Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang sepatutnya dijalankan pada 21 Februari (Isnin ini) serentak dengan kampus-kampus lain sedikit tergendala kerana telah ditunda ke hari kemudiannya berikutan pembatalan keseluruhan proses penamaan calon yang telah berlangsung pada 17 Februari lalu.

Kesemua 56 calon-calon yang layak bertanding merebut 30 kerusi yang ditawarkan dalam kabinet MPP UTHM telah dibatalkan pencalonan mereka atas alasan masalah teknikal.

Semalam, sehari selepas hari penamaan calon, pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) memanggil kesemua calon yang bertanding dalam satu perjumpaan tergempar membabitkan Timbalan Pendaftar HEP Abdul Malek Ibrahim pada jam 6.30 petang di hadapan foyer pejabat bahagian itu bagi memaklumkan pembatalan keseluruhan proses penamaan calon.

Dalam pengumuman itu,, beliau membacakan hasil keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Pemilihan MPP yang menasihati naib canselor supaya membatalkannya.

Ketika beberapa wakil calon yang bertanding bertanyakan sebabnya, pihak HEP meminta agar semua calon yang bertanding menerima keputusan yang diputuskan.

Justeru, proses penamaan calon UTHM hanya akan bermula pada tarikh 19 Februari. Proses pembelian borang calon dibuka semula pada 9 malam hingga 12 malam pada hari pembatalan proses pencalonan tersebut.

Proses pengesahan borang calon oleh dekan-dekan fakulti atau wakil rasmi Dekan fakulti juga turut akan diadakan pada tarikh yang sama dengan hari penamaan calon.

Pada hari penamaan calon yang lalu, seramai 57 pelajar mengemukakan borang pencalonan masing-masing. Seorang dibatalkan pencalonan kerana menerima bantahan, menjadikan 56 calon layak bertanding.

Dalam proses yang sama juga, seorang calon Pro-mahasiswa dibantah oleh calon Pro-Aspirasi atas alasan mata nilai purata terkumpul (CPA) calon terbabit bawah 2.7 mata. Namun, dalam bantahan terhadap beliau ditolak berikutan syarat yang termaktub dalam peraturan jawatankuasa pemilihan menyebutkan bahawa calon dengan CPA 2.7 bawah adalah layak bertanding tetapi tidak digalakkan.

Perkara 4.2 menyatakan: "Walaubagaimanapun, pelajar yang mempunyai CPA kurang daripada 2.7 tidak digalakkan untuk menjadi calon."

Pembatalan keseluruhan proses penamaan calon tersebut telah menimbulkan isu di kalangan mahasiswa UTHM.

Ini kerana selepas pembatalan, wujud notis tambahan dalam borang calon yang menekankan soal kelayakan sebagai calon dengan menyatakan:

"Pelajar yang mempunyai CPA kurang daripada 2.7 tidak digalakkan untuk menjadi calon. Walaubagaimanapun, permohonan calon adalah tertakluk kepada budi bicara Dekan atau wakil rasmi Dekan atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa di bawah Peraturan-Peraturan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar) 2011 bagi menyokong atau menolak permohonan pelajar untuk menjadi calon."

Ia dilihat sebagai satu campurtangan pihak tertentu untuk cuba mempengaruhi atau menekan dekan-dekan fakulti bagi tidak membenarkan calon tertentu diberi kebenaran bertanding pada proses penamaan calon yang lepas, daripada diberi peluang sekali lagi untuk bertanding.

Menurut seorang mahasiswa UTHM, sekiranya benar tindakan tersebut dibuat atas tujuan dan niat berkenaan, maka tindakan ini sangat tidak adil kerana kriteria dan syarat layak untuk menjadi calon yang bertanding adalah ditetapkan sendiri oleh jawatankuasa induk pelaksana pemilihan MPP dan mahasiswa telah mengikut syarat sebagaimana yang telah ditetapkan.

Malah, mahasiswa sendiri telah mendapat kelulusan dari pihak dekan fakulti masing-masing bagi membuktikan bahawa mereka telah mendapat perkenan dari pihak dekan fakulti sekaligus boleh dikira sebagai mendapat galakan dari pihak dekan sendiri.

Kenyataan dalam notis terbabit sangat jelas menunjukkan ia satu pindaan yang masih baru dilakukan oleh pihak Jawatankuasa Induk Pemilihan Majlis Perwakilan Perwakilan UTHM 2011 untuk mensabotaj calon yang berjaya dalam rayuan melawan bantahan yang dibuat ke atasnya.

Dengan wujudnya notis penambahan yang baru tersebut, ianya boleh dimanipulasi oleh pihak yang mempunyai kuasa dalam menyokong atau menolak permohonan pelajar untuk menjadi calon.

Sebagai contoh, ia boleh dimanipulasikan oleh pihak yang mempunyai kuasa untuk menyokong calon yang disukai tetapi dalam masa yang sama menolak permohonan calon yang tidak disukai meskipun kedua-dua calon memiliki CPA kurang dari 2.7.

Lebih menimbulkan persoalan di fikiran mahasiswa apabila mesyuarat yang dilakukan jawatankuasa induk pemilihan MPP tersebut dilakukan setelah satu kenyataan memboikot pemilihan MPP dikeluarkan oleh pihak Pro-aspirasi setelah mereka gagal membantah calon Pro-mahasiswa atas alasan CPA terbabit.


Penulis merupakan penyelaras kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS