Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ramai yang terkejut apabila Merdeka Review mengistiharkan penamatan operasinya semalam. Hal ini kerana Merdeka Review merupakan antara media berkecuali yang memainkan peranan penting dalam proses memperkasakan sistem demokrasi tanah air.

Namun, atas sebab ketiadaan dana yang diperlukan untuk menlaksanakan tanggungjawab ini, Merdeka Review terpaksa mengumumkan penamatan operasi mereka yang bermula pada hujung bulan ini.

Seperti yang sedia maklum, media berkecuali memainkan peranan yang mustahak untuk memantau pihak berkuasa (parti pemerintah) mahupun pihak pembangkang agar menjamin keberkesanan  kuasa-kuasa politik dalam pentadbiran negara.

Oleh itu, Merdeka Review seringkali menemui pelbagai rintangan daripada pihak berkuasa dan parti pembangkang yang menganggap Merdeka Review sebagai “musuh ketat” kepada mereka.

Pada hari yang sama, penyokong media berkecuali di Malaysia telah dimaklumkan dengan berita yang cukup menceriakan mereka, yakni Malaysiakini telah berjaya mencatat bilangan pembaca (pengguna) yang paling ramai berbanding dengan media arus perdana lain yang turut menyajikan berita mereka di laman sesawang.

Berita ini adalah perkara yang cukup memerangsangkan buat penyahut media berkecuali yang haus dengan berita, analisa dan pandangan yang berbeza dengan media arus perdana yang seringkali dikaitkan dengan perutusan daripada pihak kerajaan.

Akta-akta seperti PPPA, OSA, ISA yang sedia ada, dengan berkesan, telah menggugat ketelusan dan kebebasan media Malaysia untuk menjalankan tanggungjawab mereka. 

Bukan itu sahaja, tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang kelihatan kurang adil semasa mengendalikan kes-kes yang melibatkan media Malaysia secara implisitnya telah memburukkan lagi keadaan.

Hal ini jelas terbukti melalui tindakan “double standard” KDN terhadap laporan Utusan Malaysia berkenaan dengan isu “Kristian Agama Rasmi?” negara serta tindakan yang diambil terhadap Malaysiakini berhubungan dengan liputan isu kepala lembu yang telah menggemparkan rakyat Malaysia.

Sehubungan dengan perkara ini, media arus perdana telah dijinakkan atau lebih teruk lagi, membiasakan diri mereka dengan laporan berita yang menyenangkan pihak berkuasa.

Secara tidak langsung, media arus perdana telah meminjam tangan mereka kepada pihak berkuasa lalu menjejaskan prestasi mereka kerana laporan mereka bagaikan perutusan yang telah dirancang dan didraf oleh kerajaan Barisan Nasional.

Dengan kata lain, pandangan-pandangan yang bertentangan dengan pihak berkuasa amat tidak digalakkan dan lazimnya ditutup daripada pengetahuan ramai.

Perkara ini amat merugikan masyarakat yang memerlukan kepelbagaian pendapat dalam menjamin proses demokrasi yang sihat. Masyarakat perlu dimaklumkan dengan pelbagai maklumat dan pandangan untuk membuat pilihan yang terbaik buat mereka.

Sejak penubuhannya pada lima tahun yang lepas, Merdeka Review tidak pernah henti menyediakan laporan dan analisa yang kritis serta berbeza dengan media arus perdana yang lain.

Namun, semua ini hanyalah kenangan semata-mata buat pencinta media berkecuali tanah air sekiranya Merdeka Review tidak mampu mendapat sumbangan kewangan yang amat diperlukan untuk meneruskan operasi mereka.

Dengan ini, saya menyeru agar pembaca Malaysiakini dan penyahut media berkecuali agar memberikan bantuan kepada Merdeka Review .

Antara bantuan yang boleh diberikan termasuk menyebarkan perkara ini kepada khalayak ramai agar membangkitkan kesedaran akan kepentingan media berkecuali seperti Merdeka Review lalu memberi sumbangan kewangan kepada mereka. “Anda boleh derma melalui akaun bank berikut:

Hong Leong Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No akaun: 04001025891)

EON Bank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No.akaun: 0595110002973)

Maybank Account: Merdeka Review Sdn. Bhd. (No. akaun: 514440123099)”

Sumbangan anda amat dialu-alukan. Dengan ini, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih buat sumbangan yang bakal anda berikan. Sekian.

ADS