Kejadian rompakan membabitkan Kim Kardashian disyaki didalangi oleh beberapa individu yang dikenali rapat dengan bintang realiti TV Amerika Syarikat.
Bekas pengawal peribadi yang pernah diupah oleh Kim dan suaminya Kanye West, Steve Sanulis percaya kebarangkalian untuk pasangan itu dikhianati oleh seseorang yang dikenali adalah tinggi.
Katanya, insiden rompakan mengejut seperti itu mungkin sudah dirancang terlebih dahulu oleh rakan atau anggota keluarga yang sedia maklum mengenai lawatan selebriti berkenaan ke Paris.
“Ia pasti kerja orang dalam yang tahu cara untuk pecah pintu masuk.
“Bagaimana mereka tahu cara untuk masuk, bagaimana mereka tahu tiada pengawal keselamatan dan bagaimana mereka tahu dia (Kim) berada di dalam bilik seorang diri?
“Perompak itu sama ada benar-benar bertuah atau memahami situasi,” kata pemilik Silver Shield Security LLC.
Portal RadarOnline melaporkan, Kim, 35 – ibu kepada dua anak - diikat oleh lima lelaki yang memakai topeng ski dan menyamar sebagai anggota polis sebelum dirompak.
Dalam kejadian itu, pelakon siri Keeping Up With The Kardashians itu kehilangan barang kemas dianggarkan bernilai sekurang-kurangnya AS$10 juta (RM 41 juta) daripada sebuah apartmen di Paris.
Kim mengunjungi kota romantik itu bagi menghadiri Minggu Fesyen Paris bersama ibunya Kris Jenner dan adik perempuan Kendal Jenner.
Bagaimanapun, dalam kejadian terbabit, Kim dilaporkan panik tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Sanulis, serangan itu sepatutnya boleh dielak daripada berlaku sekiranya langkah keselamatan yang betul diambil.
Katanya, West perlu mengupah pengawal terlatih dan bersenjata.
“Jika mereka mengupah pengawal yang betul, kejadian itu tidak akan berlaku,” kata pakar keselamatan itu.
Sangka akan dibunuh
Reuters pula melaporkan, Kim ketika ini sedang berada di kediamannya di New York dan dia pulang menaiki pesawat peribadi beberapa jam selepas kejadian terbabit.
Menurut seseorang yang rapat dengannya, ketika dahi Kim diacukan senjata, wanita berkenaan benar-benar bimbang dengan keselamatan dirinya.
“Dia merayu agar mereka melepaskannya dan berkata dia mempunyai anak di rumah.
“Pada ketika itu, Kim benar-benar berasa dia akan dibunuh,” kata sumber itu.
Apartmen diduduki Kim terletak di belakang gereja Madeleine dengan beberapa pintu masuk rahsia, selain sering diinap oleh bintang filem atau pemuzik yang sanggup membayar harga mencecah AS$16,800 (RM70,000 ribu) bagi penginapan satu malam.
Perompak terbabit dipercayai melarikan diri menaiki basikal dan polis menemui pengawal syif malam di tangga dengan tangan dan kaki diikat.
Sementara itu, Sanulis turut menyelar sikap Kim yang suka mempamerkan segala aktiviti di media sosial hingga mengakibatkan dirinya sebagai sasaran yang mudah terdedah dengan bahaya.
Menurutnya, ini antara status yang gemar dimuat naik oleh Kim: “Saya di sini, dan ini adalah cincin bernilai AS$ 5 juta (RM21 juta) saya pakai dan akan pergi ke tempat ini.”
“Secara logiknya, tindakan itu memang mengundang seseorang untuk merompak kamu,” katanya.