Penyanyi dangdut Indonesia, Julia Perez mendedahkan berat badannya semakin menurun sejak disahkan menghidap penyakit barah pangkal rahim tahap empat.
"Sudah didiagnosa, saya stadium (tahap) empat. Sekarang (berat badan) 45.8 kilogram, daripada 50 atau 52 kilogram, Biasanya montok, sekarang menciut," katanya selepas menghadiri majlis pernikahan Ria Irawan dan Mayky Wongkar di Jakarta Selatan Jumaat lalu.
Julia atau lebih popular dengan panggilan Jupe berkata nafsu makannya sudah mulai berkurangan kerana kesan kemoterapi yang dijalani sekali seminggu.
Selain itu, penyanyi yang sering mencetus kontroversi itu juga berkata harus menjaga pemakanan agar tubuhnya kekal sihat.
Bukan hanya berat badan yang berubah akibat barah, Jupe mengaku akhir-akhir ini kaki kirinya sering terasa sakit.
Meskipun begitu, penyanyi lagu "Belah Duren" ini merasa keadaan tubuhnya lebih baik berbanding sebelum ini, lapor Kompas.com.
"Kondisi saya jauh lebih baik, dulu selalu sakit jam tiga subuh. Sekarang bisa tidur sampai jam tujuh atau delapan. Saya serahkan ke doktor saya, saya yakin doktor lakukan yang terbaik," ujarnya.