Isu penempatan guru atau posting bakal guru lepasan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) merupakan isu yang paling banyak menjadi bualan mulut graduan yang mengambil jurusan pendidikan ini.
Graduan yang mengambil jurusan pendidikan ini mempunyai seribu tanda tanya untuk diajukan kepada kementerian pendidikan bahagian sumber manusia ataupun bahagian penempatan guru.
Ini dikuatkan dengan pekeliling pembekuan sebahagian jawatan eksekutif oleh Jabatan
Perkhidmatan awam (JPA) kecuali kepada jawatan-jawatan kritikal seperti Pegawai Perubatan. Ini menjadikan andaian kelewatan penempatan akan dikuatkuasakan.
Di samping itu juga, penyemakan pembukaan borang E-GST juga lewat dua bulan berbanding dengan tahun 2010 apabila ia dibuka pada awal bulan April lagi.
Ini membuatkan lebih 5,000 bakal guru yang tamat pada Disember 2010 dan Mei 2011 resah dan risau. Ini kerana, timbul persoalan adakah bidang profesional, seperti guru yang belajar selama empat tahun, mampu bersaing dengan graduan bidang lain.
Saya sendiri sukar mendapat pekerjaan di syarikat-syarikat swasta untuk mengisi jawatan eksekutif disebabkan kelulusan saya tidak menepati kehendak semasa syarikat swasta.
Saya juga semakin keliru kerana gagal untuk mengisi borang penempatan guru GST pada hujung Disember kerana surat senat (tamat pengajian) dikeluarkan pada awal bulan Mac.
Untuk pengetahuan umum, apabila saya dan rakan-rakan seperjuangan menghubungi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), jawapan yang diberikan amat mengecewakan tidak menunjukkan tanda-tanda penyelesaian isu ini.
Kadangkala pihak KPM tidak tidak mengangkat telefon walaupun telah menghubungi lebih
sepuluh kali. Adakah ini dasar "1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diperjuangkan oleh pihak kerajaan BN?
Lebih-lebih lagi KPM dinaungi timbalan perdana menteri sendiri.
Kami, graduan bakal guru IPTA mengharapkan agar Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kementeriannya dapat membantu bakal-bakal guru ini mendapat penempatan.
Kami diberitahu pada masa ini berlakunya kekurangan gurum khususnya di Sabah, Sarawak dan kawasan-kawasan pedalaman lain. Berilah kami peluang untuk mencurahkan ilmu kepada anak bangsa kerana itulah tanggungjawab kami.
Penulis merupakan graduan pendidikan daripada Universiti Kebangsaan Malaysia.