Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengumuman yang dibuat baru-baru ini mengenai menjadikan subjek sejarah sebagai subjek wajib lulus menerima reaksi pelbagai pihak.

Ada yang menyokongnya sebagai cara bagi menjelmakan perpaduan dan ada pula yang membantahnya kerana tidak mahu ia dijadikan alat propaganda yang ampuh.

Tidak kurang juga terdapat pihak yang menganggap keperluan menjadikan sejarah sebagai wadah bagi mengingatkan golongan muda mengenai asal usul negara ini dan lantas, memantapkan semangat kenegaraan mereka.

 

Pada masa yang sama, satu aspek yang dapat diberikan perhatian adalah aspek akhlak atau lebih tepat lagi, pembinaan dan reformasi akhlak melalui pembelajaran sejarah secara berkesan.

Kita tidak mahu pembelajaran sejarah nanti, walaupun akan dijadikan subjek wajib lulus, hanya menekankan pada kehendak bagi lulus dalam peperiksaan semata-mata, hingga mengabaikan nilai akhlak dan kemanusiaan yang wujud di dalamnya.

 

Penghayatan yang mendalam sudah semestinya juga perlu ditekankan. Namun begitu, apakah ‘penghayatan’ yang dimaksudkan?

Adakah ia berkisar pada penghayatan pada perjuangan pahlawan kemerdekaan dahulukala? Atau adakah ia seputar dinamisme pembinaan negara bangsa yang kukuh dan padu?

 

Seperti yang dijelaskan di atas, satu penghayatan yang penting bagi diambilkira adalah penghayatan reformasi akhlak melalui pembelajaran sejarah secara berkesan.

Dalam pada kita mengejar kemajuan dan pertumbuhan ekonomi, kita menghadapi segala corak cabaran yang kemudiannya termanifestasi dalam bentuk gejala sosial dan kebobrokan akhlak yang akhirnya menjejaskan usaha melahirkan generasi dan negara yang maju secara seimbang, iaitu secara rohaniah, akli dan kebendaan.

 

Maka di sinilah letaknya kepentingan memanfaatkan sejarah bagi membina akhlak di kalangan generasi muda, sesuai dengan pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.

Para pelajar yang dahagakan bimbingan sudah tentu akan mendapat manfaat melalui pengajaran sejarah yang menekankan aspek reformasi akhlak, iaitu berdasarkan nilai murni dan worldview tamadun cemerlang purbakala, pelbagai budaya dan adab santun masyarakat timur yang sesuai dengan peredaran zaman, falsafah dan jatidiri yang luhur, dan sebagainya.

 

Reformasi akhlak sebenarnya tidak hanya mampu dilakukan melalui pendidikan agama dan moral, malah mampu dilakukan melalui pembelajaran sejarah, yakni pembelajaran sejarah yang dilakukan dalam kerangka pembinaan akhlak, sesuai dengan rukun kelima dalam Rukun Negara, iaitu kesopanan dan kesusilaan.  

ADS