Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) telah melaksanakan konsultasi dengan pihak-pihak berkepentingan dan penyelidikan mengenai industri elektrik negara dalam masa enam bulan yang lalu.

AWER telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk ‘Survival: The Future of Our National Electricity Industry’ dan memuatkan hasil kajian, cadangan dan jalan penyelesaian kami mengenai industri ini.

Laporan ini akan dihantar kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau  dan Air (KeTTHA), Suruhanjaya Tenaga, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan semua ahli-ahli Parlimen. Salinan laporan (dalam Bahasa Inggeris) ini juga boleh dimuat turun daripada laman web kami untuk rujukan semua (www.awer.org.my).

Isu utama 1: Cadangan Model Penyelesaian Rundingan Semula Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) oleh AWER

Mengikut kajian kami, kami dapati bahawa Kadar Pulangan Pelaburan (Return of Investment - ROI) untuk penjana bebas (IPP) kebanyakannya adalah kurang daripada 10 tahun dan bagi TNB adalah melebihi 10 tahun.

Sebenarnya, disebabkan perjanjian konsesi seperti PPA dan sokongan daripada kerajaan persekutuan, penjana bebas mendapat pinjaman kewangan untuk melaksanakan projek penjanaan tanpa risiko. Semua kos-kos ini akan disalurkan semula kepada rakyat melalui tarif.

Operasi sebegini tidak melindungi kepentingan negara. AWER ingin mencadangkan kerajaan melaksakan pemotongan bayaran kapasiti IPP mulai tahun 2012. Bayaran kapasiti yang baru patut merangkumi kos operasi yang diaudit, laporan kejuruteraan dan keuntungan yang dikawalselia sahaja. Proses ini perlu dilaksanakan dengan telus.

Jika penjana bebas bersetuju dengan cadangan ini, maka pelanjutan operasi boleh diberikan secara rejim pelesenan sahaja (tiada lagi PPA).

Jika penjana bebas enggan bersetuju dengan model ini, tamatkan PPA apabila tiba masanya. Tetapi, kerajaan persekutuan mesti melaksanakan yang berikut:

(i) membuka bidaan kompetitif (competitive bidding) mulai sekarang kerana kita mempunyai masa yang mencukupi untuk membina loji penjanaan tenaga yang baru;

(ii) Penjana bebas yang menolak cadangan potongan bayaran kapasiti tidak boleh dibenarkan (disenarai hitamkan) untuk membuat bidaan untuk mana-mana projek penjanaan yang baru selepas ini;

(iii) Senarai hitam ini juga patut dipanjangkan kepada pemegang-pemegang saham dan ahli-ahli lembaga pengarah daripada Penjana Bebas, anak syarikat serta syarikat induk penjana bebas tersebut.

Tiada pemengang saham dan ahli lembaga pengarah ini dibenarkan untuk terlibat dalam bidaan  projek penjanaan baru melalui sebarang syarikat baru atau entiti tertentu.

Ini kerana industri elektrik tidak sesuai diuruskan oleh syarikat-syarikat yang hanya mementingkan keuntungan sahaja dan sanggup menggadai kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara yang kita cintai ini. Maka, kerajaan persekutuan mesti berkeras untuk melindungi kepentingan rakyat dan pembangunan negara.

Isu utama 2: Industri Elektrik yang Mampan dengan Tarif Munahsabah

 Tarif merupakan isu sensitif di semua negara. Untuk membolehkan Malaysia kekal kompetitif, langkah-langkah berikut mesti dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan sebelum pelarasan tarif elektrik seterusnya:

(i)  Sektor penjanaan memberikan impak tinggi kepada tariff. AWER mencadangkan supaya sektor penjanaan dikawalselia sepenuhnya di bawah Suruhanjaya Tenaga. Ini akan menyepadukan proses rundingan semula PPA.

(ii) Proses pembidaan untuk loji penjanaan yang baru mesti kompetitif dan telus untuk mencapai tarif yang munahsabah. Proses pembidaan sebegini mesti merangkumi kriteria keuntungan yang dikawalselia, kecekapan penjanaan yang terbaik, dan keseimbangan di antara kadar pulangan perlaburan dan impak kepada tarif.

(iii)  Proses penetapan tarif yang telus dengan penglibatan semua pihak. Tarif elektrik yang munahsabah dan telus merupakan salah satu faktor untuk menarik pelabur untuk melabur di Malaysia di samping kemampuan semua lapisan pengguna.

 

AWER ingin mencadangkan beberapa elemen penting kepada Kerajaan Persekutuan dalam proses penetapan tarif yang telus:

  • Audit perbelanjaan modal (CAPEX) dan perbelanjaan operasi (OPEX)

 

  • Penetapan nilai rujukan (benchmarking) kos-kos berkaitan perkhidmatan elektrik

 

  • Membezakan kos berkaitan perkhidmatan elektrik dan kos bukan perkhidmatan elektrik

 

  • Kos pelaburan semula
  • Penetapan tarif yang mendenda serta mewakili penggunaan mengikut sektor

 

  • Penglibatan semua pihak dalam proses penetapan tarif untuk memastikan ketelusan dan pemahaman yang jelas

 

  • Mekanisma penyaluran kos bahan api yang telus

 

 

Presiden, Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)

ADS