Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami ingin menyangkal kenyataan salah yang diluahkan oleh ketua publisiti DAP, Chan Foong Hin, yang menganggap SAPP sebagai sebuah parti yang di dominasi kaum Cina. Kenyataan beliau telah menghina rakyat Sabah yang berbilang kaum yang mendukung perjuangan SAPP selama ini.

Faktanya, SAPP sentiasa memperjuangkan rakyat Sabah yang berbilang kaum tanpa mengira bangsa dan agama, walaupun pada hakikatnya SAPP telah dipelopori oleh pucuk kepimpinan dari kaum Cina sejak ia ditubuhkan pada tahun 1994.

Sejak mengasingkan diri dari BN dalam tahun 2008, SAPP telah membuat transformasi dalam memperkembangkan sayapnya keceruk rantau luar bandar bersama kepimpinan kaum Bumiputera di semua peringkat.

Ramai kaum Bumiputera dan saya sendiri telah bersama-sama berjuang dengan Datuk Yong Teck Lee sejak hari pertama beliau bertanding dalam tahun 1985 di bawah lambang PBS. 26 tahun berlalu kami masih kukuh dan komited dalam perjuangan kami yang berbilang kaum untuk mempertahankan maruah rakyat dan negeri Sabah.

Dalam tahun 1994, saya adalah salah seorang ahli pengasas Parti SAPP. Sejak itu SAPP mempunyai cawangan-cawangan yang aktif di luar bandar seperti Banggi, Tungku , Sindumin, Kemabong dan kebanyakan daerah-daerah luar bandar.

Kalau Chan tidak mengetahuinya, tanyalah kepada ketua DAP negeri, Jimmy Wong Sze Phin dan MP Kota Kinabalu Dr Hiew King Chiew yang pada masa itu amat aktif selaku ahli majlis tertinggi SAPP bersama Yong semasa menyandang jawatan ketua menteri pada masa itu.

Selepas itu JimmyWong menyertai Bersekutu dan bertanding di Kudat pada tahun 1999. Dr Hiew pula menyertai PBS. Walaupun mereka sekarang pemimpin DAP, kita berharap kita masih dapat berkerjasama dengan mereka lagi demi kepentingan negeri Sabah.

Adalah satu kesilapan untuk Chan menuduh SAPP sebagai parti Cina dan UBF (United Borneo Front) sebagai parti Kadazandusun. Perjuangan kedua-dua parti SAPP dan UBF adalah dibawah naungan Agenda Borneo.

Kami menasihatkan pemimpin-pemimpin muda DAP supaya jangan terperangkap atas dasar yang sama bahagi dan perintah yang diamalkan di Sabah oleh politikus-politikus Kuala Lumpur

dengan memainkan politik perkauman sejak tahun 1963.

Sebagai warga Malaysia yang jati, kita mahu melihat rakyat kita bersatu padu. Kita berasa kecewa melihat situasi di Sarawak dimana dua sistem berparti yang menjadikan “pembangkang dari kaum Cina dan kerajaan dari kaum Bumiputera”.

Sudah tentu perkara serupa ini tidak sihat untuk perpaduan nasional. Inikah yang dimahukan DAP terjadi di Sabah?

Dengan itu,  kami sebagai pemimpin bumiputera akan meneruskan perjuangan kami demi merealisasikan sebuah kerajaan yang benar-benar berbilang kaum di Sabah oleh rakyat Sabah dan bukan sebuah kerajaan yang diselimuti ala politik perkauman.

Perkara ini juga akan berlaku di bawah parti SAPP sebagai sebuah parti tempatan (Sabah)  yang tulin demi menyatukan semua warga Malaysia di Sabah.


Penulis adalah Penasihat Parti SAPP dan mantan ketua daerah Bandaraya Kota Kinabalu

.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS