Pengacara rancangan Sukan Tak Sentral, Azizul Ammar Abu Hassan, tampil membuat permohonan maaf terbuka kepada bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek.
Menggunakan akaun Instagramnya, Azizul Ammar berkata dia bertindak secara tidak sengaja memalukan mendiang bapa Watson.
“Dengan rendah diri saya ingin memohon maaf secara peribadi kepada keluarga saudara Watson Nyambek kerana tanpa sedar telah mempersendakan nama baik ayah beliau.
"Saya amat menghormati atlet negara tersebut atas kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa," katanya malam tadi.
Semalam media melaporkan, Watson kecewa dengan tindakan sebuah stesen televisyen swasta yang menghina mendiang bapanya.
Watson yang juga bekas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter, berang apabila stesen televisyen itu menyamakan bapanya yang meninggal dunia tiga tahun lalu dengan binatang.
"Saya ada menonton episod itu dan berasa tersinggung dan kini sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.
Ekoran itu pegawai kanan penerbit rancangan Sukan Tak Sentral itu membuat permohonan maaf malam tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios Sdn Bhd, Datuk Ahmad Izham Omar, berkata beliau memohon maaf bagi pihak TV3 dan TV9 yang menyiarkan rancangan berkenaan.
Katanya, peringatan juga diberikan kepada semua kakitangan agar mereka sentiasa peka dan sensitif dalam setiap rancangan yang diterbitkan.
Azizul Ammar berkata dia juga berterima kasih atas komen dan pandangan diberi orang ramai kepadanya dan ia akan dijadikan panduan pada masa depan.
"Sekali lagi, saya memohon maaf atas kesilapan ini dan akan memastikan perkara ini tidak akan diulangi," katanya.