Menurut laporan BP 2030 Energy Outlook, penggunaan tenaga asas dunia dijangka meningkat dengan kadar purata 1.7 peratus setahun dari tahun 2010 hingga tahun 2030.
Di Malaysia, menurut statistik yang dilaporkan di Imbangan Tenaga Kebangsaan (National Energy Balance) 2008, Malaysia merekodkan peningkatan penggunaan tenaga asas pada kadar 6.1 peratus setahun di antara tahun 2000 hingga 2008.
Nilai ini juga menghampiri peningkatan GDP purata tahunan bagi jangkamasa yang sama iaitu 6.0 peratus.
Peningkatan permintaan tenaga bukan sahaja berhubung kait rapat dengan GDP tetapi juga peningkatan populasi penduduk. Ini hanya membuktikan bahawa permintaan tenaga Malaysia akan sentiasa meningkat lebih tinggi daripada nilai anggaran purata dunia. Apakah langkah paling berkesan untuk menguruskan peningkatan permintaan tenaga?
Penyelesaian yang murah dan cepat untuk menguruskan permintaan tenaga adalah kecekapan tenaga. Tetapi, mengapakah Malaysia tidak melakukannya dengan meluas?
Pertamanya, subsidi menyebabkan harga sebenar tenaga tidak tercapai. Satu pemerhatian yang kita boleh lihat ialah silinder gas memasak yang pendek digunakan meluas di restoran-restoran.
Silinder gas ini sebenarnya adalah gas disubsidi untuk kegunaan sektor domestik sahaja. Tetapi, kita dapat lihat sektor komersil seperti restoran menggunakannya dengan meluas.
Menurut laporan UK Foreign Office, South East Asia Economy and Climate Change Team, dilaporkan bahawa hanya 29 peratus subsidi sampai kepada golongan miskin di Malaysia.
Keduanya, tarif khas industri (special industry tariff) yang membolehkan industri bayar tariff yang lebih rendah jika kos elektrik tahunan adalah 5 peratus dan ke atas berbanding dengan kos keseluruhan tahunan operasi.
Maka, ia adalah lebih murah untuk membazir disebabkan dasar sebegini. Seperti mana sektor domestik perlu bayar kadar tariff yang lebih tinggi jika guna elektrik yang lebih tinggi, semua lapisan pengguna sepatutnya dikenakan tarif mendenda yang sama. Layanan khas tidak sepatutnya wujud.
Menurut kajian oleh ReEx Capital Asia, jumlah potensi pelaburan dalam kecekapan tenaga bagi sektor industri dan komersil di Malaysia adalah USD 1.437 billion manakala potensi penjimatan bagi kedua-dua sektor adalah USD 247 Million.
Pelaburan ini tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna disebabkan pulangan pelaburan yang lambat akibat dari subsidi dan bantuan-bantuan kewangan yang lain yang tidak membantu perkembangan kecekapan tenaga.
Bagi sektor domestik, penjimatan adalah tinggi dalam bil elektrik serta pengurangan pelepasan karbon.
Kos pembelian produk cekap tenaga adalah lebih tinggi sedikit tetapi kos operasi jangkamasa panjang adalah jauh lebih rendah. Sebenarnya, pulangan kepada pengguna domestik adalah lebih cepat.
Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER) menyeru kerajaan supaya mempunyai ‘mekanisma menyalurkan kos bahan api’ dan proses penetapan tarif yang telus untuk membantu Malaysia menjadi cekap tenaga.
Ini juga bermaksud penglibatan rakyat dalam proses ini adalah penting. Ini akan membantu Malaysia untuk mencapai tarif yang munahsabah sambil mengekalkan momentum pembangunan.
Dasar dan perancangan yang jelas seperti ini akan meningkatkan keyakinan pelabur serta membantu mereka memahami kaedah penetapan tarif. Ini adalah penting untuk memastikan industri dapat menilai Malaysia sebagai hub pembangunan dan pelaburan.
Rakyat pula akan memahami dengan lebih jelas mengenai isu tarif dan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik.
Ia mengambil langkah-langah kecil untuk mencapai kecekapan tenaga yang menyeluruh, mari kita bermula di sini.
Penulis adal presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER)