Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahniah kepada Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau lebih dikenali sebagai Kemala atas pemahsyuran beliau sebagai Sasterawan Negara ke-11.

Meskipun tiada sambutan atau liputan secara besar-besaran, anugerah tersebut tetap adalah satu penghormatan yang besar dan berprestij khususnya kepada sasterawan yang yang tekal menyumbangkan buah fikir dalam berkarya demi untuk korpus keilmuan dan keintelektualan anak bangsa di kemudian hari.

Entah di mana silapnya, di Malaysia selepas Dasar Pandang ke Timur, Wawasan 2020 dan fokus pembangunan dan pengajian berteraskan teknologi maklumat diapungkan menjadi dasar pelaksanaan dan dasar matlamat waras fikir rakyat, kesusasteraan terus terpinggir bak melukut di tepi gantang.

Hasilnya, kesusasteraan menjadi subjek dan lapangan yang dilihat hanya diminati oleh golongan kuat berkhayal dan tidak berpijak di bumi yang nyata.

Mereka yang meminati sastera dilihat sebagai manusia pelik yang suka menyendiri dan bersifat individualistik, tidak bernilai dan tidak punyai nilai komersial dan peluang bagi memakan gaji besar di kemudian hari.

Hakikatnya, sastera adalah satu wadah yang sudah wujud setua wujudnya ilmu matematik, muzik, falsafah, logik dan sebagainya.

Melalui sastera dan persuratan, segala ilmu yang maujud pada hari ini boleh dikesinambungkan sehingga berkembang dan membentuk ilmu-ilmu yang terus bercambah dan mencapah.

Jangan dilupa juga antara tiga kategori anugerah Nobel dunia yang pertama dianugerahkan juga adalah dalam bidang sastera selain daripada ekonomi dan fizik.

Ini adalah kerana, dunia mengiktirafkan peranan dan pengaruh sastera dan persuratan dalam mempengaruhi masyarakat dunia dalam menentukan hala tuju mereka, sama ada untuk kebaikan atau sebaliknya.

Kalau kita baca, biografi tokoh-tokoh hebat dunia sepanjang zaman sama ada mereka itu Muslim atau bukan Muslim, nescaya kita akan mendapati kesemua mereka memang menjadikan sastera bangsa sebagai teras pengajian malah menyanjung dan menganguminya.

Dalam masa yang sama, mungkin mereka sendiri adalah seorang sasterawan dan juga agamawan, sasterawan dan juga matematikiawan, sasterawan dan ahli logik dan falsafah dan seterusnya.

Justeru, saya menyeru pihak media arus perdana memberikan ruang yang sewajarnya kepada para sasterawan kita. Jadikan mereka sebagai rujukan dan mohon pendapat dan sudut pandang mereka dalam segala genap isu yang berlaku dalam negara.

Malah amat patut diadakan rancangan khusus di televisyen seperti yang dikendalikan untuk mereka melontarkan buah fikir seperti rancangan Bual Bicara dan Respon bersama Sasterawan Negara.

Atau paling kurang berikan mereka satu kolum khusus dalam akhbar perdana bagi mereka berinteraksi dan berkongsi buah fikir dan keintelektualan mereka dengan masyarakat Malaysia keseluruhannya.

Kita nanti dan lihat pihak manakah yang terlebih dahulu menunjukkan penghargaan mereka kepada permata tanah air yang tidak jenuh melorek tinta mereka di lembaran zaman demi sebuah pemikiran dan rakaman rasa masyarakat demi sebuah kehidupan bermasyarakat yang bermakna.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS