Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sukacita Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ingin memberikan maklum balas mengenai kekeliruan tempoh masa menjalankan ibadah korbanyang timbul baru-baru ini.

JAKIM ingin memaklumkan bahawa Ibadah korban boleh dilaksanakan oleh umat Islam di seluruh Malaysia bermula dari selepas solat sunat Aidiladha pada 10 Zulhijjah dan pada hari tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Oleh kerana hari raya korban di Malaysia telah jatuh pada hari Rabu yang lalu iaitu 17 November 2010, maka umat Islam di Malaysia disunatkan menunaikan ibadah korbansehingga Sabtu, iaitu 20 November 2010 bersamaan 13 Zulhijjah 1431H.

Adapun tempoh bagi menjalankan ibadah korbant ersebut disandarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Dari Al Bara' bin ‘Azib r.a. Katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menyembelih sebelum sembahyang (Aidil Adha), maka penyembelihan itu untuk dirinya sendiri dan siapa yang menyembelih sesudah sembahyang (Aidil Adha), maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan korbannya dan telah mengikut sunnah kaum muslimin".

Dari kitab Rad al-Muhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar Sharh Tanwir al-Absar yang ditulis oleh Ibn ‘Abidin mengatakan bahawa: "Maka diganjari ibadah korbanyang dilaksana pada hari yang ketiga belas walaupun di sisi yang lain telah pun memasuki hari yang keempat belas" ( Dar al-Kutub al-Ilmiyyah ; Beirut, Jilid 3, halaman 364).

Oleh itu, adalah tidak menjadi kesalahan menjalankan ibadah korbanitu pada hari 10 Zulhijjah (selepas solat sunat Aidiladha) dan tiga hari berikutnya (11, 12, dan 13 Zulhijjah) sehingga terbenam matahari pada 13 Zulhijjah 1431H, iaitu bersamaan dengan 20 November 2010 bagi tahun ini.

Berdasarkan rekod cerapan anak bulan Zulhijjah 1431H di 30 tempat cerapan rasmi di Malaysia oleh Jabatan Mufti Negeri-Negeri di Malaysia pada 29 Zulkaedah 1431H bersamaan 6 November 2010 (Sabtu) yang lalu, ahli falak telah mendapati anak bulan tidak kelihatan di kesemua tempat cerapan tersebut dan sekaligus keputusan sebulat suara menetapkan Hari Raya korbanpada tahun ini jatuh pada 17 November 2010 (Rabu) yang lalu.

Hasil data cerapan tersebut didapati setelah ahli falak mendapati kedudukan hilal (anak bulan) telah tidak memenuhi kriteria ketetapan Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan).

Ini bermakna, hari tasyrik bagi seluruh umat Islam di Malaysia pada tahun ini adalah pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah 1431H.

Untuk makluman masyarakat Malaysia, persetujuan bersama oleh empat negara anggota Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) telah menerima pakai kriteria Imkanur-Rukyah (kebolehnampakan) yang telah diputuskan melalui keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Rukyah dan Takwim Islam Kali ke-3 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 29 Zulkaedah 1412H bersamaan 1 Jun 1992.

Hal ini sekaligus menafikan pandangan dan kekeliruan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa ibadah korban hanya boleh dilakukan sehingga 19 November sebagaimana menurut Arab Saudi.

Sukacita dimaklumkan juga, asas penentuan hari raya korban di Malaysia adalah selaras dengan Singapura dan Republik Indonesia dan berkebetulan pada tahun ini negara Brunei Darussalam bersama-sama merayakan hari aya korban pada 17 November 2010.

Untuk makluman lanjut, orang ramai boleh mengakses dan merujuk info kriteria Imkanur-Rukyah di Malaysia dan data-data berkaitan melalui laman web JAKIM di laman sesawang www.islam.gov.my.


Penulis adalah ketua pengarah JAKIM


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS