Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pesta menuai atau pesta Kaamatan merupakan kemuncak bagi pemartabatan warisan budaya suku kaum Kadazandusun, yang mana diraikan pada setiap 30 dan 31 Mei setiap tahun.

Dalam perayaan ini, berbagai acara menarik dan juga budaya kaum Kadazandusun yang ditonjolkan dan dipamerkan.

Antara lain acara yang biasanya menjadi tarikan dalam perayaan pesta Kaamatan ialah "Unduk Ngadau" Kaamatan yang mempamerkan pakaian tradisi mengikut etnik.

Dari segi sejarah, pesta Kaamatan yang kita rayakan ini telah diluluskan oleh Majlis Undangan Kerajaan Koloni sebagai cuti umum sejak tahun 1960 lagi.

Individu yang bertanggungjawab untuk mengusulkan agar pesta Kaamatan ini diisytiharkan sebagai cuti umum ialah allahyaraham Tun Haji Mohamad Fuad Stephens mantan ketua menteri Sabah yang pertama.

Oleh yang demikian, kita sebagai rakyat Kadazandusun seharusnya berasa bangga dengan perjuangan pemimpin kita yang terdahulu kerana bermati-matian mempertahankan Pesta Kamaatan sehingga ia diiktiraf sebagai cuti umum di negeri Sabah.

Saya antara yang hadir dalam pesta Kamaatan anjuran parti DAP di Putera Theater Ballromm Taman Tun Fuad, Bukit Padang. Namun demikian saya terkilan.

Sebagai seorang anak jati Kadazandusun, saya berasa amat malu dan terhina apabila adat istiadat dan kebudayaan saya tidak dihormati.

Saya tidak dapat merasai bahang pesta Kamaatan tetapi apa yang saya lihat adalah acara makan malam bersama penasihat parti DAP Encik Lim Kit Siang. Menambah jijiknya lagi, kebanyakan ucapan dibuat dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Melihat kepada keadaan ini saya berasa perayaan pesta Kamaatan telah hilang nilainya.Saya berikan satu contoh, tidak pernah Unduk Ngadau diadili dengan cara mengundi, di mana kupon dijual dengan harga RM5.

Penganjuran ini tidak lebih seperti melepaskan batuk di tangga. Pemimpin DAP seperti Edwin Bosi sememangnya telah tahu tentang kesucian lagenda Huminodun, melalui ucapan beliau. Tetapi mengapa beliau tidak melakukan sesuatu untuk memperbetulkan apa yang salah.

Politik adalah politik, perayaan adalah perayaan, oleh yang demikian saya mohon kepada pemimpin daripada luar Sabah. Yang tidak tahu adat budaya orang Sabah, tolong jangan bawa budaya politik daripada luar.

Kami orang Sabah, biar berlainan fahaman politik, tetapi dalam masa perayaan kami tidak ada persengketaan.


Penulis ialah seorang ahli Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS