Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sebagai kakitangan awam, saya berasa amat malu dengan tindakan presiden Cuepacs yang keras hati mahu kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam di negara ini.

Sektor awam di Malaysia menghadapi kekangan kewangan yang ketara pada tahun 2010 mengakibatkan penurunan mendadak peruntukan bagi setiap sektor.

Sungguhpun demikian, kerajaan telah memberikan bonus kepada penjawat awam sempena Aidilfitri yang lalu sebanyak RM 500 dan satu lagi bonus bernilai RM 500 telah diumumkan akan diberikan pada Disember akan datang.

Perbuatan Cuepacs yang masih menuntut pemberian bonus sehingga dua bulan gaji adalah satu tindakan yang melampau dan di luar batas rasional. Benar, kerjaya dalam sektor awam tidak memberikan pendapatan lumayan berbanding swasta, dan pemberian bonus merupakan satu rahmat yang ditunggu oleh semua pihak.

Siapakah yang tidak mahu wang jatuh ke riba? Lebih-lebih lagi kakitangan awam yang berpendapatan rendah atau mereka yang menghitung-hitung bila gaji seterusnya akan masuk kerana kesempitan wang.

Namun, tidakkah lebih wajar Cuepacs memohon agar peruntukan yang turun mendadak tahun ini dipulihkan terlebih dahulu, atau ditambah mana yang perlu untuk memulihkan fungsi sektor awam yang ‘sakit’ akibat kekangan kewangan sebelum ini?

Tidakkah ramai kakitangan awam terjejas akibat pengurangan peruntukan untuk aktiviti, tuntutan perjalanan, bahkan pengurangan kursus-kursus berkaitan perkhidmatan? Tidakkah ini yang patut diutarakan dahulu?

Daripada menuntut bonus dalam bentuk wang ringgit saban tahun, Cuepacs seharusnya lebih proaktif memperjuangkan kebajikan penjawat awam.

Saya khuatir kami kakitangan awam akan dipandang serong oleh sektor swasta, yang sekali gus akan merendahkan martabat penjawat awam dek kerana segelintir pihak yang tidak merasa cukup dengan pendapatan sendiri.

ADS