Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Interlok - ludah di langit, terpercik muka sendiri

Isu pemilihan novel lnterlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussain, 91, tiba-tiba menjadi isu yang dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin perkauman yang tidak matang dan berfikiran dangkal.

Interlok salah sebuah novel yang memenangi hadiah Peraduan Menulis Novel sempena 10 tahun kemerdekaan Malaysia (1967) lalu dipilih menjadi teks SPM bagi subjek KOMSAS Bahasa Melayu iaitu komponen sastera dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu SPM.

Desakan yang keterlaluan daripada beberapa pemimpin politik berteraskan kaum itu agar Kementerian Pelajaran Malaysia menarik balik cadangan novel tersebut dijadikan teks kerana ada perkataan yang kononya menyinggung sensitiviti kaum bagaikan membuka pekung di dada, meludah di langit terpercik muka sendiri masyarakat India juga.

Alasannya perkataan tersebut memberi impak kepada masyarakat lndia Malaysia tidak kukuh.

Soalnya adakah mereka yang mencemuh itu sudah membaca keseluruhan novel tersebut?

Latar Interlok berkisar ketika zaman sebelum kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang British sebut 'Malaya' iaitu sekitar awal abad ke-19.Kedatangan orang-orang India dari India dan Cina dari China kerana keperluan ekonomi British sama ada di ladang-ladang getah dan di lombong-lombong bijih timah telah membuatkan mereka yang datang ke Malaya lantaran tuntutan kemiskinan hidup telah berusaha mencari rezeki.

Di sebuah ladang getah orang Melayu, Cina, India hidup bersatu padu atas nama sebuah kehidupan dan mencari rezeki. Sebenarnya, Abdullah Hussain telah mengibarkan bendera satu Malaysia terlebih dahulu atas semangat kekitaan dan perpaduan. Penduduk yang berbilang kaum ketika itu berpegang kepada di mana bumi dipijak,di situ langit dijunjung.

Dalam pergaulan masyarakat ketika itu masing-masing tidak lepas membawa cara pemikiran masyarakat leluhur tanah air asal mereka. Justeru sudah tentu adat istiadat, bahasa, cara berkomunikasi terpancar dalam pergaulan mereka.

Inilah realistiknya latar yang dipaparkan oleh Abdullah Hussain sebagai perakam waktu dan zaman menerusi karya fiksyennya. Atas nama seni dan nilai-nilai estetika mengapakah mahu dipolitikkan? Yang nyata, dalam agama Hindu sendiri ada menyebut kasta masyarakat mereka.

 Sementelahan pula apa yang digambarkan oleh novelis tersebut adalah masyarakat lndia di lndia yang mana rata-ratanya ketika itu masih berwarganegarakan negara lndia.

Bahkan bukan menggambarkan tatcara kehidupan masyarakat lndia warganegara Malaysia seperti zaman sekarang. Bahkan pengarang juga menggambarkan situasi jelek masyarakat Melayu dan Cina juga.Namun tidak ada sebarang bantahan daripada orang Melayu dan Cina.

Sebabnya,kerana mereka faham bahawa taraf dan maju mundur sesuatu bangsa atau keturunan bukan kerana taraf bangsa itu tetapi kerana ilmunya, akhlaknya dan daya usahanya.

Kepada semua yang mengaku warganegara Malaysia, usahlah melenting sebaliknya letakkan posisi emosi kalian berada di aras kecerdasan yang tinggi.Tidak sewajarnya mana-mana pihak memperlekehkan hasil karya unggul Sasterawan Negara Abdullah Hussain yang melalui sejarah penulisan yang panjang.

Seperkara  yang menghairankan mengapakah ada pembabitan parti politik dalam isu novel Interlok ini? Apakah pandangan wakil MIC akan melihat Interlok dari perspektif dan kepentingan politik?

Jika isu Intertok dibabitkan MIC mengapakah Umno atau NGO bukan India tidak diundang menghantarkan wakilnya ke Kementerian Pelajaran?

Apakah ini tidak mungkin boleh menyebabkan kementerian pelajaran berada dalam situasi senget sebelah? Kita sedia maklum sebagai pegawai yang mewakili kementerian pelajaran kelak tentulah suara dan hujah yang diperkatakan tidak bebas dan berdasarkan

skrip dan kehendak pihak atasan.

Justeru bukan mustahil kelak pegawai-pegawai kemterian pelajaran akan berasa serba salah jika tidak mempunyai pendirian dan daya keintelektualan yang kukuh.

Apatah lagi andainya yang mewakili MIC tidak pun atau membaca sekerat jalan novel tersebut.Kesannya lebih ke arah silap faham, berada dalam situasi emosional dan prejudis yang lebih menjurus

menuju ke arah kebuntuan.

Kesimpulannya adalah ditegaskan bahawa jika masyarakat India di Malaysia yang berdasarkan Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan perundangan sah telah diterima sebagai warganegara maka apakah perlu masyarakat India Malaysia pobia dengan perkataan ‘paria’?

Apakah ada sistem kasta di Malaysia kini?

Ketahuilah dalam novel Interlok digambarkan elemen kasta wujud pada masa itu kerana orang India yang berhijrah ke Malaysia ketika itu (1910-1957) belum berstatuskan  warganegara atau bukan lagi rakyat Malaysia .

Novel itu tidak menceritakan tentang rakyat Malaysia keturunan India sekarang. Karya fiksyen itu cumalah rakaman sejarah, latar dan zaman ketika itu. Justeru, tidak ada unsur menghina sesiapapun.

Hakikat inilah yang patut difahami semua pihak dan menerimanya selaras dengan semangat satu Malaysia!


Penulis ialah Presiden Persatuan Pengamal Pendidikan Malaysia

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS