Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Hampir genap dua bulan saya tidak menjejak kaki ke panggung wayang untuk menonton filem tempatan. Perkara ini disebabkan oleh ketiadaan teman untuk menemani saya menonton filem tempatan.

Tidak sehingga kemarin, saya telah ditemani dua sahabat lain untuk menonton filem “Nur Kasih The Movie” (NKTM) yang sudah lebih dua minggu ditayangkan di panggung wayang.

Namun, sambutan terhadap filem ini amat memerangsangkan apabila melihat pawagam hampir dipenuhi penonton filem NKTM. Maka, tidak keterlaluan sekiranya seseorang itu meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem yang telah mencatatkan kutipan hampir RM 4 juta setakat ini.

Pelbagai aspek filem ini telah menyumbang kepada kutipan panggung yang agak memuaskan ini. Antaranya, barisan pelakon sama ada pelakon utama ataupun pelakon sampingan yang arif membawa perwatakan mereka.

Kewujudan pelakon kanak-kanak yang memainkan watak Elias dan Mariam telah menambahkan unsur “feel-good-factor” kepada filem yang sudah memiliki barisan pelakon yang tidak asing daripada peminat filem dan drama tempatan.

Selain itu, cubaan pengarah untuk menggunakan cara penyampaian cerita yang agak berlainan dalam filem tempatan merupakan usaha yang harus diberi pengiktirafan. Contohnya, pengarah banyak mengaplikasikan unsur imbas kembali dan monolog pelakon turut membezakan filem ini dengan filem tempatan yang lain.

Bukan itu sahaja, terdapat beberapa babak yang menggunakan teknik kunjungan semula seorang watak pada masa silamnya telah menambahkan unsur saspens dan rasa ingin tahu kepada penonton.

Oleh sebab itu, saya berpuas hati dengan wang tiket yang telah saya belanjakan untuk menonton filem ini.  

Memandangkan kutipan daripada penonton yang begitu lumayan adalah menjadi kewajipan kepada pengkritik filem untuk meneliti filem berkenaan dan bukannya setakat menyeru pembaca untuk menonton filem yang didakwa cukup merobek hati penonton itu.

Ramai yang sedar akan populariti drama bersiri “Nur Kasih” yang juga merupakan karya gabungan suami isteri (Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa) yang nama mereka tidak asing buat peminat filem tempatan.

Melalui NKTM, Mira Mustaffa yang merupakan penulis skrip filem cuba menyelitkan elemen kesedihan, kebahagian dan cabaran untuk menamatkan drama bersiri yang dikatakan tergantung sebelum ini.

Watak Malang Seorang Wanita

Namun begitu, saya kurang setuju dengan pendapat yang mendakwa filem ini mampu merobek hati penonton dengan menawarkan pelbagai babak yang memilukan penonton.

Hal ini kerana elemen kesedihan dan cabaran yang dimasukkan ke dalam filem ini sebenarnya dibentuk melalui watak malang seorang wanita yang bernama Nur Amina (Tiz Zaqyah).

Perkara ini boleh dilihat melalui plot-plot filem yang secara tidak langsung meletakkan kesalahan ke atas seorang wanita solehah yang banyak berkorban demi suami (Adam – Remy Ishak) dan ahli keluarganya.

Permulaan filem yang diisi dengan kebahagian keluarga kerana Nur yang dikurniakan cahaya mata telah ditamatkan dengan kejam oleh pengarah (ataupun penulis skrip) apabila kandungan Nur tergugur tanpa diberi penjelasan dalam filem ini.

Walaupun begitu, penonton harus diperingatkan akan babak-babak yang ditayangkan sebelum keguguran kejam ini berlaku. Sebaik sebelum keguguran bayi, Adam ditunjukkan seorang diri dalam bilik tidurnya lalu dikejutkan dengan keguguran bayi yang menimpa Nur.

Hal ini mungkin disebabkan oleh ketidakprihatinan Nur ke atas kandungannya sendiri, yakni terus (degil) melakukan kerja rumah walaupun beliau boleh meminta bantuan daripada Adam.

Sebelum ini, Nur ditunjukkan kurang prihatin akan kandungannya apabila beliau cuba mengambil bekas makanan yang diletakkan di dalam almari yang tinggi sebelum Adam menghentikannya lalu membantunya untuk mengambil bekas makanan tersebut.

Selepas itu, penonton dihidangkan beberapa babak yang menunjukkan Adam kelam-kabut membuat kerja rumah yang sebelum ini dilakukan oleh Nur.

Maka, secara tidak langsung, punca keguguran ini telah ditujukan ke atas Nur yang tidak mampu menjaga kandungannya. Disebabkan keguguran ini, Nur dan Adam telah diselubungi rasa sedih dan kecewa yang tidak mampu difahami oleh mereka yang tidak pernah kehilangan kurniaan cahaya mata daripada Tuhan yang maha Esa.

Ekoran daripada kekecewaan ini, mereka memulakan lawatan mereka ke Jordan untuk meredakan perasaan sedih yang sukar untuk diubati mahupun dipadamkan daripada memori mereka.

Di sini jugalah Nur dikisahkan sebagai pembawa malang kepada suami yang begitu menyayanginya itu. Dalam suatu kemalangan keretapi yang tidak disangkakan, nyawa Nur hampir tergugat akibat daripada kecederaan parah yang menimpanya.

Namun, Nur diberi peluang untuk meneruskan hidupnya selepas Adam berdoa kepada Tuhan. Doanya itu harus ditelitikan di sini – Adam sanggup dirampas segalanya selain Nur. Kerelaan Adam ini mungkin telah menyayat hati ramai penonton, namun ia telah mengundangkan malapetaka yang tidak jauh dahsyat ke atas dirinya, yakni nyawanya itu.

Nasib malang yang pada asalnya menimpa Nur telah beralih kepada Adam dalam susulan plot filem. Hal ini berlaku apabila Adam diserang kesakitan di jantungnya semasa perjalanan pulang ke hotel selepas mengalami kesulitan mencari cincin perkahwinan Nur.

Nur yang tidak berkeupayaan untuk menjaga cincin pemberian Adam telah kehilangan cincin itu dalam kemalangan keretapi yang meragut banyak nyawa. Nur bukan sahaja tidak mampu menjaga cincin berkenaan malah beliau ditunjukkan tidak sedar (kurang ambil berat) akan kehilangan cincin yang begitu bermakna buat Adam. Nur hanya tersedar akan kehilangan cincinnya itu selepas dipersoalkan oleh Adam.

Seperti yang disebut sebentar tadi, Adam telah diserang oleh kesakitan di jantung sebelum keretanya terbabas di kawasan gurun.

Kesakitannya itu disebabkan oleh bahan tajam yang termasuk ke dalam badannya sebelum ini (diceritakan dalam drama “Nur Kasih”).

Bermulanya dari sini juga, Adam mula menanggung kesulitan hidup yang amat sukar ditahani sesiapa jua. Beliau sentiasa mengalami kesakitan di jantungnya sehinggalah beliau redha dan bersedia akan kematiannya kerana beliau tahu tiada sesiapa pun yang boleh membantunya.

Bantuan perubatan yang diberikan oleh pihak hospital hanyalah mampu melanjutkan nyawanya dan bukannya mengubah keadaan.

Semasa Adam menanggung kesakitan dan bersedia dengan kematiannya itu, beliau telah diberitahu bahawa Nur kini sudah mengandung anak baru mereka.

Oleh itu, Adam perlu memikul tanggungjawabnya sebagai seorang ayah lalu “dipaksa” meneruskan kehidupannya dengan menanggung kesakitan yang tidak tertanding itu.

Di sebalik kesakitan Adam, Nur terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab yang berat buat seorang ibu yang mengandung. Nur perlu mencari rezeki untuk menampung kos perubatan Adam dan pembelanjaan rumah yang amat tinggi di samping menjaga serta menemai suaminya, Adam.

Itulah situasi yang diberikan kepada seorang wanita bernama Nur dalam NKTM. Nur dikaitkan dengan dirinya yang merupakan pembawa malang kepada Adam lalu beliau dihukum dengan pelbagai bebanan dan tanggungan yang dirasakan berpatutan untuk berlaku ke atas dirinya.

Dengan kata lain, bebanan yang ditanggung oleh Nur telah dihalalkan hanya kerana Nur merupakan sumber kepada segala masalah yang berlaku ke atas Adam.

Nur: Sumber kepada Segala Masalah

Selanjutnya, Nur juga diberi perwatakan yang agak negatif yang boleh dibuktikan melalui beberapa babak yang amat segar dalam ingatan saya.

Antaranya, dalam suatu serangan pengganas bertopeng semasa Adam menemani Nur membeli belah di Jordan, nyawa Adam hampir diragut kerana cuba menyelamatkan Nur yang sudah diserang tembakan peluru.

Tindakan berani Adam menghadapi pengganas bertopeng itu cukup mengharukan penonton. Namun, semua ini dihentikan apabila penonton mengetahui keadaan sebenar bahawa aksi-aksi ganas tersebut hanya merupakan konstruksi mimpi Adam yang amat sayang dan prihatin terhadap Nur.

Oleh sebab itu, Adam terpaksa menanggung dan menghadapi kebimbangan, sekali lagi, akan kehilangan Nur yang merupakan bebanan kepadanya.

Bukan itu sahaja, kewujudan Ju –  seorang remaja perempuan yang terjebak dalam masalah disiplin dan menghadiri kelas agama yang diadakan oleh Adam – turut menambahkan “dosa” (perwatakan negatif) ke atas Nur.

Hal ini amat jelas apabila Ju mematahkan keputusannya yang ingin berjumpa dengan Adam secara bersendirian apabila Nur mencampur tangan untuk menghalang Ju berbuat demikian. Di sebalik ajaran agama yang melihat tindakan Nur itu berpatutan, perkara ini perlu dikaji dengan lebih mendalam dengan melihat kesan-kesan tindakan Nur selepas itu.

Menurut kefahaman saya, Ju mempunyai masalah yang hanya ingin dikongsikan bersama Adam. Ju mengkin mempunyai perasaan sayang terhadap Adam dan mungkin lebih selesa untuk meluahkan masalahnya kepada Adam secara bersendirian.

Walau bagaimanapun, tindakan Ju telah dihalang oleh Nur apabila beliau cuba mendekati Ju. Oleh itu, masalah Ju tidak dapat diselesaikan dengan serta-merta malah berlanjutan sehingga tersebar ke atas Aidil, yakni abang kepada Adam.

Masalah ini jelas kelihatan melalui pertembungan darah di antara teman lelaki Ju dan Aidil. Dalam pertembungan darah tersebut, Mat (rakan sekelas Ju) tampil untuk menyelamatkan Aidil yang sudah mengalami cedera parah. Teman lelaki Ju yang hilang kawalan terhadap emosinya memukul Mat dengan pili besi sehingga Mat meninggal dunia.

Perkara ini berlaku kerana Ju membohongi teman lelakinya bahawa Aidil mempunyai hubungan sulit dengannya. (Sekali lagi, watak wanita diberi perwatakan yang negatif.) 

Walaupun nyawa Mat, dan bukannya Aidil, yang tergadai di sini, penonton perlu sedar bahawa semua ini bermula dengan kemunculan Nur yang menghalang Ju untuk meluahkan masalahnya.

Masalah Ju mungkin dapat diselesaikan lebih awal dan malapetaka ini mungkin dapat dielakkan sekiranya Nur tidak menghalang Ju untuk berjumpa dengan Adam secara bersendirian.

Oleh itu, Nur bukan sahaja merupakan pembawa malang  kepada Adam, beliau juga pembawa malang kepada Mat dalam perkara ini.

Mungkin ada sebilangan penonton yang berpendapat bahawa kematian Mat adalah berpatutan kerana pemergiannya telah membawa peluang hidup buat Adam yang mempunyai perwatakan yang jauh lebih baik berbanding dengan Mat yang bermasalah disiplin.

Meskipun begitu, penonton perlu memahami dua perkara, iaitu:

1) nyawa manusia adalah sama nilainya, tiada sesiapa yang patut didiskriminasi (atau diberi keutamaan) kerana perbezaan akhlak mahupun faktor lain (kekayaan, kaum, bangsa, agama ataupun pegangan politik);

2) kematian Mat yang menyelamatkan Adam (kerana Mat menderma jantungnya kepada Adam) juga boleh dibacakan sebagai “hukuman” kepada Nur sebentar nanti.  

Sebagai “hukuman” kepada Nur yang merupakan sumber kepada segala masalah, beliau telah ditakdirkan hidup bersendirian tanpa Adam semasa usianya meningkat.

Pada masa itu juga, beliau kehilangan ingatan yang terbentuk sekian lama bersama suami yang disayanginya. Nur kelihatan nyanyuk dan kehilangan semangat serta matlamat hidup yang juah lebih baik semasa usia mudanya dulu.

Keadaan ini bertambah teruk lagi apabila penonton menjadi saksi kepada hubunga Nur dengan anaknya yang kelihatan kurang memuaskan apabila anaknya bagaikan kurang rapat dan tidak mengambil berat terhadapnya di penghujung filem.

Begitulah kisah malang seorang wanita yang bernama Nur. Persoalan utama di sini ialah, mengapakah Nur (wanita) selalu diberikan perwatakan negatif dalam filem?

Dalam filem ini, Nur ditunjukkan sebagai pembawa malang dan sumber masalah kepada watak lain, lalu, beliau “dihukum” oleh pengarah dan penulis skrip. Kita wajib memberi penekanan bahawa perkara seumpama ini tidak harus diulangi dalam filem yang menjadi sumber hiburan kepada hampir semua lapisan masyarakat.

Kesedaran sedemikian adalah penting agar filem tempatan tidak menyumbang kepada pengekalan subordinasi golongan tertindas (wanita dalam perkara ini) dalam masyarakat yang ingin memperjuangkan hak sama rata buat semua pihak.

Sehubungan itu, filem harus memainkan peranan dalam menyuarakan serta memperjuangkan hak-hak golongan subordinasi yang wujud dalam masyarakat dan bukannya menjadi alat mengaul keuntungan kepada pihak kapitalis.

ADS