Saya merupakan salah seorang mahasiswa OKU yang telah berijazah pada tahun 2006 dan mewakili bekas mahasiswa-mahasiswi OKU lain yang telah menamatkan pengajian sebelum sidang akademik 2010/2011.
Kami ingin merayu pada pihak kerajaan khususnya Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin agar dapat membantu kami dalam menyelesaikan masalah pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN).
Untuk pengetahuan pihak tuan, pada masa itu, kami yang datangnya dari keluarga kurang berada terpaksa membuat pinjaman dengan pihak PTPTN untuk meneruskan pengajian kerana tiada atau kurangnya bantuan kewangan.
Selepas kami menamatkan pengajian, kami terpaksa menghadapi cabaran hidup yang jauh lebih mencabar. Kami terpaksa menghadapi pelbagai cabaran untuk mendapatkan pekerjaan dan bekerja.
Selain menanggung perbelanjaan diri dan keluarga, kami juga terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan untuk mengubahsuai kenderaan, membayar tambang teksi yang agak tinggi, membeli peralatan-peralatan khas dan menanggung kos perubatan serta membeli keperluan lain.
Hal ini semua sememangnya telah menyebabkan kami menghadapi kesukaran untuk membayar balik pinjaman kami.
Oleh kerana gagal membayar balik pinjaman tersebut, kami telah diberi surat peguam di mana kami diberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya kami tetap tidak membayar balik pinjaman.
Hal ini telah menambahkan lagi tekanan kami.
Saya sendiri telah beberapa kali merayu pada pihak PTPTN agar saya dikecualikan daripada membayar balik pinjaman tersebut tetapi rayuan-rayuan saya tidak dapat diluluskan.
Akhir kata, saya amat berharap agar pihak tuan membantu kami merayu pada pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah PTPTN kami. Segala jasa baik pihak tuan saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih.