Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Merokok tidak baik untuk kesihatan, mudah sahaja malangnya langkah yang diambil untuk menangani wabak merokok di Malaysia dilihat bertentangan - pada satu pihak kosnya dalam bentuk kesihatan manusia manakala satu pihak usaha kerajaan yang menjadi kesan negatif kepada penanam tembakau serta usaha untuk membasmi kekemiskinan.

Hujah yang kedua itu tidak dapat diterima.

Perangkaan merokok di Malaysia amat membimbangkan; lebih 50% lelaki dewasa adalah perokok dan kira-kira 50 kanak-kanak di bawah usia 18 tahun merokok setiap hari.

Dianggarkan 10,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun akibat penyakit berkaitan merokok, menjadikannya pembunuh utama di negara ini.

WHO menganggarkan tembakau membunuh bilion orang di dunia ini pada akhir abad ke 21. Kemudian terdapat kos rawatan kepada keluarga, mengurangkan produktiviti ekonomi dan meningkatkan kos penjagaan kesihatan awam.

Di Malaysia, tembakau ditanam untuk membantu petani memperolehi pendapatan dan mengurangkan kemiskinan.

Bank Dunia, agensi kewangan global yang menyediakan modal bagi pengeluaran tembakau di negara membangun, telah menghentikan tindakannya yang menyedari akan kos kesihatan dan kini menyokong tanaman alternatif.

Pengulangan dakwaan bahawa penanaman tembakau mengurangkan kemiskinan hanya dibesar-besarkan, walaupun sebenarnya salah, apabila kita melihat contohnya kerajaan Malaysia sering menyelamatkan dan menawarkan subsidi kepada petani tembakau untuk mengekalkan daya maju ekonomi mereka dalam keadaan dilanda bencana alam dan lain-lain cabaran.

Contohnya pada awal 2009 apabila tanaman tembakau di Pantai Timur musnah oleh banjir, menyebabkan kerajaan dan syarikat tembakau melanjutkan bantuan khas dalam bentuk subsidi kepada petani.

Seksyen 16 (1) Peraturan Kawalan Produk Tembakau 2004 dengan jelas menyatakan, “Pengeluar perlu membungkus rokok dalam kotak mengandungi tidak kurang daripada dua puluh batang”.

Bagaimanapun amat malang sekali terdapat gesaan bagi menyokong ‘perjuangan penanam tembakau’ mengatasi pertimbangan kesihatan sepertimana yang dilihat melalui keputusan kabinet pada 2005 yang tidak menghentikan segera kotak rokok 14 batang sepertimana yang disarankan oleh Rangkakerja Konvensyen Kawalan Tembakau (FCTC) tetapi akan menghapuskannya dalam tempoh lima tahun.

Malaysia sepatutnya menerima WHO FCTC yang memberikan mandat terhadap beberapa jenis dasar kawalan tembakau. Bagaimanapun, kerajaan mengalami konflik dalam pelaksanaan dasar dan langkahnya memandangkan mereka membeli banyak saham dalam syarikat multinasional tembakau senaraian awam seperti British American Tobacco dan Japan Tobacco International Malaysia dan menggalakkan penanaman tembakau, dengan alasan ia diperlukan untuk membasmi kemiskinan.

Pembelian saham ini oleh kerajaan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) melalui badan pelaburan yang dikawal oleh kerajaan termasuk dana pencen, perbadanan pelaburan kerajaan dan unit amanah kawalan kerajaan negeri.

Oleh sebab itu kami mengalu-alukan kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa kerajaan akan mendenda mereka yang ditangkap merokok atau memiliki rokok secara haram dalam usaha untuk mengurangkan permintaan terhadap rokok itu, yang akan membawa kepada berhentinya aktiviti penyeludupan dan perdagangan haram seperti itu.

Rokok yang diseludup berharga serendah RM2 bagi setiap kotak 20 batang, manakala rokok bebas cukai pula diseludup oleh sindiket dan dijual secara haram oleh peruncit yang tidak bertanggungjawab di seluruh negara dengan harga antara RM3.50 dan RM4 bagi satu kotak berisi 20 batang rokok.

Penyangak peruncit ini pula tidak hanya menjual rokok yang diseludup tetapi mencabuli peraturan kerajaan yang menetapkan harga rokok minimum (MCP) RM7.

Rakyat Malaysia dilaporkan merokok “amat mengejutkan dengan sembilan bilion batang rokok haram setiap tahun” – dengan anggaran 4 daripada 10 rokok yang dihisap di negara ini adalah yang haram, menyebabkan kerajaan kehilangan hasil daripada cukai sehingga RM2 bilion.

Langkah Yang Perlu Diambil Oleh Kerajaan

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengambil langkah yang serius memandangkan merokok telah mengancam individu dan kesihatan masyarakat. Langkah yang lebih konkrit mestilah dilakukan dalam dasar negara dan dilaksanakan dengan tegas untuk memerangi masalah penggunaan tembakau yang semakin berkembang.

1)     Kurangkan Permintaan

a.    Jadikan harga rokok minimum yang lebih tinggi bagi rokok untuk memastikan perokok menghentikan tabiat mereka yang membazirkan wang itu. Harga runcit rokok berjenama premium perlu ditetapkan pada kadar yang lebih tinggi bagi kotak 20 batang, lebih tinggi berbanding harga semasa kira-kira RM10 sekotak. Harga premium rokok berjenama di United Kingdom ialah RM36.60, Ireland RM37.98, Singapura RM27.80, New Zealand RM27.20, Jepun RM10.60 dan Sri Lanka RM10.90.

b.    Menguatkuasakan pengharaman jualan rokok secara berasingan untuk memastikan peruncit tidak menjualnya.

c.    Menaikkan duti eksais ke atas produk tembakau dan meningkatkan penguatkuasaan untuk mencegah penyeludupan secara haram, barangan gelap atau rokok bebas cukai. Ini membantu untuk memastikan rokok tidak diperolehi dengan mudah oleh sebahagian besar penduduk.   

d.    Hapuskan status bebas cukai bagi rokok dan produk tembakau yang dijual di lapangan terbang dan kedai bebas cukai.

e.    Hentikan penjualan rokok di atas kapal terbang Malaysia.

f.    Haramkan pameran rokok di kaunter bayaran setiap premis dan kedai runcit serta tempat tumpuan utama lain. Sebagai ganti, produk ini perlu dijauhkan daripada pandangan awam, contohnya di bawah kaunter bayaran, dan hanya dikeluarkan untuk dijual atas permintaan khusus pelanggan.

2)     Melindungi daripada perokok pasif – melanjutkan pengharaman merokok meliputi semua tempat awam termasuk restoran, bar, taman dan kawasan rekreasi.

3)    Memperkenalkan sistem pelesenan yang menghadkan bilangan dan lokasi premis yang dibenarkan untuk menjual produk tembakau. Lesen seharusnya tertakluk kepada pembaharuan setiap tahun.

4)    Meningkatkan langkah menghapuskan penanaman tembakau , dan menjadikannya haram untuk menanam tembakau.

5)    Meningkatkan dana kerajaan untuk pendidikan, kempen anti-merokok , dan langkah untuk membantu perokok menghilangkan tabiat merokok mereka.

6)     Melarang mengaitkan pendidikan, aktiviti sukan, biasiswa dengan syarikat dan produk tembakau .

7)     Keazaman politik yang kuat dan melaksanakan dasar peraturan yang tegas untuk mengawal tabiat merokok di negara. Kerajaan perlu menghentikan menggunakan usaha menghapuskan kemiskinan dan perlindungan petani sebagai alasan untuk gagal mengambil tindakan tegas terhadap pengeluaran dan promosi tembakau.

8)     Mengharamkan publisiti bagi produk tembakau dalam sebarang bentuk. Pemimpin kerajaan perlu menunjukkan contoh teladan dan melalui sokongan bagi mengurangkan perokok dan penyakit yang dikaitkan dengannya.

9)     Hentikan sebarang bentuk tidak ketara daripada sokongan kerajaan untuk produk tembakau – pemimpin kerajaan negeri dan persekutuan mestilah menghentikan daripada memberikan sokongan kepada syarikat tembakau multinasional sebagai warga korporat yang baik, dengan itu memberikan mereka peluang untuk mengurangkan kesan terhadap dasar tembakau.

10)     Sokongan media juga turut diperlukan untuk menghentikan aktiviti merokok – pihak media perlu meningkatkan liputan terhadap kesan negatif tembakau untuk meningkatkan kesedaran komuniti terhadap bahaya merokok dan menggalakkan mereka berhenti merokok.

Tembakau adalah penyebab penyakit utama yang boleh dicegah, kehilangan masa yang berharga dan kematian awal dalam kalangan rakyat Malaysia. Kami menggesa kerajaan supaya tidak lagi berada dalam konflik tetapi meletakkan kepentingan orang ramai mengatasi kepentingan industri.       


Penulis adalah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS