Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai isteri dan ibu, saya turut bersimpati dengan derita yang melanda Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan keluarganya dengan isu pendedahan video seks yang didakwa menunjukkan Anwar Ibrahim melakukan perhubungan seks dengan seorang pelacur Cina.

Mana-mana isteri di dunia ini akan luluh hati terluka jika benar suaminya telah berzina, dirakam aksi seks dan tersebar seluruh dunia. Disiarkan pula setiap hari dan malam di kaca televisyen.

Jika benar ini fitnah dan dusta, alangkah teraniaya beliau dan anak-anaknya sebagai seorang Muslimah. Alhamdulillah, setakat ini Dr Wan Azizah kelihatan tabah berdiri teguh di sisi suami meskipun diserang bertubi-tubi oleh pihak musuh politik.

Dr Wan Azizah telah membuat kenyataan demi kenyataan bahawa lelaki di dalam video itu bukan Anwar Ibrahim. Malangnya, masih ada yang mempercayai Anwar Ibrahim adalah lelaki dalam video seperti yang didakwa.

Dakyah Utusan Malaysia, TV3 dan lain-lain media Umno/BN telah berjaya meracuni minda sebahagian besar masyarakat. Ummah telah berpecah dan berbalah kerana video ini, sehingga masjid dijadikan gelanggang pergaduhan.

Hukum syariah, ayat-ayat suci Al Quran menjadi bahan mainan dengan tafsiran-tafsiran ikut selera politik dan agama Islam diperlekehkan. Keretakan di kalangan ummah memberi ruang kepada musuh untuk bertindak.

Ketika ummah bercakaran maka langkah pro-aktif dituntut untuk menghentikan segala kekusutan ummah. Hakikatnya, hanya Dr Wan Azizah sahaja di muka bumi ini yang berupaya untuk menyelesaikan kekusutan ini.

Dr Wan Azizah perlu akur bahawa isu video ini telah menjangkaui kepentingan peribadi, keluarga dan politik. Keharmonian ummah sudah terancam dan kestabilan negara telah tergugat. Hanya Dr Wan Azizah yang mampu untuk menyelamatkan ummah daripada terus dilanda musibah ini.

Selama ini penafian secara lisan dari beliau telah diperlekehkan atas alasan beliau berkepentingan sebagai isteri untuk melindungi reputasi suami beliau. Tambahan pula si isteri adalah presiden parti yang berketua umumkan si suami.

Mahu tak mahu, Dr Wan Azizah harus mengambil tindakan yang lebih tegas dan berani untuk menamatkan fitnah jijik ini.

Maka dengan ini, saya dengan segala rendah hatinya mencadangkan supaya Dr Wan Azizah membuat sumpah laknat atas nama Allah bahawa pelaku dalam video itu bukan suami beliau.

Selepas membuat sumpah tersebut, beliau haruslah mengadakan sidang media di mana jam Omega suami beliau yang selama ini saya percaya di dalam simpanan beliau ditunjuk kepada para hadirin.

Tindakan Dr Wan Azizah yang tegas ini akan sekaligus menamatkan fitnah terhadap Anwar Ibrahim dan menyelamatkan ummah dari berpecah. Tiada insan rasional dapat menolak kesahihan sumpah laknat yang dibuat oleh Dr Wan Azizah, malah itu lebih efektif dari apa-apa sumpah laknat yang dibuat oleh Anwar Ibrahim sendiri.

Apatah lagi diperkukuhkan dengan adanya jam Omega yang menafikan sama sekali bahawa Anwar telah berada di tempat di mana video hubungan seks haram telah dirakam.

Saya yakin Dr Wan Azizah sedar dan peka bahawa kewajipan beliau kepada Allah SWT untuk menegakkan kebenaran dan keadilan mengatasi segala pertimbangan duniawi. Sesungguhnya penyelesaian kepada isu yang kian memecahbelahkan ummah ini terletak di tangan beliau.

Saya amat berharap dan berdoa beliau menyambut baik cadangan ini dan seterusnya mengambil tindakan yang dicadangkan, insya-Allah.

Sekian, Wasallam.

ADS