Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tidak hairan, kerajaan sekali lagi menunda tempoh pemansuhan sistem permit kelulusan (AP) kenderaan import dari tahun 2010 kepada 2015.

Bawah kajian semula Dasar Automotif Negara (DAN), AP terbuka untuk kenderaan terpakai (perdagangan, penumpang dan motosikal) akan dimansuhkan pada 31 Disember 2015 dan AP francais akan dimansuhkan pada 31 Disember 2020.

Selain itu, bayaran RM10 ribu bagi setiap AP terbuka akan diperkenalkan seperti diumumkan dalam Belanjawan 2010 berbanding status semasa dengan AP dikeluarkan secara percuma.

Salah satu indeks pencapaian utama (KPI) penting untuk menilai sama ada Umno berikrar melakukan perubahan dan pembaharuan bukanlah dalam aspek menaiktaraf pengangkutan awam, atau membanteras kes-kes jenayah yang sudah berdekad-dekad dilaungkan, tetapi pendekatan yang diambil untuk menangani isu AP.

Isu ini satu kes klasik yang menunjukkan bagaimana politik naungan dan budaya rent-seeking mencorakkan pemerintahan rejim BN selama ini.

Seperti kebanyakan projek lain, AP yang pada asalnya digunakan untuk membantu bumiputera melibatkan diri dalam bidang automotif telah disalahgunakan sebagai alat dan ganjaran untuk mengekalkan sokongan politik pihak pemerintah.

AP yang diberikan secara percuma lazimnya dijual oleh pemegang AP pada harga lebih kurang RM20 ribu. Dianggarkan lebih kurang 70,000 AP dianugerahkan setiap tahun, maka jumlah nilai yang disalurkan kepada pemegang-pemegang AP mencecah RM1.4 bilion.

Alangkah baik jika dana ini benar-benar dapat membantu membangunkan industri automotif tempatan dan menghasilkan usahawan yang berdaya saing.

Malangnya, menurut laporan The Edge (2 November), hanya 98 orang yang mendapat penganugerahan AP.

Statistik ini bermakna RM1.4 bilion yang diberikan secara percuma itu dinikmati oleh 98 orang sahaja, atau puratanya seorang mendapat RM14.3 juta setahun!

Dasar kerajaan BN untuk mengenakan bayaran RM10 ribu tidak menyelesaikan dua isu pokok: isu keberkesanan dan isu ketelusan.

Penganugerahan AP bukan sahaja bercanggah dengan amalan perdagangan antarabangsa Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), malah terbukti gagal meningkatkan daya saing usahawan-usahawan, mahupun sektor automotif secara keseluruhannya.

Pada awal tahun ini, Earnst & Young ditugaskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk menjalankan kajian audit. Hasilnya menunjukkan, dalam 90 syarikat yang diaudit, hanya 19 buah mengikut peraturan dan ketetapan kementerian.

Kajian lain yang dijalankan oleh firma audit PricewaterhouseCoopers juga membawa kepada kesimpulan yang sama.

Malah, langkah bayaran RM10 ribu langsung tidak menyentuh isu ketelusan penganugerahan AP. Siapakah yang layak mendapat AP?

Apakah kriteria yang digariskan untuk meningkatkan daya saing mereka? Kenapakah penganugerahan AP tidak dijalankan secara tender terbuka seperti yang disarankan oleh kebanyakan pihak?

Dianggarkan cara tender terbuka boleh memberikan RM1.75 bilion pendapatan kepada kerajaan, iaitu RM1.05 bilion atau 1.5 kali ganda lebih banyak daripada kaedah yang dipakai sekarang.

Selain itu, walaupun jumlah kutipan RM10 ribu bagi setiap AP akan disalurkan ke dalam dana pembangunan bumiputra, pengurusan dan pelaksanaannya tidak diberi keutamaan dari segi ketelusan dan kebertanggungjawaban. Peratusan penyaluran dan prosedurnya juga tidak jelas.

Bagaimanapun, kerajaan BN tetap mengambil keputusan untuk meneruskan sistem AP.

Keputusan ini membuktikan bahawa Umno tidak mempunyai kehendak politik untuk melakukan pembaharuan pada peringkat struktur, malah selesa dengan slogan-slogan kosmetik dan pembaharuan setakat luaran.

Bagi kerajaan yang berorientasikan rakyat, menjadi keutamaannya untuk membangunkan daya saing negara dan mempertahankan kepentingan rakyat.

Namun, sebaliknya, rasional kerajaan yang telah dipengaruhi politik naungan dan mentaliti rent-seeking , kepentingan elit dan kroni-kroninya sahaja seperti 98 pemegang AP itulah yang jauh lebih penting berbanding dengan berjuta-juta rakyat jelata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS