Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merujuk kepada laporan dalam  Malaysiakini yang turut saya dengar dalam berita di Radio 24 pagi ini.

Beberapa perkara yang saya terfikir:

1.       PAS seharusnya tidak terlalu “apologetik” dalam isu ini. Kalau pun etika berpakaian yang ditetapkan oleh PAS untuk Muktamar ini merangkumi semua peserta temasuk pemerhati dan wartawan tanpa mengira kaum dan agama. Apabila kita mengadakan sesuatu majlis, adalah hak penganjur untuk menetapkan “dress code” untuk majlis itu.

2.       Umum mengetahui setiap tempat ada “dress code” masing-masing. Ada orang pakai jeans di halau daripada kelab golf. Kalau pub dan night club, kelab golf, gelanggang sukan, majlis rasmi kerajaan, majlis kahwin dan pengebumian pun ada “dress code”, kenapa tidak Muktamar sebuah “parti Islam” yang memerlukan pesertanya berpakaian selari dengan kehendak Islam. Kenapa dinafikan hak ini? Peraturan tersebut adalah untuk tempat tertentu dan masa tertentu pun, bukan dikuatkuasakan sewenang-wenangnya.

3.       Setiausaha agung Wanita MCA Chew Lee Giok tidak sepatunya mempolitikkan isu sekecil ini. Tindakan mempersoalkan satu peraturan dalaman untuk satu majlis dalaman adalah satu sikap yang tidak menggambarkan keperihatinannya dalam budaya masyarakat majmuk dan amat bertentangan dengan kata-kata beliau yang dipetik oleh Bernama "Dalam sebuah negara berbilang kaum saya menghormati sepenuhnya kod pakaian Islam, tetapi kita juga mahu PAS menghormati adat dan pilihan oang bukan Islam" Apalah salahnya seorang bukan islam mengenakan pakaian yang sesuai dengan majlis orang Islam yang dihadirinya? Tambahan pula, tiada larangan dlm budaya orang cina untuk mengenakan tudung.

4.       Apabila melihat skop yang lebih luas, saya juga mendapati dalam banyak situasi, wanita Islam diminta untuk membuka auratnya atas kehendak majikan, keperluan tempat kerja, dan atas pelbagai sebab. Dimana isu hak asasi dalam hal ini? Bagaimana dengan pembantu rumah warga Indonesia beragama Islam diarahkan supaya cuma berpakaian baju-T dan seluar pendek oleh majikan? Adakah dalam isu ini unsur menghormati tuntutan agama si pekerja diambil kira?

5.       Apakah lagi urusan umat Islam yang akan dipersoalkan selepas ini? Dan adakah setiap kali ada suara yang mempersoalkan, orang Islam akan tunduk, memohon maaf dan berundur beberapa langkah?

Saya menyeru supaya semua pihak melihat isu ini secara rasional dan meletak setiap sesuatu pada tempatnya. Janganlah semata-mata untuk menjaga imej politik, kita menjadi terlalu ‘apologetik’ sedangkan kita berada di pihak yang benar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS