Baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan penubuhan hub pusat hiburan malam bagi memacu Program Tranformasi Ekonomi (ETP).
Perancangan itu adalah sebahagian daripada 12 projek permulaan bagi memperkasakan sektor pelancongan di negara kita. Bayangkan betapa besar angka yang keuntungan yang akan diraih. Saya difahamkan sehingga mencecah RM 1.8 bilion seandainya projek ini mendapat sokongan semua.
Bagi saya saranan penubuhan hub pusat hiburan malam ini adalah bertepatan dengan slogan 1 Malaysia, rakyat sememangnya didahulukan seterusnya memenuhi citarasa warga Malaysia yang bagi saya tidak salah untuk berhibur.
Inilah sebenarnya kerajaan yang betul-betul memahami hasrat hati rakyat dan juga kami sebagai mahasiswa.
Saya juga berpendapat ini juga satu langkah yang cukup bijak bagi mengatasi gejala-gejala negatif yang timbul apabila hiburan disekat sekeras-kerasnya oleh pihak tertentu. Mereka tiada tempat untuk berhibur, dan keadaan inilah yang akan menyebabkan berlakunya masalah seperti pusat-pusat hiburan haram dan gejala lepak di jalanan.
Selaku mahasiswa juga saya melihat langkah ini sudah pasti sedikit sebanyak membantu kadar penurunan jenayah yang banyak kes melibatkan warga asing yang berpeleseran di ibu kota. Gangguan di jalanan juga dapat dibanteras apabila mereka tidak lagi berkumpul di jalanan semata-mata.
Saya juga berasa sedih apabila usaha murni kerajaan ini dianggap sia-sia oleh sesetengah pihak. Mereka tanpa ada pandangan dan maklumat yang jelas tentang situasi sebenar dengan mudah dan bongkak menolak bahkan membantah usaha kerajaan ini. Apakah mereka ini lebih rela melihat kadar jenayah di negara semakin meningkat hari demi hari?
Justeru , saya mewakili seluruh mahasiswa yang berdiri teguh bersama kerajaan menyokong penuh usaha murni ini. Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.
Penulis adalah Yang Dipertua, Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya