Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Selangor komited dalam mencari penyelesaian bagi penduduk Bukit Botak, Selayang yang telah menunggu selama 20 tahun untuk memiliki rumah.

Setelah mendengar pendapat oleh semua pihak, kerajaan negeri memutuskan bahawa mengambilalih tanah Bukit Botak adalah cara terbaik untuk mencapai penyelesaian yang menyeluruh dan menguntungkan semua 1,400 penduduk.

Langkah pengambilalihan tanah ini dilakukan untuk menjamin kepentingan semua peneroka Bukit Botak supaya pada akhirnya mereka akan mendapat rumah yang selamat dengan harga yang berpatutan.

Kerajaan negeri sedar ia mempunyai tanggungjawab yang besar bagi memastikan matlamat itu dicapai dan bagi mendapat penyelesaian yang terbaik, kerajaan negeri sedang mengambil langkah untuk "write off" (batalkan) perbelanjaan RM45 juta yang telah digunakah oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam pembinaan infrastruktur yang sedia ada.

Pengambilan semula tanah Bukit Botak akan membolehkan satu rancangan pembangunan holistik yang juga akan menguntungkan 247 penduduk yang sekarang tidak boleh memiliki rumah kerana mereka tidak mempunyai hak milik tanah akibat ketidaksesuaian tanah untuk yang terletak di lembah dan lereng bukit serta berada di bawah pencawang elektrik.

Langkah ini juga akan memberi kuasa kerajaan negeri untuk membangunkan Bukit Botak. Sekarang ini kuasa pembangunan adalah di bawah kawalan Syarikat Delpuri Corporation Sdn Bhd yang telah diberikan surat kuasa wakil oleh peneroka seperti yang diarah oleh pentadbiran kerajaan negeri yang terdahulu.

Walaupun telah diberi tanah tambahan seluas 30 ekar sebagai balasan untuk menjalankan projek ini, namun Delpuri gagal menjalankan tanggungjawab tersebut.

Kerajaan negeri menegaskan ia tidak mempunyai hasrat lain di sebalik pengambilan tanah selain daripada memajukan Bukit Botak untuk penduduknya dan peneroka. Ia juga tiada niat untuk mencari keuntungan melalui pembangunan ini.

Memandangkan bahawa semua pemaju yang dilantik dahulu semuanya telah gagal, kerajaan Pakatan Rakyat akan lebih berhati-hati dalam pemilihan syarikat pemaju supaya kesalahan yang lalu tidak akan berulang.

Pemilihan syarikat pemaju akan dibuat melalui tender terbuka dan melalui proses telus dan bertanggungjawab bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar mampu dan layak sahaja akan dipilih.

Kerajaan negeri sedar pengambilalihan semula tanah bukanlah satu keputusan yang popular. Namun demikian ia perlu dilakukan demi menjamin kepentingan dan kebajikan semua 1,400 penduduk.

Kerajaan negeri juga memberi jaminan langkah ini tidak akan menyebabkan kerugian yang lebih teruk daripada apa yang dialami oleh para penduduk, sebaliknya langkah ini akan menjanjikan rumah dengan harga yang berpatutan seperti mana yang diminta oleh semua penduduk sejak 20 tahun yang lalu.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh sekretariat akhbar Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor

ADS