalah diharapkan dalam menggunakan air sebaik-baik mungkin dan dengan cara yang paling berhemah bagi mengelakkan sebarang pembaziran dari berlaku.
Pihak berkuasa juga perlu memainkan peranan yang penting dengan mengadakan penguatkuasaan terhadap mereka yang mencemarkan alam sekitar terutamanya sumber air mentah bagi memastikan sumber bekalan air kita sentiasa bersih serta selamat untuk diproses dan disalurkan kepada para pengguna.
Pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap pembangunan kapasiti bekalan air tambahan ini juga perlu dalam mengambil langkah-langkah awal bagi memastikan bekalan air yang disalurkan kepada pengguna mencukupi disamping dapat mengurangkan risiko terhadap kesan-kesan yang berpunca dari perubahan cuaca.
Pada masa yang sama, para pengguna juga disarankan agar tidak menjalankan aktiviti-aktiviti yang boleh mengakibatkan kesan pencemaran kepada sungai bagi memastikan bekalan air yang bersih dan berterusan dapat dinikmati dalam kehidupan seharian serta generasi yang akan datang.
Penulis adalah Pengarah Eksekutif Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS)