Semua sudah maklum, Mohamad Sabu adalah timbalan presiden PAS sekarang. Adakah pimpinan ulama diketepikan? Tidak, sebab jumlah undi untuk calon ulama yang kalah melebihi undi Mat Sabu.
Walaupun presiden PAS dan media arus perdana menggambarkan keputusan pemilihan ini cenderung kepada pasukan petugas pilihan raya umum, saya melihatnya daripada perspektif lain.
Sejak sekian lama Mat Sabu ini bergelumang dengan rakyat marhaen, turun padang, ceramah di celah pokok pisang yang sejuk dan tidak seperti 'katak' yang melompat parti.
Beliau setia dengan parti. Agaknya kalau ditoreh lengan beliau, darah yang menitis di lantai membentuk bulatan logo PAS!
Beliau juga tidak kekok menyusuri ceruk kampung, padang berpacat dan sungguh profesional bersangka baik dengan polis. Bahkan boleh bermesra dan senda gurau dengan mereka jika bersua di mana-mana pun! Memang dia pemimpin sesuai untuk semua lapisan rakyat, cuma tidak bertopi ulama. Itu sahaja.
Sejak kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12, terdapat kelompok marhaen pendokong setia dan pejuang tegar PAS akar umbi yang telah diabaikan.
Ada, memang ada. Tapi statistiknya hanya diketahui oleh PAS cawangan barangkali. PAS kawasan kurang input rasanya. Kelompok marhaen inilah yang bekerja siang malam demi parti PAS sejak dulu kini dan selamanya.
Mereka berkorban masa, meramaikan majlis, kempen ceramah, terkadang terabai keluarga dan juga disisihkan oleh Umno/BN dalam peluang ekonomi dan lain-lain insentif kerajaan.
Kenderaan mereka pula cabuk, ekzos kereta hampir tercabut, pintu kereta bergegar, cermin pintu disendal kertas, motosikal signal rosak, mud-gard tayar diikat tali rafiaa, ketayap (kopiah) pun lusuh serta anak bini makan minum ala kadar.
Tapi hati jiwa mereka mulia. Mereka reda dan mereka taat pada parti tanpa meminta-minta. Mereka memang naif.
Golongan ini jugalah yang bergadai nyawa di malam hari memasang bendera PAS di hujung dahan pokok tinggi, di tiang-tiang letrik TNB, di puncak-puncak bangunan dan di bukit tinggi pinggir lebuhraya. Ini untuk majlis ceramah, kempen pilihan raya kecil dan besar.
Mereka tiada insuran nyawa jika terkena renjatan elektrik atau mati jatuh bangunan mahu pun dari pokok tinggi. Allah memelihara mereka dan ahli keluarga. Namun siapa endah akan hal ehwal mereka?
Sebagai aktivis masyarakat dalam NGO, saya perasan hal ini. Sejak kemenangan dalam pilihan raya umum 2008, muncul ada sedikit bunga-bunga pimpinan peringkat bawahan (atasan?) yang bersungguh-sungguh ingin maju ke hadapan semata-mata mencongak laba jika nama tersenarai sebagai calon wakil rakyat.
Namun siapakah yang peduli akan kedaifan dan naifnya golongan marhaen yang disebutkan tadi?
Adakah ada pihak pimpinan membuat perancangan supaya ada yang mendatangai mereka, memberi tawaran peluang niaga, lesen tapak gerai, bantuan zakat, insentif baiki rumah buruk yang hampir runtuh, ambil tahu kenderaan yang tersadai, perihal pendidikan anak-anak dan ahli keluarga mereka.
Mungkin kecuaian ini menyedarkan dan menyentuh hati pimpinan akar umbi dan impaknya terzahir di muktamar PAS ke-57 ini.
Ahli bawahan mahu pimpinan yang hatinya dekat dengan rakyat marhaen, mesra dengan rakyat bawahan dan menggauli ahli-ahli parti yang naif ini.
Kemenangan Mat Sabu tidak bermakna mereka menolak ulama sebab walaupun ahli ini naif, pengetahuan asas agama mereka kukuh kerana sering hadir majlis ilmu dan ceramah agama anjuran PAS.
Wala
ketaatan mereka tetap kuat terhadap ulama. Tetapi mereka nampak Mat Sabu sebagai pemimpin yang sanggup menjengah rumah mereka, sanggup bertenggek di tangga kambing rumah ahli-ahli; dan sanggup tidur di dangau atau pondok buruk orang kampung.
Ini satu muhasabah, ini peringatan untuk pimpinan PAS. Mereka bukan antipimpinan, bukan tidak taat pada PAS, tetapi mereka diabaikan.
Begitu juga Umno. Bukan ahli-ahli marhaen yang taat itu tidak sayangkan Umno. Mereka dilatih dan didoktrinkan Umno sebagai pejuang bangsa dan negara merdeka. Mereka taat sungguh, macam ahli marhaen PAS juga.
Bukan ahli bawahan Umno ini tidak hormat dan tidak menjulang Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihan raya umum yang lalu. Adakah mereka ini hilang pertimbangan? Mereka memang setia dengan slogan Umno tonggak BN.
Bila harga minyak petrol naik mendadak kepada RM2.70 seliter tidak lama dahulu, apa yang pimpinan BN buat? Hanya ceramah dan retorik ekonomi sama ada di rapat umum, majlis politik, media cetak atau pun media elektronik saban hari.
Sejauh mana projek jutaan ringgit benar-benar memberi impak manafaat pada golongan marhaen Umno ini? Mereka tidak nampak keuntungan projek yang masuk ke kocek kroni, sebab mereka naif.
Tetapi mereka merasa penderitaan dalam kehidupan saban waktu siang malam demi survival keluarga.
Hari-hari yang berlalu, siaran media teori ekonomi yang baik dan mapan tidak menampakkan beras, roti, gula dan susu muncul tertonggok di pintu rumah mereka.
Anak-anak terpaksa ke sekolah tanpa belanja, pakaian lusuh tidak berganti dan tertekan ke sekolah kerana guru asyik tanyakan yuran Persatuan Ibu Bapa dan Gutu (PIBG) yang belum langsai. Siapa ambil endah?
Bukan rakyat dan pendokong tegar Umno tidak sayang Pak Lah ‘Mr Clean' yang cool sebagai perdana menteri. Ahli Umno memang hebat taat pada pemimpin atasannya. Akan tetapi kalau pemimpin Umno cawangan pun merempat atau terpaksa hijrah balik kampung kerana tak mampu bayar ansuran rumah, kereta dan perbelanjaan harian; apatah lagi ahli Umno biasa.
Bahkan ada juga anggota jawatankuasa Umno Bahagian pun tetap menunggu tanpa penghujung akan pinjaman Tabung Ekonomi Kumpula Usaha Niaga (TEKUN) yang tak kunjung tiba.
Justeru itu apalah yang boleh diharap oleh ahli Umno di peringkat bawahan? Begitu juga ketua Umno cawangan hanya ke hulu hilir dengan motosikal buruk Suzuki TRS, kerja tidak menentu dan terpaksa merayu ke sana sini untuk anak yang sakit demi kos perubatan hospital.
Tiadakah peluang kerja lebih baik atau lesen tapak niaga dengan bantuan Umno bahagian atau negeri? Justeru itu, siapa ambil endah?
Kenaikan harga barangan harian tanpa dapat dibendung pada tahun 2007 hingga 2008 menjadikan semua rakyat termasuklah ahli-ahli Umno sendiri hilang sabar. Ketika ini mereka lebih sayangkan anak bini dan ahli keluarga mereka.
Ada juga anak-anak mereka yang dihalau turun bas oleh pengusaha bas sekolah kerana sudah empat bulan tidak membayar tambang.
Kini, mereka sanggup mati demi anak isteri dan tidak lagi sanggup berkorban demi pemimpin Umno. Hasilnya, wujudlah undi protes pilihan raya kerana rakyat dan anggota sendiri hilang kepercayaan.
Ini satu muhasabah, ini peringatan untuk pimpinan Umno. Mereka bukan antipimpinan, bukan tidak taat pada Umno, tetapi mereka diabaikan.
Dengan tulisan ini semoga pimpinan Umn odan PAS mengambil iktibar dalam menjalankan amanah ini.
Pemimpin kedua-dua parti ini tidak wajib mengetahui siapa penulis ini, tetapi wajib ambil tahu intipati coretan ini dan wajib memperbaiki kelemahan jika ianya benar.
Pemimpin itu dihormati bukan kerana besar pangkat dan gelarannya, tetapi dijulang dan dihormati kerana besar jiwa dan hemahnya di mata rakyat marhaen.
Penulis merupakan aktivis NGO, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan badan amal.