Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menurut perancangan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dikeluarkan beberapa hari lalu, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan malam bagi memacu industri pelancongan.

Ini akan dilaksanakan dengan penubuhan beberapa kelab malam terkemuka, menganjurkan konsert utama, melonggarkan garis panduan untuk penghibur antarabangsa dan mempakejkan semula acara antarabangsa seperti Formula 1 dan MotoGP.

ETP juga mencadangkan penubuhan zon hiburan di lima negeri, termasuk Lembah Klang yang akan menyaksikan terdapat sekurang-kurang 10 kelab malam menjelang 2014.

Seperti yang dijangka, tindakan kerajaan melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) ini mendapat tentangan dan bantahan daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan NGO Islam, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPPM), ahli-ahli politik, golongan intelektual mahupun masyarakat.

Saya dengan tegasnya menyatakan bantahan dan tidak bersetuju dengan hasrat  kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab hiburan dalam usaha memacu industri pelancongan Malaysia.

Saya melihat bahawa tindakan kerajaan ini tidak munasabah untuk dilaksanakan kerana ianya tidak selari dengan prinsip Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Saya ingin menyarankan supaya kerajaan menarik balik dan mempertimbangkan semula pekara ini memandangkan banyak kesan buruk yang akan dihadapi pada masa akan datang termasuklah kesan kepada kesejahteraan sosial, ekonomi, keselamatan mahupun imej Malaysia sebagai negara yang sering mengetuai Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC).

Jika dilihat kepada permasalahan sosial masyarakat Malaysia terutamanya yang melibatkan golongan anak muda, saya bimbang dan tidak selesa melihat permasalahan ini berlarutan. Perlaksanaan hab hiburan ini akan menyuburkan lagi masalah sosial dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat.

Penubuhan beberapa kelab malam terkemuka ini sahaja sudah memberi banyak kesan negatif kepada masa depan Malaysia, antaranya keberangkalian yang tinggi terhadap peningkatan statistik penularan HIV dan AIDS, peningkatan kadar jenayah seperti pengedaran dadah, pil khayal, pelacuran dan gengsterisme. Hal ini sangat merbahaya dan kritikal jika hab hiburan ini benar-benar dilaksanakan.

Saya tidak melihat sebarang input positif yang akan diperolehi negara dengan perlaksanaan hab hiburan kerana saya berpandangan bahawa masih banyak langkah lebih relevan yang sepatutnya difikirkan oleh kerajaan. Ini kerana, potensi sektor pelancongan masih belum dieksploitasi sepenuhnya.

Masih banyak lagi yang boleh dilakukan untuk memacu industri ini bagi menarik pasaran baru dari Eropah, Amerika Syarikat dan negara-negara serantau. Antaranya, mengekploitasi hutan yang kaya dengan flora dan fauna serta kawasan menyelam dasar laut yang amat menarik untuk tujuan pelancongan.

Saya yakin dan percaya, Malaysia mampu menerajui dalam menyediakan pengembaraan ekopelancongan yang lestari, eksklusif dan bernilai tinggi. Masa depan industri pelancongan Malaysia berkembang cerah sekiranya kita mempunyai visi dan kreativiti bagi menyokong potensi pertumbuhannya yang luas dan pelbagai.

Sebagai negara yang menerajui Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC), lebih relevan dan munasabah sekiranya kerajaan Malaysia menerokai sektor lain untuk meningkatkan ekonomi negara, sebagai contoh menjadikan Malaysia sebagai hab perkhidmatan kewangan Islam.

Ini kerana Malaysia kini merupakan peneraju perbankan dan pasaran modal Islam serta industri takaful di dunia. Langkah ini berpotensi untuk menjadikan Malaysia sebagai lokasi hab perkhidmatan kewangan Islam yang bersepadu. Umpamanya, Bank Negara Malaysia kini dalam proses memuktamadkan penubuhan pusat kewangan Islam dan kelulusan dua lesen bank Islam mega.

Sebagai sebuah negara Islam, kerajaan seharusnya membangunkan industri pelancongan yang memberi peluang kepada pelancong untuk mengenali warisan Islam termasuklah dalam sektor ekonomi.

Penggunaan dinar emas sebagai mata wang dilihat dapat memberi keuntungan yang besar terhadap ekonomi negara. Justeru, saya melihat bahawa Malaysia mempunyai ruang dan peluang yang besar untuk memacu ekonomi termasuklah dalam industri pelancongan namun ianya haruslah bertepatan dengan norma dan tatasusila masyarakat.

Isu hab hiburan ini perlu diberi perhatian yang serius oleh pihak kerajaan demi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sihat dari sudut perkembangan sosialnya. Penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) yang merupakan satu badan bebas yang ditugaskan untuk mengkaji ekonomi negara secara terperinci hendaklah dimaksimakan sebaik mungkin.


Penulis adalah Presiden MPP Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

ADS