Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sedar tidak sedar filem Kembara Seniman Jalanan (KSJ) sudah 30 tahun 'hidup' dan masih relavan untuk ditonton sehingga kini.

KSJ mula ditayangkan pada Februari 1986 dan menceritakan tentang kisah perjuangan Bujang (Datuk M Nasir) dalam dunia seni, terutama terpaksa berhadapan dengan pencetak rompak yang dipanggilnya "lanun".

Dalam perjalanannya Bujang berkenalan dengan Osman Tikus (Pyanhabib) yang secara kebetulan menjadi 'pengurus' beliau dan kemudian mereka bersahabat.

Filem ini menjadi kontroversi dan terdapat beberapa pihak yang 'kepanasan' sehingga mereka cuba menyekat ia daripada ditayangkan.

Namun dalam keadaan begitu, KSJ sehingga kini ia masih relevan dan dibincangkan.

Nasir Jani - pengarah filem ini - mendedahkan rahsia kenapa KSJ mampu bertahan dan terus dibincangkan.

Nasir Jani menjadi ahli panel dalam program Diskusi Jalanan di Padang Kota Lama, Pulau Pinang, pada 11 Disember lalu.

Pyanhabib adalah seorang lagi panel jemputan manakala Rosly Yusof bertindak sebagai moderator.

“Hanya filem yang mempunyai statement (kenyataan/gagasan) saja yang akan bertahan lama,” kata Nasir Jani.

Beliau mengimbau kembali idea bermulanya KSJ apabila mengolah kembali idea daripada skrip asal M Nasir semasa ditawarkan untuk mengarah filem berkenaan oleh penerbit Zarul Albakri.

Mereka berkongsi idea - antara lain - bersama-sama M Nasir, dR Sam dan Ito Blues Gang untuk memberi kelainan.

Justeru skrip asal M Nasir diubah suai dan lebih menjurus kepada konflik seniman pemuzik berkaitan ekonomi mereka.

Watak Osman Tikus berjaya dilakonkan dengan cemerlang oleh Pyanhabib kerana sepanjang lakonan itu, dia hanya perlu menjadi dirinya sendiri.

KSJ tersingkir tapi tidak Suara Kekasih 

Sejak bermula tayangan KSJ, Nasir Jani berhadapan dengan perlbagai halangan besar. Filemnya banyak memaparkan suasana sebenar golongan terpinggi di Kuala Lumpur, isu politik tanah air, masalah cetak rompak dan ekonomi bangsa Melayu khususnya, secara tidak langsung dikecam banyak pihak.

Mendedahkan beberapa peristiwa yang menjadi kontroversi - seperti penolakan trofi oleh Pyanhabib untuk anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik - dan konflik politik, Nasir Jani juga mendedahkan apa yang berlaku ketika KSJ ditayangkan di sebuah pangung Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang.

Beberapa hari selepas tayangan bermula Nasir Jani mendapat pangilan telefon daripada kawannya yang memberitahu berlaku kekecohan dalam pangung.

Nasir Jani akhirnya turun sendiri ke Komtar untuk mengetahui sendiri punca kekecohan yang dikatakan itu. Rupa-rupanya tayangan KSJ di Komtar banyak dipotong terutama membabitkan babak melawan 'lanun' cetak rompak.

“Terima Kasih PDRM,” katanya ringkas dalam diskusi itu.

Ucapan penghargaan berkenaan diucapkan Nasir Jani kerana beliau menganggap polis sehingga kini tidak mengambil sebarang tindakan kepada mereka yang memotong babak-babak filem tersebut.

Kesabaran beliau memuncak apabila KSJ disingkirkan secara mengejut untuk dinilai pada Anugerah Festivel Filem Malaysia keenam (pada 14 Disember 1986) dengan alasan M Nasir bukanlah rakyat tempatan.

Memang ketika itu M Nasir masih memegang kerakyatan Singapura, namun pada masa sama, filem Suara Kekasih yang diarah oleh sutradara Indonesia, Ida Farida, pula tidak disingkirkan daripada pencalonan.

Keputusan itu menyebabkan Nasir Jani hadir ke pejabat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bersama Ito untuk mendapatkan penjelasan.

Namun pertanyaan beliau tidak terjawab sehingga berlaku konflik dan Nasir Jani dituduh memecahkan cermin Pejabat Finas.

“Hoi Bujang, lu mainlah lagu-lagu sentimental, lagu-lagu jiwang, lagu cinta, barulah orang nak dengar.”

“Ahhh, lagu buat orang khayal jadi malas, tak ada kemajuan.”

Petikan ini diambil daripada dialog antara Osman Tikus dan Bujang.

Cuma miskin jati diri

Bagi Nasir Jani karyawan seni haruslah berani dan tidak berpratisan dalam berkarya. Ia, katanya, penting untuk memastikan karya yang mereka hasilkan benar-benar berkualiti.

Ketika KSJ mengadakan konsert rock menentang lanun cetak rompak dengan penampilan kumpulan Search, Blues Gang dan Sweet Charity, sambutan yang dijangkakan pada awalnya hanyalah sekitar 10,000 orang sahaja.

Namun pada hari konsert berlangsung keadaan menjadi agak tidak terkawal kerana kehadiran penonton mencecah 35,000 orang.

Terkejut dengan sambutan itu Nasir Jani bertanya kepada M Nasir:

“Apa yang kita buat ini?”

M Nasir menjawab: “Kita sedang mencipta sejarah!”

Maka sehingga hari ini KSJ menjadi satu sejarah yang penting dalam dunia seni tanah air. Nasir Jani juga mendedahkan bahawa antara penonton yang hadir ketika itu adalah Rosyam Nor yang menonton konsert di atas pokok.

Peristiwa itulah yang diambil oleh Mamat Khalid di dalam filem terbarunya Rock Bro, ketika kumpulan Rimba Bara melakukan persembahan di tapak ekspo pertanian.

Sementara itu kata Nasir Jani, selepas menonton Interchange dan Hanyut, beliau percaya filem berkenaan merupakan penanda aras baru dalam sejarah perfileman negara.

“Kita bangsa yang kreatif, kita bangsa yang kaya, yang kita miskin hanya jati diri kita!” katanya.

Adakah perjuangan KSJ sudah selesai?

Jika kita menonton filem KSJ, babak akhir menggambarkan M Nasir telah membakar kilang cetak rompak dan Ito menetak sehingga mati pemilik kedai cetak rompak itu.

Selepas 30 tahun, lanun cetak rompak masih berleluasa lagi dan masih tidak dapat dihapuskan.

Seniman juga masih menghadapi masalah mencari makan akibat daripada lanun cetak rompak ini.

Maka kisah KSJ juga tidak terhenti di sana. Nasir Jani menceritakan bahawa sebenarnyan Ito yang menetak lanun cetak rompak telah melarikan diri ke Indonesia dan selepas 30 tahun beliau kembali ke tanah air dan itu merupakan misi Kembara Seniman Jalanan kedua.

Nantikan!

* Diskusi KSJ sekali lagi akan dilangsungkan di Rumah Khizanat, Ipoh pada Khamis, 22 Disember ini, mulai jam 8 malam selepas tayangan filem berkenaan.


JEFRY MUSA ialah aktivis Serikat Mahasiswa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS