Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jangan terkejut andai tiba-tiba anak anda berumur kurang tujuh tahun melondehkan seluar serta menunjukkan punggungnya sambil menggoyangkannya dan berkata, “Punggung....” Timbul persoalan, dari mana mereka belajar perkara sebegitu?

Ini secara jelas adalah pengaruh yang tidak sihat daripada rancangan kartun kegemaran kebanyakan kanak-kanak termasuk sesetengah ibu bapa sendiri iaitu Sin-Chan. Sedarkah kita bahawa, bukan semua kartun adalah selamat bagi ditontonkan kepada anak-anak mutakhir ini.

Sebagai contoh rancangan Sin-Chan sendiri yang banyak dengan unsur lucah, siri Sponge Bob yang menjadikan 'Bikini Bottom' sebagai tempat tinggal mereka.

Tidak kurang juga kebanyakan kartun yang menjadikan tema pergaduhan, perbalahan dan membalas dendam sebagai tema dan jalan cerita. Tidak kurang juga kartun yang mempromosi adegan seksual dan cara berpakaian yang tidak senonoh serta tidak mengatup aurat.

Tanpa menafikan kartun mampu menjadi instrumen pendidikan yang terbaik untuk anak-anak namun dalam masa yang sama ianya juga amat berpengaruh dalam menanamkan budaya dan akhlak yang tidak baik kepada anak-anak.

Lantas, adalah menjadi kesalahan yang besar apabila ibu bapa sendiri yang mendorong anak-anak mereka bagi menonton siri-siri yang ternyata lebih besar kesan negatif berbanding kesan positif. Namun, dalam masa yang sama kita berterima kasih kepada pihak yang berjaya mencipta watak Upin dan Ipin, watak kartun animasi yang diciptakan oleh warga tempatan.

Kejayaan Upin dan Ipin sebagai produk animasi Malaysia yang berjaya menambat hati kanak-kanak tempatan dan luar negara wajar dipuji dan diangkat menjadi ikon kanak-kanak terkini dengan lebih penambahan unsur didaktik secara langsung mahupun tidak langsung.

Di Indonesia sebagai contoh, ikon Upin dan Ipin digunakan semaksimum mungkin dengan melekatkan dan mengaitkan watak tersebut termasuk pada buku-buku agama.Ini tidak lain adalah bertujuan bagi menarik dan mendapatkan perhatian anak-anak dan secara tidak langsung terhadap bahan-bahan bacaan agama.

Kesimpulannya adalah pemantauan dan penyaringan terhadap rancangan-rancangan kartun di televisyen perlu dilakukan oleh ibu bapa apabila anak-anak di rumah sementelah pada waktu cuti sekolah sekarang ini.

Dalam masa yang sama pihak televisyen bertanggungjawab menyiarkan hanya rancangan yang berfaedah dan mendidik kepada anak bangsa.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS