Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Ustaz Fathul Bari sudah memulakan beberapa siri tulisan beliau dalam kolum Malaysiakini .
Sejak dari awal kemasukan hingga ke hari ini, masih banyak kritikan dan cemuhan dilemparkan kepada beliau dan rakan-rakan yang lain.
Mereka memilih cara yang mereka yakini benar dan baik untuk melakukan dakwah. Sementelahan pula ini negara demokrasi. Dan Umno pula ada sebuah pertubuhan yang sah di sisi undang-undang.
Macam-macam Cara Berdakwah
Dakwah ada macam-macam cara. Agama tidak sahaja menyebut tujuan dan matlamat, bahkan merincikan contoh-contoh cara melaksanakan dakwah.
Dakwah Nabi Nuh alaihissalam yang gigih
Allah merakamkan peristiwa Nabi Nuh alaihissalam berdakwah kepada kaumnya dalam Surat Nuh.
"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman)". (Nuh : 5)
Ayat ini menunjukkan dakwah dilaksanakan tidak megira waktu, baik siang mahu pun malam.
Dalam ayat yang lain Allah menceritakan,
"Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang. Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan. (Nuh (-10)
Ayat-ayat ini menunjukkan contoh, bahawa dakwah atau kempen kepada kebaikan dan kebenaran perlu dilakukan secara sinergi. Ada orang menerima kebenaran dengan sekali tegur, dan tidak sedikit juga yang mengakui kebenaran selepas berkali-kali dan bertahun-tahun dinasihati.
Ada orang senang menerima nasihat secara langsung. Ada orang yang lain pula suka menerima pembaikan lewat tulisan. Dan ada pula orang yang lain menerima kebenaran melalui karya sastera seperti syair, puisi dan novel.
Pesan Nabi Yaakub kepada anak-anaknya
Kaedah atau medium ini jangan sesekali dibataskan. Lebih-lebih lagi perkembanga terkini mengizinkan komunikasi menerusi emel, laman web, facebook, sms dan media-media yang bertambah setiap hari.
Justeru kita harus memanfaatkan semua cara dan jalan yang tersedia. Ini mengingatkan kita kepada pesan seorang ayah iaitu Nabi Ya'kub alaihissalam kepada anak-anaknya ketika mahu menyelamatkan adik bongsu mereka dari tawanan :
"Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan". (Surah Yusuf : 67)
Berdasarkan dua kisah yang dirakamkan oleh Al-Qur'an, kita dapat fahami bahawa Allah menyediakan tujuan dan kaedah sekaligus dalam menunaikan tanggungjawab dakwah.
Kaedah itu direalisasikan oleh Rasulullah (selawat dan salam buat beliau), sahabat-sahabat beliau dan generasi awal yang digelar kaum salaf.
Kritikan kepada ulama muda Umno
Justeru tindakan 40 ulama muda menyertai Umno bukanlah suatu tindangan yang bertentangan dengan petunjuk agama. Walaupun harus diberi catatan, sejarah parti pemerintah itu dengan proses pembaikan melalui banyak cabaran.
Hakikatnya bukan sahaja Umno yang punya cabaran besar untuk membaiki parti dan organisasinya. Semua organisasi malahan parti melalui zaman-zaman getir.
Sudah banyak kritikan, cemuhan dan bangkangan dilontar. Namun masih banyak ruang pemerintah yang boleh dan perlu dibaiki.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, tindakan 40 ulama muda ini ibarat "masuk dari beberapa buah pintu yang berlainan".
Berhenti mengutuk kegelapan
Kata pepatah,
Daripada mengutuk kegelapan, lebih baik menyalakan lilin
Bahkan Nabi Muhammad (selawat dan salam buat beliau) dalam sebuah hadis melarang kita melaknak syaitan, sebaliknya Nabi menganjurkan kita supaya berlindung dari kejahatan syaitan. (Rujuk silsilah hadis Sahih, Albani)
Sudah ramai yang mengutuk-ngutuk dan mencaci kesilapan dan kesalahan yang dilakukan pemerintan. Namun masih belum banyak yang mendampingi pemerintah dan mencadangkan penyelesaian yang lebih baik.
Saya mencadangkan supaya khalayak tidak lagi mencemuh atau mengkritik tindakan mereka menyertai pemerintah. Namun yang perlu diteliti ialah usaha yang mereka lakukan untuk melakukan pembaikan.
Kritik mereka, jika kemasukan itu hanya sekadar untuk menyedapkan atau menggembirakan hati pemerintah.
Tegur dan nasihati mereka jika semangat dan azam mereka pudar dan suam selepas berlalunya masa. Dan yang lebih penting untuk dipantau ialah, supaya mereka tidak sama-sama terlibat dengan kesilapan dan kesalahan yang mungkin dilakukan oleh pihak pemerintah.
