Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila seorang menuduh isterinya berzina serta mendakwa bahawa dia dapat melihat aksi tersebut secara jelas tetapi tidak mampu mengajukan empat orang saksi kecuali hanya dirinya sendiri maka diwajibkan li‘an di depan hakim syarie untuk membuktikan kebenaran dakwaannya dan menyelamatkan dirinya daripada had qazaf.

Dan turut li‘an juga oleh tertuduh iaitu isteri bertujuan membersihkan dirinya daripada tuduhan serta menyelamatkan juga daripada had zina. Setelah selesai, maka terputuslah hubungan perkahwinan secara fasakh bukan secara talak dan haram merujuk kembali atau berkahwin semula sepanjang hayat mereka.

Selain tuduhan perzinaan, li‘an juga ikut terlibat dalam kes seorang isteri yang melahirkan bayi dan suaminya tidak mengakui bahawa bayi tersebut adalah bayi mereka.

Li‘an akan diuruskan oleh hakim syarie dengan mengarahkan suami berkata (sebanyak empat kali):

"Aku memberikan kesaksian dengan Allah bahawa sesungguhnya aku adalah orang yang benar dalam apa yang aku telah katakan tentang tuduhan perzinaan wanita ini". (Untuk kes tuduhan perzinaan).

"Aku memberikan kesaksian dengan Allah bahawa sesungguhnya aku adalah orang yang benar dalam apa yang aku telah katakan tentang penafian bayinya daripada-ku". (Untuk kes tidak mengakui anak).

Pada kali kelima suami akan diarahkan lagi oleh hakim syarie untuk berkata (sebanyak satu kali):

"Bahawa kutukan Allah ke atas aku jika aku adalah orang yang berbohong".

 

Selepas itu, hakim pula akan mengarahkan isteri berkata (sebanyak empat kali juga):

"Aku memberikan kesaksian dengan Allah bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang berbohong pada apa yang telah katakan tentang tuduhan berzina". (Untuk kes tuduhan perzinaan).

"Aku memberikan kesaksian dengan Allah bahawa sesungguhnya dia adalah orang yang berbohong pada apa yang telah katakan tentang penafian bayi daripadanya". (Untuk kes tidak mengakui anak).

Dan pada kali kelima pula isteri akan diarah oleh hakim syarie untuk berkata (sebanyak satu kali):

"Bahawa kemurkaan Allah ke atas aku jika dia adalah orang yang benar".

 

Pengurusan kes tuduhan berkaitan perzinaan isteri ini adalah bersandarkan firman Allah yang bermaksud:

Dan orang-orang yang menuduh isterinya (berzina), padahal mereka tidak ada mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, maka kesaksian orang itu ialah empat kali bersumpah dengan nama Allah, sesungguhnya dia adalah termasuk orang-orang yang benar.

Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya, jika dia termasuk orang-orang yang berdusta. Isterinya itu dihindarkan dari hukuman oleh sumpahnya empat kali atas nama Allah sesungguhnya suaminya itu benar-benar termasuk orang-orang yang dusta. Dan (sumpah) yang kelima: bahawa laknat Allah atasnya jika suaminya itu termasuk orang-orang yang benar (24: 6-9).


Penulis adakah Post-Doctoral Fellow, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS