Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tahniah saya ucapkan kepada PAS serta NGO Islam Malaysia yang peduli dan sensitif terhadap isu penghinaan terhadap pemakaian Islam. Bantahan tersebut bagi saya sudah cukup memberi tamparan serta membuka mata 'First Lady' Malaysia yang kononnya ingin mengenegahkan idea busana Muslimah.

Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri Perdana Menteri nampaknya gagal menjadi penaung yang baik kepada penganjuran Islamic Fashion Festival (IFF). Datuk Raja Rezza Shah yang juga Minister Councellor di Kedutaan Malaysia di Indonesia adalah pengarah dan telah menganjurkan program ini sejak 2007 lagi.

Sebelum ini, program ini pernah dianjurkan di Kuala Lumpur pada 2006, kemudian beralih ke Jakarta pada 2007. Pada tahun 2008 ia dilangsungkan di Dubai yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

'First Lady' sebenar

IFF yang berlangsung di Dubai pada 2008 adalah festival yang wajar dipuji. Selain tidak menimbulkan kontroversi dengan kehadiran fesyen yang menghina agama Islam, 'First Lady' yang sebenar telah menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat.

Apa yang boleh dilihat adalah kehadiran Tuanku Nur Zahirah dengan berpakaian muslimah lengkap bertudung sangat perlu dibanggakan. Ia sangat berbeza dengan Rosmah yang turut serta hadir, namun memalukan imej Islam dan Malaysia dengan tidak bertudung.

Apa yang boleh saya perkatakan kepada penganjuran IFF di sini baru-baru ini, niat pengarahnya untuk memasarkan idea global di dalam pemakaian busana Muslimah tidak disedari telah menghina Islam.

Saya tidak rasa bahawa Rosmah terlalu jahil dalam pemakaian yang menghina tersebut. Sebelum ini misalnya, di dalam satu pertunjukan fesyen di Eropah pernah menyiarkan pemakaian tersebut, dan ia mendapat bantahan seluruh umat Islam di dunia.

Dan hari ini ia berlaku di Malaysia.

Provokasi dan kejahilan

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa Rosmah cuba menimbulkan provokasi terhadap sensitiviti umat Islam di Malaysia, walaupun saya tahu ia mungkin bercampur dengan kejahilannya.

Ia juga boleh saya samakan dengan penyiaran stesen televisyen TV3 iklan hari raya Aidilfitri yang bercampur-baur dengan pegangan agama lain iaitu Kristian dan Buddha. Dan ia telah disaman SKMM sebanyak RM50,000 sejurus TV3 memohon maaf kepada seluruh masyarakat.

Di samping itu, rakyat juga wajar mempersoalkan berkenaan keyakinan kepada Rosmah dalam menguruskan RM111 juta yang diperuntukkan oleh kerajaan yang dipimpin suaminya di dalam Bajet 2011 baru-baru ini.

Justeru, bantahan yang dibuat Jumaat lalu sangat tepat. Bukan kerana membantah penganjuran tersebut, tetapi membantah salah faham dan kekeliruan gambaran yang diberikan oleh penganjur berkenaan fesyen busana Muslimah yang sebenar.

Sangat wajar diperhatikan saranan Naib Presiden Helwa ABIM, Fadhlina Siddiq yang menyatakan "Apa yang dipotretkan kepada masyarakat dalam penganjuran IFF nyata jauh tersasar dan sangat mengelirukan masyarakat Islam sendiri".

ADS