Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Anda dipilih untuk mengetuai pasukan dan agenda mengembalikan Selangor. Dalam ceramah terbaharu anda di Pelabuhan Klang, anda mengelar diri sendiri sebagai bekas jeneral Anwar Ibrahim. Maknanya anda bukan calang-calang orangnya, sangat berpengaruh dalam PKR suatu ketika dahulu.

Setahu saya semasa anda berkuasa sebagai jeneral dalam PKR anda pernah berdepan dengan dua pilihan raya umum. Dan Selangor gagal dirampas dua kali semasa anda merupakan seorang jeneral perang, seperti yang diistihar oleh anda sendiri. Selangor hanya berjaya dirampas oleh PKR ketika anda keluar daripada parti pada tahun 2006.

Anda kuat menyerang Anwar sebagai agen Yahudi, namun pada masa yang sama anda pernah berjuang untuk beliau selama 10 tahun. Jika benar sekalipun tuduhan anda, maka anda sendiri sudah bersetuju, anda pernah mempertahankan seorang 'agen Yahudi' selama satu dekad. Apatah lagi kata anda sendiri pernah mengakui menjadi jeneralnya.

Rakyat Malaysia mula pelik dengan cara politik baharu yang cuba anda bawa ke dunia politik. Setelah meninggalkan PKR anda sudah mula dengan 'politik sumpah'. Sama ada anda sendiri bersumpah dalam banyak kenyataan politik, dalam banyak ceramah politik seolah-olah anda tahu rakyat sudah hilang kepercayaan kepada anda. Atau seolah-olah anda rasa Umno masih ragu-ragu padamu. Disamping anda mencabar orang tertentu untuk bersumpah atas ini dan itu.

Jangan sesekali bangkitkan politik sumpah di Malaysia kerana jika asyik bersumpah, ia tidak akan menjadi laku. Saya masih ingat seorang jeneral tersohor juga pernah bersumpah tidak akan meninggalkan perjuangan PKR. Nasihat saya jangan sesekali libatkan agama dalam politik.

Strategi anda mengembalikan Selangor juga hanya sekadar bayangan dan cerminan anda sendiri. Dalam program di Shah Alam anda membandingkan sikap Anwar melalui ucapannya semasa masih menjadi timbalan perdana menteri dan selepas menjadi penasihat PKR - parti dominan dalam Pakatan

Rakyat. Satu soalan ringkas dan mudah. Bagaimana pula dengan ceramah Ezam semasa menjadi orang kuat Anwar dan selepas keluar daripada PKR?

Penegasan anda berkali-kali menafikan masuk Umno kerana wang menjadi tanda kepada orang ramai. Siapa yang mengatakan anda masuk Umno kerana wang? Seolah-olah anda berkonflik dengan diri sendiri. Minda anda sendiri yang kata anda masuk Umno kerana wang. Dan diri anda pula terus menjawab, anda masuk bukan kerana wang.

Saya mula mempersoalkan kredibiliti dan strategi anda dalam merampas Selangor kembali. Segala strategi anda menjurus kepada usaha menjejaskan kredibiliti Anwar, seolah-olah seluruh rakyat Selangor mengundi Pakatan disebabkan faktor Anwar semata-mata.

Dalam politik, good or bad news is still a good publisity in different way . Anda hanya membuatkan masyarakat tidak dapat melupakan Anwar. Tetapi populariti Anwar semakin meningkat. Anda juga memberi gambaran betapa hebat dan agungnya Anwar sampai jika kredibilitinya terjejas maka Selangor akan mampu dirampas.

Jika anda adalah seorang jeneral, saya pula sekadar seorang hamba biasa. Kita biar rakyat bandingkan strategi kita.

Risalah lawan ceramah

Jika anda seorang ahli perniagaan maka anda seorang yang tidak mengkaji pasaran dan memahami pelanggan anda dengan baik. Ceramah anda di Shah Alam dihadiri sekitar 250 orang. Di Klang pula sekitar 500 orang. Jika tolak penyokong Umno dan BN, rasanya angka sebenar kurang daripada 50 orang.

Keadaan ini cukup jauh berbeza ketika anda berada dalam PKR. Anda gagal memahami rakyat.

Dalam masyarakat sememangnya sudah ada trend tidak hadir ke ceramah BN, kerana ia 'boring' secara semula jadi.

Kita kena tahu dalam politik ada yang melihat. Ada yang mendengar. Ada yang membaca. Ada pula yang merasainya. Jika orang sudah tidak berminat untuk mendengar maka gunakanlah strategi untuk orang yang membaca.

Jika segala serangan kamu berada dalam bentuk risalah maka orang boleh membacanya dan ada juga boleh menyimpannya.

Dalam ceramah, 50 orang tahu. Risalah pula, ratusan ribu orang dapat tahu. Tuduhan, sama ada benar atau tidak bukan isu dalam politik.

Tanam Penyokong Kamu Dalam PKR Vs Tarik Penyokong Kamu Dalam PKR

Anda dengan bangganya dapat menarik orang - orang kamu ke dalam UMNO. Strategi dan pandangan politik anda amat berpandangan cetek dan singkat. UMNO tidak memerlukan ahli yang ramai untuk menang dalam pilihan raya. DAP yang berbekalkan 70 ribu ahli mampu mendapat undi

ratusan ribu lebih daripada ahli mereka. Anda sepatutnya sedar bilangan ahli dalam sesebuah parti tidak melambangkan bilangan undi dalam realiti politik semasa. Jika penyokong kamu berada dalam PKR

maka secara diam dan tersirat bom yang ditanam itu akan dirangka untuk meletup bila diperlukan.

Strategi saya lawan strategi anda serang Anwar

Kamu menyerang Anwar sebagai pengkhianat Melayu. Agen Yahudi dan sebagainya. Strategi kamu memilih untuk menjatuhkan Anwar mungkin tepat, tetapi senjata yang kamu pilih menyerangnya sia-sia semata-mata. Mengapa? Anwar pada hari ini lebih popular dalam kalangan masyarakat Melayu atau bukan Melayu?

Jika undi Cina semakin banyak, maka serangan anda bahawa Anwar pengkhianat Melayu akan meningkatkan golongan itu. Sebagai seorang politikus yang sudah lama berkecimpung, anda sudah sedar realiti bahawa sudah ada kelompak Melayu yang memang akan tetap berpihak padanya. Pengurangan 10 peratus undi Melayu dan peningkatan 60 peratus undi bukan Melayu akan menempatkan Anwar ke Putrajaya tidak lama lagi jika anda kekal menjadi strategis yang tidak pernah hebat.

Anda sepatutnya pilih untuk menyerang Anwar sebagai 'pengkhianat' kepada bukan Melayu. Mengapa? Sebab sudah ramai ahli Umno, Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) dan pemimpin Melayu yang sudah menyerang Anwar dari sudut ini. Anda sepatutnya mencari kelainan. Biar Anwar diserang daripada dua sudut yang berbeza.

Anwar boleh sahaja diserang apabila 100 peratus ketua perhubungan negeri PKR adalah Melayu. Sebanyak 80 peratus timbalan pengerusi 1 juga Melayu. Dan Selangor satu-satunya negeri yang diperintah PKR tiada jawatan timbalan menteri besar kepada bukan Melayu. Oleh itu, mana logiknya Anwar akan beri jawatan timbalan perdana menteri kepada Cina? Biar sokongan bukan Melayu Anwar terjejas.

Percaturan anda bukan checkmate lawan anda keluar daripada Putrajaya, tetapi checkmate lawan anda ke Putrajaya.

Penjenamaan Pakatan lawan penjenamaan Anwar

Fokus anda sepatutnya menjurus kepada melemahkan Pakatan dan bukannya melemahkan Anwar.

Jika penjenamaan politik DAP yang diberi oleh Umno adalah Pro-Cina, PAS sebagai Islam ekstrem, PKR alat Anwar. BN didakwa sebagai rasuah. Maka sehingga kini tiada penjenamaan politik untuk menjejaskan kredibiliti Pakatan. Yang ada hanya sekadar dikatakan Pakatan ini tidak akan kekal lama, Pakatan bermasalah dan memiliki ideologi yang berbeza. Kesemua ini bukannya penjenamaan politik. Isu dan penjenamaan politik adalah dua perkara yang berbeza.

Pakatan Rakyat boleh dijenamakan sebagai penipu dan hiprokrit. Banyak lagi peluru dan isu yang boleh dibangkitkan untuk menjayakan penjenamaan politik ini sehingga pada satu masa tertanam dalam minda masyarakat.

PAS dan DAP lawan PKR

Anda pernah berada dalam PKR. Anda tahu calon dan kredibiliti setiap mereka. Anda tahu masalah dalaman PKR. Anda tahu segala kelemahan PKR. Anda tahu kelemahan jentera PKR dan segala-galanyaberkaitan PKR. Sebagai seorang politikus berpengalaman anda sepatutnya sudah boleh meramalkan, dalam pilihan raya umum ke-13 PKR bakal mendapat undi paling tidak stabil berbanding PAS dan DAP.

DAP pula kebal dan menjadi semakin kuat. PAS pula semakin kukuh dan berpengaruh di Selangor. Tepuklah dada dan tanyalah selera, adakah anda sudah silap menembak lawan? Sememangnya jika tidak tembak pun, lama-kelamaan akan mati secara semula jadi?

Isu setempat lawan isu tiada sempadan

Ada kalanya saya tertanya, adakah anda produk Anwar? Anwar seorang strategis bijak. Ceramahnya di pelbagai kawasan sentiasa berbeza intinya, menurut keperluan pasaran di sesuatu tempat. Sebab itu Anwar popular di kalangan orang Melayu dan bukan Melayu.

Anda pula bawa isu agama, perjuangan Melayu dan isu Israel di hampir setiap ceramah di merata tempat. Isu ini mungkin tepat di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Jika isu ini kekal dimainkan di Selangor anda hanya membantu memenangkan Pakatan.

Saya hanya memilih untuk mengemukakan perbezaan enam strategi walaupun terdapat beratus lagi yang boleh disebut. Hanya sekadar enam untuk menunjukkan mengapa dan bagaimana anda boleh menjadi seorang jeneral perang PKR yang gagal suatu ketika dahulu; dan bakal gagal lagi bersama

BN.

Ada kalanya kita tidak memerlukan seorang jeneral untuk melawan jeneral yang lain. Jeneral seperti anda, ada kalanya hamba dan askar biasa juga mampu untuk berdepan. Hamba sedia berdebat dengan jeneral di mana-mana sahaja, apa sahaja format, tajuk dan pada bila-bila masa jika jeneral masih merasakan dirinya hebat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS