Saya salah seorang pemilik kereta yang berumur lebih daripada 15 tahun yang dilaporkan berjumlah mencecah 2.7 juta buah di negera ini.
Saya amat tertarik dengan berita-berita di akhbar mengenai Dasar Automotif Negara (DAN) yang telah diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.
Walaupun DAN ini dilaporkan secara ringkas sahaja tetapi hati saya mulai gusar dengan apa yang bakal berlaku selepas ini.
Saya menulis ini berdasarkan pemahaman saya berdasarkan laporan di media kerana saya hanyalah rakyat biasa, seperti kebanyakan rakyat di kampung atau luar bandar yang rata-rata tidak begitu mengerti dengan dasar-dasar yang kerajaan akan laksanakan.
Saya bukanlah antara orang yang mampu menukar kereta bagaikan menukar pakaian seperti taukeh besar, pegawai eksekutif atau ahli-ahli Yang Berhormat di luar sana.
Sejak akhir-akhir ini, saya lihat pelbagai peraturan dikenakan terhadap saya dan orang seperti saya untuk meneruskan kehidupan dengan memiliki kereta-kereta yang telah berusia lanjut.
Tidak cukup dengan kenaikan premium insuran pihak ketiga dan keengganan pihak insuran untuk menerima kereta-kereta kami ini, kali ini kami dikejutkan pula dengan DAN yang saya lihat akan banyak menguntungkan ahli-ahli korporat dunia automotif sahaja.
Dengan adanya DAN yang kononya dibuat atas dasar membantu merancakkan industri automotif negara, kami dipaksa secara halus untuk melepaskan kenderaan kami dan membeli kenderaan baru yang didakwa lebih moden serta berteknologi tinggi.
Padahal kami tidak memerlukan kenderaan canggih untuk ke tempat beribadat atau kerja. Cukuplah dengan ketenangan fikiran kami yang bebas daripada hutang pinjaman kenderaan.
Kenderaan yang moden dan canggih tentu sekali datang dengan harga yang kami tidak mampu membelinya secara tunai.
Tetapi jika DAN ini terus menekan kami, maka terpaksalah kami membelinya secara hutang. Kami ingin bertanya kepada pihak berkenaan, adakah dengan berhutang menandakan kita telah maju dan negara akan makin cepat membangun?
Saya juga amat tertarik dengan kenyataan menteri berkaitan yang berhasrat menghentikan kemasukan alat ganti kenderaan terpakai ke negara ini serta komitmen beliau untuk memberi insentif kepada mereka yang ingin membangunkan alat ganti automatif di dalam negara.
Saya berpendapat, tindakan tersebut hanya akan menguntungkan sebelah pihak sahaja dan tentu sekali pihak kami iaitu rakyat biasa akan rugi selama-lamanya.
Mungkin antara kami mampu untuk membeli kenderaan baru secara hutang tetapi belum tentu kami mampu untuk mendapatkan alat ganti kenderaan dengan harga yang munasabah.
Jika kemasukan alat ganti kenderaan terpakai dihentikan, kami terpaksa mendapatkan alat ganti baru yang bukan semuanya datang dengan harga yang mampu milik.
Sebagai contoh, harga kotak gear canggih kereta nasional yang dilancarkan dahulu bagaikan mimpi ngeri kepada pemilik-pemiliknya.
Harganya mencecah belasan ribu ringgit dan tidak sepadan dengan harga keretanya yang kini dalam promosi mudah milik oleh pengeluarnya.
Ia bagaikan kata orang tua-tua di kampung, "mahal tali daripada lembu". Persoalan kami, adakah DAN akan memberi jaminan kepada kami untuk mendapatkan harga alat ganti dengan murah dan berkualiti?
Berdasarkan pengalaman, kebanyakan alat ganti buatan tempatan terlalu rendah kualitinya dan ia boleh membahayakan pengguna pula.
Oleh itu, kami amat berharap kerajaan dapat mengkaji semula DAN demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.
Kami bukanlah menentang pelaksanaan DAN tetapi biarlah ia dapat memberi manafaat kepada seluruh rakyat, bukannya kepada pihak tertentu sahaja.
Dengarlah rintihan orang seperti kami. Jangan hancurkan kepercayaan kami.
Jika rintihan kami diabaikan, maka konsep 1Malaysia yang dicanangkan akan gagal di tengah jalan kerana apa yang kami lihat, keutamaan hanya diberikan kepada pihak-pihak tertentu sahaja.