Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kementerian Kesihatan seolah-olah mempermainkan peraturan makanan apabila penggunaan Rhodamine B dalam makanan masih berleluasa walaupun pewarna itu telah lama diharamkan.

CAP buat kali pertama mengesan Rhodamine B dalam belacan pada tahun 1973. Sejak itu ujian-ujian berikutnya yang dijalankan pada tahun 1983, 1993, 1995, 1999, 2000, 2001, 2002, 2007 dan 2008 mendapati pewarna ini terkandung dalam belacan dan beberapa jenis makanan lain.

Setiap kali kami menemui pewarna ini dalam makanan, kami akan menghantar surat kepada Kementerian Kesihatan dan meminta mereka untuk menyiasat perkara ini.

Namun apa yang dikesalkan, keadaan masih juga belum berubah. Pewarna ini masih digunakan dalam makanan walaupun ia telah diharamkan sejak lebih separuh abad yang lalu.

Rhodamine B adalah bahan penyebab kanser yang mengeluarkan warna merah jambu. Ia tidak sepatutnya digunakan untuk mewarnakan makanan. Ia hanya dibolehkan untuk  mewarnakan barangan plastik dan tekstil.

Di bawah Peratuan Makanan 1985,  penggunaan Rhodamine B tidak dibenarkan dalam makanan. Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM5,000 atau hukuman penjara bagi tempoh tidak lebih dari dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Penggunaan Rhodamine B juga tidak dibenarkan dalam makanan di bawah Ordinan Makanan dan Ubatan 1952. Ini bermakna pewarna tersebut telah diharamkan sejak lebih 50 tahun yang lalu.

Dalam ujian terbaru kami yang dijalankan pada April 2010, kami mendapati Rhodamine B terkandung dalam dua  sampel belacan dan beberapa  snek berwarna yang  dibeli dari pasar sekitar Kuala Lumpur.

Kami terkejut apabila mendapati Rhodamine B dalam masih terdapat dalam makanan walaupun hakikatnya ia telah diharamkan sejak lebih 50 tahun yang lalu.

Daripada ujian-ujian terbaru yang dijalankan sudah jelas undang-undang yang ada tidak dikuatkuasakan dengan tegas untuk menghalang pesalah daripada menggunakan pewarna Rhodamine B dalam makanan.

Kanser menjadi pembunuh utama di Malaysia dan semakin ramai penduduk Malaysia menghidap penyakit ini. Pengambilan bahan penyebab kanser dalam makanan menjadi penyebab utama kanser.

Sehubungan dengan penemuan terbaru kami, Persatuan Pengguna Pulau Pinang sekali lagi menggesa Kementerian Kesihatan supaya mengambil langkah-langkah berikut:

  • Menguatkuasakan Peraturan Makanan 1985
  • Menyiasat dan mendakwa sesiapa saja yang didapati menggunakan pewarna dalam makanan yang undang-undang melarangnya.
  • Menghentikan penjualan pewarna gred industri (yang diharamkan untuk makanan) dalam jumlah yang kecil untuk mengelak penyalahgunaannya.
  • Tidak menggalakkan pengeluar dan pengusaha makanan  menggunakan pewarna kimia kerana selain boleh memudaratkan, ia juga tidak perlu.
  • Menjalankan kempen media untuk tidak menggalakkan pengguna membeli makanan yang mengandungi  pewarna dan mendidik mereka tentang cara membaca label makanan dengan betul.
  • Menguji dengan kerap semua barang makanan yang dijual untuk memastikan ia tidak mengandungi sebarang pewarna yang diharamkan dan bahan kimia yang beracun.
Kementerian Kesihatan perlu menyita semua produk makanan seumpamanya yang berada di pasaran. Sementara itu para pengguna dinasihatkan supaya mengelak makanan  berwarna terang yang tidak kelihatan asli.   


Penulis adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS