Masalah terputus bekalan air di Blok Flat Sri Pahang, Lembah Pantai sejak sebulan yang lalu amat membebankan penduduk di flat berkenaan.
Saya hadir bertemu dan melihat sendiri bagaimana kesusahan dan kepayahan penduduk Flat berkenaan yang terpaksa mengambil dan mengangkat air dari tangki air sementara ke rumah masing-masing.
Masalah ini terus saya ajukan sendiri ke Jabatan Pengurusan Perumahan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) setelah aduan secara dalam talian dan aduan yang disalurkan kepada pihak Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) tidak mendapat respons positif.
Dalam perbincangan bersama Puan Fauziah Abdullah, Timbalan Pengarah Bahagian Penyelenggaran pada 16 Mei 2011, rumusannya seperti berikut:
- Bekalan air terputus disebabkan sistem paip yang telah lama dan perlu ditukar kepada paip yang baru. Namun begitu, jumlah anggaran kos untuk proses penukaran sebanyak RM130,00.00 dan mengambil masa selama sebulan. Dan kos ini ditanggung penuh oleh DBKL.
Saya melahirkan kekecewaan dengan sikap pembantu teknik yang tidak memaklumkan kepada pihak jurutera atasan tentang masalah air di Flat Sri Pahang sehingga 6 minggu masalah ini berlarutan. K
elalaian dan kecuaian ini menyebabkan penduduk di flat tersebut menanggung beban masalah.
Paling malang lagi apabila pihak SYABAS juga semacam melepaskan tangan dalam masalah ini. Sewajarnya masalah ini diselesaikan secara bersama antara pihak SYABAS dan DBKL.
Tidak ada tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh SYABAS dalam masalah ini sedangkan masyarakat di flat hidup terbeban dengan masalah ini.
Jika kos penyelenggarannya dikatakan mahal kita bandingkan gaji pengerusi SYABAS sebanyak RM425,000.00 sebulan tetapi masyarakat di bawah hidup dalam kesusahan dan terbeban.
Gaji yang begitu tinggi tetapi dengan aset SYABAS yang meningkat setiap tahun masih lagi tidak mampu melaksanakan tanggungjawab sosial kepada masyarakat.
Sudah tiba masa dan ketikanya untuk kita untuk melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan untuk melaksanakan perubahan dan memilih hanya mereka yang benar-benar komited dalam memberikan khidmat yang terbaik untuk masyarakat dan seterusnya merungkai masalah-masalah rakyat dengan cepat dan berkesan.
Perkongsian maklumat secara telus sebegini dapat menambahbaikkan perkhidmatan kepada masyarakat dan ini sekaligus dapat menyelesaikan masalah yang dihadapai oleh masyarakat dengan cepat dan berkesan.
Saya juga berharap pihak DBKL, khususnya Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan mengamalkan ketelusan dalam cara bekerja bermula dengan mendokong inisiatif terbaru.
Tiba masanya kita perkenalkan ‘rundingan penduduk' seperti yang berlaku di parlimen Setiawangsa yang dilancarkan pada 7 Mei 2011 dengan kerjasamaDBKL.
Jika ‘rundingan penduduk' dapat dilaksanakan di kawasan parlimen Titiwangasa, saya yakin dan percaya jika dilaksanakan di parlimen Lembah Pantai, Datuk Bandar Kuala Lumpur akan bekerjasama erat dan memberikan perkhidmatan terbaik di Lembah Pantai dan di kawasan parlimen yang lain di dalam Wilayah Persekutuan.
Dalam menjayakan usaha ini, saya akan menjemput persatuan-persatuan penduduk di sekitar Lembah Pantai untuk turut serta bersama dalam inisiatif ini supaya permasalahan berkaitan perkhidmatan, penguatkuasaan dan pemuliharaan di Kuala Lumpur dapat disalur terus kepada DBKL.
Penulis merupakan anggota parlimen Lembah Pantai dan naib presiden PKR.